Connect with us

Kenali Penyakit

Tanda-tanda Kanser Usus Yang Patut Kita Tahu

Kanser kolorektal atau lebih dikenali sebagai kanser usus merupakan jenis kanser yang mempunyai jumlah insiden yang tertinggi di kalangan lelaki di Malaysia. Walaupun statistik menunjukkan bahawa kanser usus lebih cenderung dihidapi oleh lelaki, wanita juga tidak terkecuali dalam hal ini dan kanser ini diletakkan di tangga kedua tertinggi selepas kanser payudara.

Kanser ini biasanya bermula sebagai polip iaitu benjolan kecil pada permukaan usus. Namun begitu, tidak semua jenis polip itu berbahaya.

Penyakit ini biasanya dikesan di tahap yang tinggi iaitu apabila sel-sel barah sudah mula merebak ke bahagian organ yang lain kerana pesakit tidak menyedari tanda-tanda awal kanser usus. Biasanya pesakit hanya mula didiagnos menghidapi kanser ini setelah 5 bulan mengalami tanda-tanda awal.

Namun begitu, kanser ini boleh dirawat dengan baik sekiranya ia dikesan pada tahap awal. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan kanser kolorektal untuk mengesan penyakit ini dari awal.

Dulunya kebanyakan kanser kolorektal berpunca daripada faktor genetik. Namun kini, perubahan gaya hidup melibatkan pengambilan makanan tinggi lemak, kurang aktiviti fizikal dan bersukan, telah menjadi faktor utama kenapa kanser ini semakin meningkat.

Tanda-tanda kanser usus yang biasa dialami

Seperti kanser perut, pada peringkat awal kanser usus tiada tanda-tanda ditunjukkan. Oleh itu, individu yang berusia 50 tahun ke atas dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan kanser kolorektal. Begitu juga dengan mereka yang berisiko iaitu mempunyai sejarah keluarga yang menghidapi kanser ini.

Perlu diingatkan bahawa tanda-tanda yang disenaraikan di sini tidak semestinya merujuk kepada kanser kolorektal. Simptom yang sama juga mungkin dialami oleh mereka yang mengalami masalah buasir, jangkitan kuman atau keradangan usus.

BACA JUGA  Kanser Perut: Tanda-tanda Awal Sukar Dikesan

Oleh itu, pandangan serta diagnosis doktor perubatan bertauliah lebih diutamakan.

Perubahan pada tabiat membuang air besar: Tidak ada garis panduan khusus untuk menentukan tabiat membuang air besar yang normal dan tidak normal. Setiap individu mempunyai tabiat tertentu. Oleh itu, sebarang perubahan daripada kebiasaan perlu diambil berat.

Anda boleh menilai perubahan tersebut melalui ciri-ciri berikut:

Kekerapan membuang air besar berubah: Kekerapan berkurangan (sembelit) atau bertambah daripada kebiasaan. Contohnya, jika anda biasa membuang air besar 3 kali sehari, tetapi frekuensi tersebut berkurangan menjadi sekali sehari (selama beberapa hari), ia adalah sesuatu yang anda perlu ambil berat. Begitu juga jika anda biasa membuang air selang sehari, tetapi tiba-tiba kekerapan tersebut bertukar menjadi sekali sehari. Ia petanda yang anda tidak boleh ambil mudah.

Perubahan pada bentuk najis: Najis menjadi kurus seperti pensil. Usus yang mengalami kanser kolorektal akan menjadi sempit kerana ketumbuhan yang ada. Oleh itu sebahagian daripada usus mulai menjadi sempit dan menghasilkan bentuk najis yang lebih kurus.

Perubahan pada warna najis: Pendarahan usus akibat kanser menyebabkan najis keluar dengan darah berwarna merah terang atau gelap.

Tidak lawas membuang air besar: Bila anda rasa anda perlu membuang air lagi walaupun anda baru sahaja melakukannya.

