Ubah Jadual Tidur Serta Merta Jika Anda Mempunyai Simptom Kurang Tidur Ini

Anda anda sering merasa mengantuk di siang hari? Ya, anda mungkin mengalami masalah kurang tidur. Namun mengantuk bukanlah satu-satunya kesan daripada waktu tidur yang berkurangan.

Masalah kurang tidur boleh mengganggu aktiviti hidup anda dan kesannya boleh menjadi sangat serius seperti halusinasi, lemah daya ingatan dan sering merasa sakit-sakit badan. Tidak cukup tidur juga mungkin menjadi sebab kepada penyakit kronik seperti masalah berat badan dan obesiti.

Berikut ialah tanda-tanda anda tidak cukup tidur dan kesannya terhadap kesihatan.

Mengukur Tahap Keseriusan Simptom Kurang Tidur

Jumlah jam tidur anda berbeza-beza dibandingkan dengan orang lain, bergantung kepada keperluan tubuh badan anda. Tidak kira berapa jumlah sebenar tidur yang anda perlukan, jika anda mendapati simptom-simptom yang disenaraikan di sini anda perlu bertindak untuk mengubah corak tidur anda sebelum ia mengganggu kehidupan seharian anda.

Terdapat 2 faktor yang menentukan samada masalah kurang tidur anda teruk atau tidak.

Pertama, berapa banyak jam tidur anda ‘berhutang’. Simptom akan menjadi lebih serius sekiranya anda kerapkali tidak memenuhi jumlah jam yang tubuh anda perlukan atau anda tidak tidur langsung pada malam sebelumnya.

Kedua, tahap seriusnya simptom kurang tidur akan berubah mengikut jam biologi tubuh anda (circadian rhythm). Ia menjadi teruk pada waktu anda sepatutnya tidur (biasanya malam) atau ketika isyarat circadian anda menurun iaitu sekitar tengah hari.

Mengantuk

Tanda kurang tidur yang paling kerap dilihat ialah mengantuk. Mengantuk ialah rasa hendak tidur yang boleh disertai dengan rasa tidak selesa dan penat.

Orang yang mengantuk mempunyai masa tindakbalas untuk tidur yang pendek (short sleep latency) atau dalam kata lain lebih mudah untuk tidur. Ini boleh diukur melalui ujian khas iaitu multiple sleep latency test. Ia juga boleh membantu mereka yang mempunyai rasa mengantuk yang teruk di siang hari untuk memastikan samada simptom tersebut berkait dengan masalah tidur lain seperti narkolepsi atau sleep apnea.

Namun begitu, keadaan mengantuk juga berguna dalam merawat insomnia. Insomnia ialah masalah tidur yang menyebabkan seseorang sukar untuk tidur atau kekal tidur. Dengan mengehadkan waktu tidur, rasa mengantuk mulai terhasil memudahkan proses untuk tidur.

BACA JUGA  7 Tips Tidur Khas Buat Mereka Yang Susah Tidur Malam, Anda Pasti Tidur Lena Selepas Mengamalkannya

Perubahan Mood

Bandingkan hari yang telah anda lalui jika pada malam sebelumnya anda tidak atau kurang tidur dengan hari-hari biasa. Anda akan mendapati pada hari anda tidur dengan cukup, badan terasa lebih segar dan bersemangat. Sebaliknya pada hari anda tidak tidur dengan baik, anda mungkin lebih mudah marah dan tidak bersemangat untuk menjalankan aktiviti harian.

Jika masalah tidak cukup tidur berlarutan, ia boleh membawa kepada kemurungan atau keresahan. Kurang tidur seringkali dikaitkan dengan penyakit mental kerana ia memberi kesan kepada lobus frontal pada otak iaitu bahagian yang mengawal selia tingkah laku, emosi dan mood manusia.

