10 Tips Berhenti Merokok Dengan Rileks Melalui Teknik Allen Carr’s Easyway

Individu yang merokok seringkali disuakan dengan senarai panjang keburukan merokok. Kanser paru-paru dan asap sekunder yang membahayakan kesihatan keluarga adalah kesan yang sangat menakutkan, tetapi berapa ramai perokok berhenti merokok kerana momokan ini?

Seringkali kita beranggapan bahawa mereka ini mempunyai sikap “Aku tak kisah.”

Tetapi mungkin mereka sebenarnya berasa risau dan terkesan dengan keburukan-keburukan akibat merokok tetapi yang membantutkan usaha mereka ke arah bebas rokok ialah rasa ketagihan. Ketagihan adalah satu keadaan yang sukar untuk dilawan dan memerlukan 99% daya mental untuk diatasi.

Atas pemahaman ini, teknik Allen Carr’s Easyway diwujudkan.

Teknik ini sebenarnya tidak mengkhususkan kepada tabiat merokok sahaja. Apa jua yang boleh menimbulkan ketagihan dan obsesi seperti ketagihan arak, masalah berat badan, ketagihan dadah, tabiat suka berhutang dan masalah fobia naik kapal terbang, boleh menggunakan teknik ini.

Sir Richard Branson, Robert Pattinson, Ashton Kutcher, Pink dan Hrithik Roshan merupakan senarai individu dan selebriti yang telah berjaya berhenti merokok menggunakan teknik ini.

Berikut merupakan senarai 10 tips penting buat mereka yang sedang mencari cara berhenti merokok.

  1. Tetapkan tarikh dan masa untuk berhenti merokok. Teruskan merokok sehingga tiba hari yang telah dijadualkan.

    Pilih satu hari dan masa di mana anda tekad untuk berhenti merokok. Kemudian, merokok seperti biasa sehingga sampai hari yang telah ditetapkan. Jangan kurangkan jumlah puntung rokok dalam jangkamasa tersebut.

  2. Persiapkan minda anda

    Tanamkan kata-kata berikut dalam diri anda – Keputusan untuk berhenti merokok bukanlah satu pengorbanan kerana sejak dari mula anda tidak pernah mendapat sebarang manfaat pun daripada rokok yang dihisap. Bahagianya anda sekarang bukan kerana merokok. Tetapi anda sebenarnya sedang ketagihan – anda merupakan hamba kepada nikotin di dalam rokok. Bayangkan dalam minda anda – anda tidak hilang apa-apa pun apabila anda berhenti merokok. Malah anda akan menjadi lebih sihat, lebih bertenaga dan banyak duit dapat dijimatkan. Anda akan mula mendapat keyakinan diri, anda akan menjadi bangga dengan diri sendiri, anda akan menemui kebebasan yang diimpikan dan anda sedang memanjangkan umur dan meningkatkan kualiti hidup anda. Anda akan merasakan kegembiraan berhenti merokok bermula dari saat anda berhenti menghembuskan asap dari puntung rokok yang terakhir.

  3. Hisaplah rokok anda yang terakhir – anda akan berhenti merokok dengan mudah, jadi buat perjanjian dengan diri anda.

    Sebenarnya, anda bukan sedang membuat pengorbanan – anda sedang membuang tabiat ini jauh-jauh daripada diri anda. Nyalakan puntung rokok terakhir anda dan berjanjilah walau apa jua yang akan berlaku, anda tidak akan pernah menyalakan rokok lagi dan anda tidak akan mengambil sebarang nikotin. Ini adalah keputusan yang besar dalam hidup anda – anda sedang memanjangkan hayat anda dan kualiti hidup anda di masa hadapan bergantung kepada keputusan yang satu ini. Anda tahu ini adalah satu keputusan yang betul. Ya, anda sedang membuat keputusan yang benar jadi anda tidak perlu meragui keputusan ini.

  4. Hadapi sindrom sarak dengan tenang. Gejala ini hanya sementara dan akan hilang dengan segera.

    Sindrom sarak (withdrawal syndrome) merupakan kumpulan gejala yang akan dihadapi apabila individu yang ketagihan mula berhenti daripada merokok. Simptom fizikal yang sedang dilalui hanya bersifat sementara dan akan berakhir dengan segera. Ketahuilah bahawa simptom ini tidak hanya dirasai hari ini, sewaktu anda mula berhenti merokok sahaja. Simptom tersebut telah anda rasai sepanjang masa yang anda lalui sebagai seorang perokok. Mereka yang tidak pernah merokok tidak pernah melaluinya. Anda sekarang bukannya seorang kaki rokok lagi, maka tidak lama lagi simptom ini akan hilang buat selama-lamanya. Bersabarlah.

    Jika secawan kopi atau teh dapat menggantikan sepuntung rokok, dapatkan kopi dan teh anda sekarang. Tak perlu merintih kerana sepuntung rokok, sebaliknya katakan kepada diri anda betapa indahnya hari yang sedang anda lalui tanpa asap rokok yang menyesakkan dada anda tersebut.