Sekejap cirit birit, sekejap sembelit: Apabila usus menjadi sempit, najis yang terhasil sukar dibuang dan menyebabkan sembelit berlaku. Tetapi apabila najis yang terkumpul tersebut lolos daripada ketumbuhan itu tadi, cirit-birit berlaku.

Sakit di bahagian abdomen yang berterusan: Biasanya kesakitan berlaku akibat sel kanser yang tumbuh pada bahagian kiri usus. Rasa memulas atau abdomen mengeras juga boleh dirasai apabila usus mengalami iritasi akibat merebaknya sel-sel kanser atau pendarahan.

BACA JUGA  Jus Prune Untuk Bayi Sembelit: Berapa Sukatan Sepatutnya?

Kembung perut: Kembung perut dan kerap kentut mungkin petanda kanser sudah berada pada tahap yang teruk kerana sel-sel barah sudah memenuhi ruangan usus.

Pening, loya dan/atau muntah: Tanda-tanda kanser usus ini jika disertai dengan simptom-simptom yang sudah disenaraikan di atas, merupakan tanda kanser sudah di tahap tinggi. Ia biasanya disebabkan oleh usus yang sudah mula tersumbat terutamanya pada bahagian awal usus. Namun begitu, bukan semua pening, loya dan/atau muntah berpunca daripada kanser.

Hilang berat badan secara tiba-tiba: Kehilangan 5% daripada berat badan dalam jangka masa 6-12 bulan tanpa dirancang merupakan antara simptom yang tidak boleh diambil mudah. Keadaan ini terjadi kerana nutrien di dalam badan diserap dan digunakan oleh sel-sel kanser dan sel ini juga menyebabkan peningkatan kadar metabolisme secara mendadak.

Hilang selera makan: Tanda ini boleh terjadi pada mana-mana peringkat namun lebih tipikal pada kanser usus tahap tinggi.

Letih tanpa sebab: Keletihan melampau akibat kanser biasanya mempunyai ciri-ciri 1) letih tidak hilang selepas berehat dan 2) badan tidak berasa segar selepas secawan kopi.

Tanda-tanda kanser usus yang jarang dialami

Bagi kes-kes kanser kolorektal yang tidak dikesan awal, tanda-tanda ini merupakan petanda kanser sudah berada di tahap yang teruk.

Demam: Sel-sel tumor yang merosakkan dinding usus menyebabkan usus bernanah dan pesakit mulai demam.

Kencing berbuih: Ia disebabkan oleh sel barah yang merebak ke pundi kencing.

Masalah pernafasan: Kanser yang telah merebak ke paru-paru menyebabkan pesakit sukar bernafas, batuk dan sakit dada.

Sakit kepala dan masalah neurologi: Sel tumor yang merebak ke otak dan saaf tunjang menyebabkan sakit kepala, masalah penglihatan, kekeliruan dan/atau sawan berlaku.

BACA JUGA  5 Petua Hilangkan Sembelit Bayi Yang Boleh Dilakukan Di Rumah

Sakit tulang: Patah tulang, sakit bahagian tulang dan paras kalsium yang tinggi di dalam darah merupakan tanda kanser sudah merebak ke tulang.

Komplikasi kanser usus

Anemia: Pendarahan mikroskopik akibat sel tumor menyebabkan kekurangan zat besi dan anemia berlaku. Anemia biasanya dikenalpasti melalui keletihan, kerap pening, sering berdebar-debar dan sesak nafas. Anemia mungkin merupakan tanda pertama untuk mendiagnosis kanser usus.

Usus tersumbat: Tumor yang semakin membesar menyebabkan usus mulai tersumbat dan bahan kumuh tidak dapat dikeluarkan daripada usus. Ini menyebabkan sakit perut memulas yang teruk, kembung perut, sembelit dan loya dan/atau muntah.

Jaundis atau masalah kuning: Jaundis mungkin terjadi kerana sel barah yang telah merebak ke bahagian hati atau tumor yang membesar menyebabkan struktur-struktur yang terhubung dengan hati mengalami tekanan.

 

Sumber:

VeryWellHealth

  • 316
    Shares