Kurang tidur memberi kesan kepada otak
Bahagian lobus otak dan fungsinya @kisspng

 

Sebahagian daripada tanda-tanda kemurungan adalah serupa dengan simptom-simptom yang dialami oleh mereka yang kurang tidur. Penghidap Post Traumatic Stress Disorder (PTSD) pula mempunyai masalah tidur seperti selalu mengalami mimpi buruk (nightmare) dan tidak cukup tidur. Sementara itu, bagi yang mengalami masalah insomnia kronik pula, selalunya cenderung untuk menghidap penyakit keresahan (anxiety) dan berisiko untuk membunuh diri.

Hilang Daya Tumpuan dan Menjejaskan Aktiviti Harian

Daya tumpuan yang baik memerlukan otak yang segar. Mereka yang kurang tidur biasanya menyebabkan daya konsentrasi terhadap aktiviti seharian menurun. Kesannya, mereka lebih banyak membuat kesalahan, kemalangan lebih kerap berlaku dan prestasi kerja turut terjejas.

Kes-kes kemalangan yang melibatkan pegawai perubatan baru menyelesaikan tugas banyak berhubung kait dengan kekurangan waktu tidur semasa bertugas. Kes kemalangan nuklear terbesar di Chernobyl, Ukraine yang meragut 30 nyawa akibat radiasi dikatakan berpunca daripada jurutera yang bekerja terus menerus selama 13 jam dan tidak cukup tidur.

Efek kurang tidur terhadap daya konsentrasi adalah berbeza-beza bagi setiap individu. Tidak ada bukti kukuh yang mengatakan manusia boleh menyelaraskan diri mereka jika mereka tidak tidur dengan cukup.

Masalah Daya Ingatan dan Kebolehan Kognitif Merudum

Selain menjejaskan konsentrasi dan prestasi kerja, masalah memori merupakan kesan seterusnya yang sangat berkait rapat dengan kekurangan waktu tidur. Biasanya memori jangka pendek merupakan jenis memori yang paling terkesan hasil daripada kurangnya perhatian diberikan pada seuatu perkara.

BACA JUGA  Ini Jumlah Jam Tidur Yang Anda Perlukan Untuk Rasa Segar Di Siang Hari

Tidur adalah aktiviti yang penting kepada memori. Semasa tidur, segala peristiwa yang berlaku seharian akan dikumpulkan dan diproses supaya memori yang kritikal kepada manusia dapat direkodkan di dalam otak. Proses ini sangat penting kepada aktiviti pembelajaran manusia dan kekurangan jam tidur boleh menjejaskan aktiviti tersebut.

Selain daripada memori, fungsi eksekutif merupakan elemen lain dalam kebolehan kognitif yang akan terkesan dengan masalah ini. Antara aktiviti otak yang akan terjejas ialah :

  • Perancangan
  • Kebolehan menilai risiko
  • Mengatur dan merencana sesuatu
  • Kebolehan menentukan prioriti
  • Kebolehan membuat pertimbangan

Hasil daripada merudumnya fungsi eksekutif ini, anda akan mula membuat keputusan di luar kotak logik dan kebiasaan.

Disorientasi, Halusinasi dan Paranoid

Tahap kerosakan yang lebih tinggi kerana kurangnya jam waktu tidur sangat berkait rapat dengan masalah psikiatri. Antara simptom-simptom psikiatri hasil tidak cukup waktu tidur ialah disorientasi, halusinasi dan paranoid.

Diorientasi bermaksud individu tersebut mengalami rasa keliru dan ini adalah sebahagian daripada ciri-ciri delirium. Awalnya, seseorang yang mempunyai disorientasi akan mengalami kekeliruan dengan masa. Seringkali mereka menyebut hari, tarikh atau tahun yang salah.

Seterusnya, mereka akan mula keliru dengan tempat dan keberadaan mereka. Akhirnya, disorientasi yang teruk menyebabkan seseorang tidak ingat siapa mereka.

