Panduan Memilih Susu Untuk Bayi Sembelit Mengikut Umur

Sebagai ibu bapa, memilih susu terbaik untuk bayi anda menjadi satu kewajipan terutamanya jika bayi anda mudah terkena masalah sembelit. Memilih susu untuk bayi sembelit bukanlah satu kerja yang mudah.

Walau bagaimanapun, tiada susu yang dapat menggantikan tempat susu ibu dari segi kandungan nutrisi dan bonding yang terbentuk antara anak dan ibu semasa proses penyusuan.

Tetapi adakalanya, terdapat sebab-sebab tertentu yang menyebabkan ibu-ibu terpaksa mencari alternatif kepada susu ibu. Ibu-ibu seperti ini masih juga mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Siapa yang tidak sayang anak, bukan?

Dalam penulisan sebelum ini, kami ada berkongsi cara-cara untuk mengenalpasti bayi yang sedang mengalami sembelit buat ibu bapa yang baru menimang cahaya mata dan petua-petua lain yang boleh digunapakai ke atas bayi yang sembelit selain menukar susu.

Perkongsian kali ini akan mengupas punca utama terjadinya sembelit di kalangan bayi dan langkah-langkah yang boleh anda lakukan untuk mengekang masalah seperti ini berulang.

Seterusnya, kami akan membawakan pandangan doktor mengenai susu untuk bayi mengikut usia untuk membantu mengatasi isu sembelit di kalangan bayi dan kanak-kanak.

3 Kesalahan Ibu Bapa Yang Menjadi Punca Bayi Sembelit

Menurut Dr Hairin Anisa Tajudin, doktor pakar kanak-kanak dan konsultan penyusuan Pusat Rawatan Pakar Kanak-kanak Adda kebanyakan kes bayi dan kanak-kanak sembelit yang ditemui di kliniknya berpunca daripada 3 keadaan berikut:

1. Ibu bapa memberikan susu formula dan terlalu bergantung kepada susu tersebut

Susu formula mengambil masa untuk dicernakan dan menyebabkan bayi rasa kenyang lebih lama terutamanya susu yang tinggi kalori. Kandungannya pula terdiri daripada tepung seperti tepung jagung iaitu bahan berkanji yang menyebabkan najis menjadi keras dan mempunyai tekstur seperti gam.

2. Kurang minum air masak kosong dan jika diberikan pun tidak memenuhi keperluan harian

Air masak sangat penting untuk menghasilkan najis yang lembut supaya lebih mudah untuk dibuang daripada usus. Jika air dalam badan kurang atau dehidrasi berlaku, badan akan menyerap air daripada usus. Keadaan ini menjadikan najis lebih keras dan sukar dibuang.

3. Kurang pengambilan makanan berserat

Serat berfungsi seperti span. Serat tidak dicernakan oleh sistem pencernaan tetapi ditinggalkan dalam usus untuk membantu menyerap air daripada usus yang mengandungi najis. Ia menjadikan najis lebih lembut. Buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin berserat tinggi adalah makanan yang bagus untuk perjalanan usus.

Ibu bapa yang mempunyai bayi sembelit seringkali memberitahu bahawa mereka telah memasukkan sayur-sayuran ke dalam makanan anak mereka, tetapi satu jenis sayur-sayuran sahaja tidak mencukupi. Sebaliknya ibu bapa perlu membanyakkan porsi serat dalam setiap hidangan dan mempelbagaikan jenis sayur-sayuran.

BACA JUGA  5 Petua Hilangkan Sembelit Bayi Yang Boleh Dilakukan Di Rumah

Tambahan pula, ada ibu bapa yang keliru dengan kentang yang dikatakan sejenis sayur. Kentang sebenarnya makanan yang tinggi dengan karbohidrat dan kanji. Ia menjadikan najis lebih keras dan seterusnya memburukkan lagi keadaan sembelit.

Ada ibu bapa yang berikhtiar dengan memberi bayi mereka supplemen serat. Tidak perlu membeli serat daripada farmasi sebenarnya kerana serat semulajadi yang terdapat dalam sayur-sayuran dan buah-buahan sudah mencukupi.

Selain itu, ada segelintir ibu bapa memberikan anak-anak mereka yang sembelit susu formula improve transit tetapi anak mereka masih lagi sembelit kerana masalah sebenarnya terletak pada jumlah pengambilan serat harian dalam diet anak-anak.

