Syarikat Jepun Ini Menghadiahkan Tambahan 6 Hari Cuti Rehat Untuk Pekerja Yang Tidak Merokok

“Pekerja yang mencuri masa untuk merokok semasa waktu bekerja mengganggu produktiviti syarikat.” Itulah aduan yang diterima oleh sebuah firma pemasaran Jepun, Piala Inc. sehingga pihak pengurusan tertinggi membuat keputusan untuk menghadiahkan tambahan 6 hari cuti rehat untuk pekerja yang tidak merokok sebagai ‘pampasan’.

Jurucakap syarikat Piala Inc., Hirotaka Matsushima berkata, “Kami menerima aduan bertulis daripada seorang staf yang tidak merokok melalui kotak cadangan yang disediakan. Beliau menyatakan kebimbangan terhadap masalah yang timbul disebabkan oleh pekerja-pekerja yang merokok.”

Matsushima menjelaskan bahawa setiap pekerja yang merokok mencuri lebih kurang 15 minit daripada waktu bekerja untuk keluar merokok setiap kali keluar merokok. Setiap hari, pekerja yang merokok menggunakan sejumlah 45 minit untuk merokok di tempat kerja.

Aduan ini mendapat perhatian daripada CEO syarikat berkenaan, Takao Asuka, yang kemudiannya mengumumkan perubahan kepada polisi waktu rehat syarikat dengan memberi tambahan 6 hari cuti bergaji untuk mereka yang tidak merokok. Langkah ini diadakan bagi menggalakkan pekerja-pekerja syarikat berhenti merokok.

Merokok bukanlah satu aktiviti yang asing di kalangan rakyat Jepun. Statistik sebelum tahun 2016 menunjukkan bahawa lebih kurang 20 peratus rakyat Jepun merokok, mengatasi jumlah peratusan perokok di Amerika. Menurut World Health Organization (WHO), setiap tahun hampir 130,000 kes kematian dikaitkan dengan rokok dan 15,000 kes kematian pula dikaitkan dengan perokok pasif atau sekunder di Jepun.

Pada tahun lepas, Gabenor Tokyo, Yuriko Koike mengumumkan langkah untuk mengharamkan aktiviti merokok di tempat-tempat awam selari dengan status Tokyo sebagai penganjur Sukan Olimpik tahun 2020. Namun, usaha untuk mengurangkan aktiviti merokok agak sukar dilaksanakan di Jepun. Langkah untuk mengharamkan aktiviti merokok di tempat tertutup seperti restoran oleh pihak pentadbiran bandaraya Tokyo mendapat bantahan daripada pelobi menyebabkan polisi itu tidak dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Bagaimanapun, usaha yang dilakukan oleh Piala Inc. setakat ini membuahkan hasil yang memberangsangkan. Sehingga akhir tahun lepas, seramai 4 orang daripada 42 orang pekerja firma yang merokok telah berjaya berhenti merokok. Salah seorang daripada mereka, Shun Shinbaba memberitahu CNN bahawa beliau dahulunya menghabiskan 1 pek rokok setiap 2 hari. Beliau merancang untuk menggunakan cuti rehat untuk bermain tenis.

Sumber: CNBC

  • 1
    Share
  • 1
    Share
Close Menu