Halusinasi pula adalah keadaan di mana seseorang mula nampak sesuatu yang tiada, tetapi ia hanyalah satu gangguan persepsi. Dianggarkan 80% individu yang normal akan mengalami halusinasi jika keadaan tidak cukup teruk berterusan untuk satu tempoh yang panjang.

Satu lagi simptom psikiatri yang seringkali berlaku pada individu yang kurang jam tidur ialah paranoid. Paranoid adalah fikiran dan perasaan seolah-olah anda terancam dan dalam bahaya, meskipun tidak ada bukti bahawa anda sedang berada dalam bahaya.

Contoh paranoid adalah seperti yang digambarkan oleh watak John Nash dalam filem A Beautiful Mind di mana beliau merasakan seolah-olah sedang diburu oleh ejen perisik Rusia. Selain paranoid, elemen halusinasi dan gambaran penyakit skizofrenia turut dipaparkan dalam filem ini.

Dalam satu kajian yang melibatkan seramai 350 responden, didapati bahawa 2% daripada mereka yang melalui sejumlah 112 jam kurang waktu tidur mempunyai simptom-simptom yang menyerupai penyakit skizofrenia paranoid. Justeru itu, agak sukar untuk pakar perubatan melakukan diagnosis dengan tepat untuk menentukan samada seseorang bebenar menghidap penyakit skizofrenia atau sekadar mengalami masalah kurang tidur.

BACA JUGA  5 Kisah Kemalangan Terburuk Dalam Sejarah Dunia Yang Berpunca Daripada Kurang Tidur

Namun begitu, rehat yang secukupnya mampu memulihkan mereka yang tidak cukup tidur.

Sering Mengadu Sakit

Masalah kurang tidur juga menampakkan kesan kepada fizikal kepada seseorang. Selain daripada keletihan melampau, individu tersebut juga akan merasa tidak selesa dan tidak sedap badan (malaise).

Sengal-sengal dan sakit badan merupakan tanda seterusnya yang boleh menjurus kepada diagnosis fibromyalgia atau kesakitan yang kronik. Sakit perut dan cirit-birit juga mungkin dialami namun agak sukar untuk mengatasi masalah ini jika masalah kurang tidur tidak dikesan sebagai punca kenapa ia berlaku.

Menganggu Kitaran Tidur

Akhirnya, masalah tidak cukup tidur akan menganggu kitaran tidur seseorang. Kitaran tidur mempunyai 2 fasa iaitu fasa 1 ialah fasa REM atau Rapid Eye Movement dan fasa 2 ialah non-REM.

Fasa REM ialah fasa di mana mata bergerak dengan cepat dan anda dalam keadaan kurang rehat berbanding fasa non-REM. Ciri-ciri utama fasa ini ialah bermimpi dan tiada pergerakan motorik kecuali pada mata dan diafragma sahaja. Biasanya mimpi yang dialami semasa fasa ini boleh diingati sebaik sahaja seseorang bangun dari tidur.

Fasa REM berlaku setiap 90 minit dan setiap malam terdapat sekitar 4-6 kitaran bergilir-gilir dengan fasa non-REM. Ia merangkumi sebanyak 20-25% daripada jangkamasa tidur.

Fasa non-REM pula terbahagi kepada 4 fasa dan setiap fasa mempunyai fisiologi dan aktiviti otak yang berbeza-beza.

Penutup

Kekurangan jam tidur memberi kesan yang sangat besar kepada kesihatan. Jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh membawa maut. Justeru, jika anda mempunyai simptom-simptom di atas dan anda sememangnya mengalami kesukaran untuk tidur, lawati klinik berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut daripada doktor bertauliah.

Anda juga boleh mengikuti tips-tips mudah tidur jika anda mengalami masalah susah tidur malam.

Sumber: VeryWell

Foto: Pixabay

  • 2
    Shares
  • 2
    Shares
Close Menu