  5. Bergaul seperti biasa. Anda tidak perlukan rokok, jadi tidak perlu anda mengasingkan diri daripada kawan-kawan anda yang merokok.

    Anda tidak perlu rasa dipulaukan, sebaliknya teruskan aktiviti sosial anda dengan rakan-rakan anda seperti biasa, walaupun mereka merokok. Anda tidak perlu cemburu dengan mereka, sebaliknya kasihani mereka kerana mereka masih tidak mampu untuk berhenti merokok seperti anda. Jauh di sudut hati mereka, mereka inginkan kehidupan yang bebas rokok seperti anda. Mereka yang sedang mencemburui anda. Mereka juga tidak suka anak-anak mengikut jejak langkah mereka. Ingat, anda tidak kerugian kerana berhenti merokok. Kawan-kawan anda yang sedang di dalam kerugian – mereka kehilangan nikmat kesihatan, tenaga, duit, ketenangan, keyakinan, keberanian dan kebebasan. Jika anda ditawarkan sepuntung rokok, beritahu dengan sopan “Terima kasih, saya sudah berhenti merokok.” Jangan panjangkan perbualan dengan menghitung berapa hari anda telah hidup tanpa rokok.

  6. Adakah anda perlu menjauhkan fikiran daripada berfikir tentang rokok? Tidak, anda tidak mampu melakukannya.

    Anda tidak perlu melawan diri daripada berfikir tentang rokok – percayalah, anda tidak akan berhasil. Apa yang terlintas di fikiran anda apabila saya berkata, “Jangan fikir tentang kereta merah!”? Sebaliknya tukar cara anda berfikir daripada “Aku rasa nak merokok, tetapi aku tak boleh.” kepada “Hebatnya aku; aku dah tak perlu kepada rokok dan aku tak nak lagi merokok buat selama-lamanya.” Kata-kata sebegini akan membuat anda gembira dan mencapai kepuasan hidup.

  7. Sebaik sahaja anda tekad untuk berhenti merokok, tidak ada alasan untuk anda memberi peluang walau kepada sebatang rokok.

    Jangan memerangkap diri anda untuk kembali merokok kerana anda ingin merasa diterima oleh rakan-rakan atau ketika anda sedang melalui saat sulit dalam hidup anda. Tukar perspektif anda daripada memikirkan kebahagiaan sementara hasil menyedut sebatang rokok kepada penderitaan yang anda akan alami sepanjang hidup anda kerana sebatang rokok itu.

  8. Hindarkan diri daripada menggantikan sumber nikotin anda – ia hanya menambahburuk rasa ketagihan yang anda sedang rasai.

    Tidak perlu menggantikan rokok dengan sebarang sumber nikotin yang lain seperti rokok elektronik, semburan dan tampalan. Langkah menggantikan nikotin dalam rokok dengan sumber yang lain hanya akan memanjangkan jangkamasa anda ketagih.

  9. Buang semua rokok yang anda ada. Ada bukan seorang perokok lagi.

    Jangan simpan walau sekotak rokok pun di mana-mana. Menyimpan rokok kalau-kalau kecemasan tanda anda tidak yakin dengan keputusan anda untuk berhenti merokok. Anda bukan lagi seorang perokok di saat anda menghabiskan rokok terakhir anda dulu. Anda sepatutnya gembira kerana sekarang anda tidak perlu lagi kalut memikirkan jika anda terlupa membawa rokok atau pemetik api ketika keluar.

  10. Nikmati saat-saat kebebasan ini. Teruskan kehidupan dan berhati-hati supaya anda tidak jatuh ke jerat yang sama sekali lagi.

    Tidak lama lagi anda akan melalui kehidupan yang hebat dan gembira sebagai seorang yang tidak merokok. Tetapi anda tetap perlu berhati-hati agar tidak mengulangi tabiat buruk ini. Jika terdapat bisikan-bisikan dalam minda anda yang berkata “Sebatang saja, kali ni je.”, percayalah ia satu ajakan yang mengarut. Sebaliknya, anda perlu tanya kepada diri anda soalan sebegini, “Adakah saya mahu menjadi seorang perokok sekali lagi, siang malam menghembus asap rokok tanpa henti?” Jawapannya, “Tidak.” Kenapa tidak? Kerana saya tidak suka menjadi perokok – sebab itu saya membuat keputusan untuk berhenti merokok.” Hanya dengan menukar cara fikir anda saja akan dapat menikmati hidup tanpa rokok dengan tenang dan gembira.

Untuk maklumat lanjut mengenai teknik ini, layari website Allen Carr’s Easyway.

Lagi tips berhenti merokok di dalam video:

Gambar utama: Jannoon028

  • 26
    Shares
  • 26
    Shares
Close Menu