Selain daripada corak pemakanan, sembelit bayi juga boleh berpunca daripada masalah berikut:

  • Bayi tidak sihat dan kurang makan serta minum
  • Jenis ubat-ubatan seperti ubak tahan sakit dan suplemen zat besi boleh menyebabkan sembelit
  • Bayi pramatang mempunyai usus yang belum matang sepenuhnya
  • Bayi mempunyai sejarah keluarga yang berkait dengan penyakit tertentu seperti Hirschsprung, sembelit yang kronik, penyakit celiac dan cystic fibrosis

Susu Untuk Bayi Sembelit Berusia 1 Tahun Ke Bawah

#1 Susu Ibu

Susu ibu tetap merupakan susu yang terbaik untuk bayi sembelit berusia 1 tahun ke bawah. Kandungan nutrien dan antibodi yang dihasilkan oleh kelenjar susu ibu sangat memenuhi keperluan tubuh setiap bayi. Ibu-ibu yang mahukan susu terbaik untuk bayi mereka perlu berusaha untuk menyusukan bayi mereka.

Menurut Dr Hairin Anisa, jarang-jarang sekali ibu mempunyai masalah susu sedikit. Ibu-ibu perlu belajar melalui guru yang betul dan banyakkan membaca info-info penting mengenai penyusuan. Selalunya ramai ibu yg memang kurang ilmu asas penyusuan seperti positioning, latching & cradling yang tak betul tapi salah anggap susunya tak ada.

Hampir setiap hospital mempunyai unit laktasi untuk membantu ibu-ibu yang mempunyai masalah dalam penyusuan. Selain itu, anda juga boleh mencari dan menghubungi kaunselor laktasi berhampiran anda untuk mendapatkan konsultasi.

#2 Susu formula

Memilih Jenama Susu Formula Terbaik
MStar

 

Alternatif susu terbaik untuk bayi berusia 1 tahun seterusnya ialah susu formula.

Apakah jenama susu formula terbaik untuk bayi sembelit?

Ramai yang menyangka kandungan zat besi di dalam susu formula menyebabkan sembelit. Ini berdasarkan kepada pemerhatian ke atas ibu-ibu hamil yang mengalami masalah ini kerana pengambilan suplemen zat besi semasa mengandung.

Menurut kajian, bayi yang diberikan susu rendah zat besi mengalami sembelit sama seperti bayi yang menerima susu yang mempunyai lebih banyak kandungan zat besi. Jadi, jumlah zat besi di dalam susu formula tidak mempengaruhi sembelit.

Kemungkinan berlakunya bayi sembelit kerana bayi tersebut alergik kepada sesetengah protein di dalam susu lembu.

Jadi ibu bapa perlu menukar jenama susu formula menggunakan teknik trial and error untuk mencari susu untuk bayi sembelit yang sesuai. Periksa dan bandingkan kandungan protein di dalam susu setiap jenama terlebih dahulu sebelum membuat pilihan.

BACA JUGA  5 Petua Hilangkan Sembelit Bayi Yang Boleh Dilakukan Di Rumah

Kebanyakan susu formula masa kini sudah dilengkapi dengan zat DHA dan ARA yang baik untuk perkembangan otak.

Selain itu, ibu bapa boleh juga mencuba susu formula berasaskan soya. Walaupun susu jenis ini selalunya menghasilkan najis yang lebih keras, tetapi tidak jika bayi anda mempunyai alergik kepada protein susu lembu.

Sampel-sampel percuma susu formula boleh didapati daripada hospital atau klinik semasa melahirkan bayi atau klinik yang anda kunjungi untuk membuat pemeriksaan kesihatan anak anda.

Selain itu untuk membantu membuat pemilihan susu formula terbaik untuk kanak-kanak sembelit, anda boleh mengunjungi website-website setiap jenama susu kerana biasanya mereka akan menyediakan borang untuk mendapatkan sampel percuma. Tetapi sampel ini disediakan untuk kanak-kanak yang berusia 1 tahun ke atas sahaja.

 

Kenapa tidak susu lembu bukan formula?

Susu lembu bukan formula seperti susu segar dan susu penuh krim UHT pula tidak sesuai untuk diberikan kepada anak-anak yang berumur kurang daripada setahun. Susu lembu mengandungi kandungan zat besi yang rendah, tidak cukup untuk memenuhi keperluan bayi usia tersebut. Kekurangan zat besi boleh menyebabkan iron deficiency anemia.

Tambahan pula, susu lembu juga mengandungi jumlah kandungan zat potasium, sodium, klorida dan protein yang belum mampu ditampung oleh kapasiti buah pinggang bayi usia tersebut.

Susu Untuk Bayi Sembelit Berusia Lebih 1 Tahun

Bayi yang berusia lebih setahun masih boleh meneruskan penyusuan ibu seperti biasa dan mula mencuba pelbagai jenis makanan pejal secara berperingkat daripada usia 6 bulan. Ini penting untuk merangsang deria bayi melalui rasa dan tekstur makanan.

Pada umur 1 tahun, kekerapan untuk bayi makan makanan pejal yang sepatutnya ialah 3 kali sehari.

Susu boleh diberikan samada sebelum atau selepas makan dan sebelum waktu tidur.

Pada peringkat ini, anda sudah boleh mula memberikan susu lembu samada dalam bentuk susu segar atau susu UHT penuh krim (full cream). Jadi anda sudah boleh menghentikan memberi susu formula.

Menurut seorang lagi doktor perubatan, Dr Aishah Alsagoff, susu full cream merupakan pilihan susu untuk bayi sembelit yang lebih sesuai berbanding susu segar kerana susu full cream telah diproses dan dicukupkan nutrisi.

Susu segar hanyalah susu yang disterilkan sahaja dan tidak mengandungi nutrisi lengkap untuk tumbesaran bayi seperti vitamin A dan D3. Kandungan lemak, protein dan karbohidrat kedua-dua jenis susu ini adalah sama.

 

Proses Menghasilkan Susu Full Cream

Setiap susu yang dikotakkan telah melalui 3 proses : pasteurisation, homogenization dan fortification.

Pasteurisation bermaksud susu dipanaskan dengan suhu yang tinggi untuk membunuh bakteria dan memanjangkan jangka hayat simpanan susu. Susu UHT pula adalah susu yang dipanaskan dengan suhu yang lebih tinggi, ‘ultra high temperature’.

BACA JUGA  5 Petua Hilangkan Sembelit Bayi Yang Boleh Dilakukan Di Rumah

Selepas itu proses homogenization adalah untuk membentuk tekstur susu yang licin dan sekata.

Akhir sekali susu melalui proses fortification untuk meninggikan nutrisi dalam susu dan menggantikan nutrisi yang hilang semasa melalui proses pemanasan tadi.

Perbandingan Antara Susu Lembu Yang Ada Di Pasaran

Anda sudah mengetahui pilihan terbaik untuk dijadikan sebagai susu untuk bayi sembelit. Sekarang, bagaimana pula untuk membuat pilihan daripada jenis-jenis susu segar yang ada di pasaran.

Dari segi kandungan nutrisi, kesemua susu lembu yang ada di pasaran mempunyai jumlah karbohidrat dan protein yang sama. Yang membezakan antara satu sama lain hanyalah jenis vitamin dan jumlah kandungan lemak.

1. Whole cream/pure milk

Ini susu lembu yang diproses dan ditambah nutrisi, sama seperti susu full cream. Kandungan lemak adlah sekitar 3.4% dan mengandungi vitamin A, D3, B2, dan B12 yang mencukupi.

2. Susu skim

Susu lembu yang telah dikeluarkan ‘cream’ ataupun ‘milkfat’ supaya rendah lemak dan rendah kalori. Kandungan lemak susu ini sangat rendah iaitu hanya 0.1-0.2%. Sumber vitamin A juga lebih rendah berbanding susu lain. Sesuai untuk orang yang sedang menjaga berat badan dan tidak mahu banyak kalori. Susu ini tidak sesuai untuk bayi.

3. Susu rendah lemak (Low fat milk)

Berbanding susu skim, hanya sebahagian ‘milkfat’ dikeluarkan daripada susu ini. Kandungan lemak 1-2%, lebih rendah dari susu asli. Susu ini juga tidak sesuai untuk bayi berusia bawah 2 tahun kerana mereka memerlukan lemak untuk membantu perkembangan otak.

4. Susu mentah atau yang tidak dipasteurkan

Susu lembu asli yang tidak melalui proses pensterilan, diambil terus dari perahan. Biasanya ia mudah didapati  di ladang-ladang. Tidak boleh diberikan kepada bayi kerana susu yang tidak melalui proses pempasteuran mempunyai risiko jangkitan kuman.

Kesimpulan

Ibu-ibu yang bakal menimang cahaya mata perlu menitikberatkan perancangan untuk menyusukan bayi kerana susu ibu merupakan susu yang terbaik untuk bayi, samada bayi mempunyai masalah sembelit atau pun tidak. Dengan mempelajari bagaimana susu ibu dihasilkan dan teknik penyusuan yang betul, anda pasti boleh mengelakkan memberi susu formula kepada bayi anda kerana susu formula lebih cenderung untuk menyebabkan bayi sembelit.

Seterusnya, apabila bayi sudah mula mencapai umur untuk makan makanan pejal, ibu perlu merancang menu sihat yang kaya dengan serat untuk mencegah masalah sembelit. Tabiat makan yang sihat ini akan terbawa-bawa ke usia seterusnya dan kekal sepanjang mereka hidup.

Selain itu, biasakan membaca label kandungan produk untuk memastikan jumlah nutrisi yang diperoleh adalah bersesuaian, tidak kurang dan tidak pula berlebihan.

Semoga panduan susu untuk bayi sembelit ini dapat membantu ibu bapa membuat pilihan terbaik untuk mencorakkan pola pemakanan anak-anak anda dan mengatasi masalah sembelit di kalangan bayi dan kanak-kanak.

susu untuk bayi sembelit

  • 19
    Shares
  • 19
    Shares
Close Menu