Connect with us

Psikologi

Seni Kraftangan Baik Untuk Kesihatan Mental Yang Positif

Orang dulu-dulu di waktu paginya penat mengerjakan bendang, petangnya mereka melepaskan lelah dengan membuat dan bermain wau atau menjahit. Ternyata aktiviti menghasilkan seni kraf menjadi satu terapi kepada fizikal dan minda yang kepenatan selepas seharian bekerja.

Kini, menghasilkan seni kraftangan, menjahit, mengait, mewarna, mencuba resepi baru dan berkebun merupakan antara senarai aktiviti yang menjadi penawar atau antidote kepada tekanan hidup di zaman moden.

Bagaimana seni kraftangan menghasilkan impak yang positif kepada kesihatan?

Kerja-kerja kraftangan seperti mengait, menjahit, menghasilkan barang-barang seramik seperti membuat pasu atau bertukang merupakan aktiviti yang dibuat berulang-ulang serta skil yang boleh dipertingkatkan seiring dengan pengulangan tersebut. Ia menghasilkan ‘flow’ iaitu keadaan di mana manusia berasa seronok, lebih kreatif dan mendapat kepuasan hasil daripada cabaran dan skil yang diperoleh semasa membuat aktiviti kraftangan.

Di sebalik kesibukan mengejar arus kemodenan dan digital yang berjalan dengan pantas lagi deras, manusia semakin kehilangan masa untuk menerokai minda dan jiwa mereka sendiri. Aktiviti menghasilkan kraftangan sebenarnya memberi peluang kepada kita untuk merasakan keberadaan diri dan memberikan ketenangan kepada jiwa, kelapangan fikiran dan kesegaran kepada tubuh badan.

Seni kraf sebagai terapi

Seni kraf sudah mula digunakan sebagai sebahagian daripada terapi carakerja di institusi perubatan selepas zaman Perang Dunia. Ketika itu ia digunakan untuk merawat askar-askar yang pulang dari medan peperangan dan mengalami trauma teruk yang dikenali sebagai Post Traumatic Stress Disorder (PTSD). Ia berkesan untuk mengalihkan perhatian askar-askar terbabit daripada merasai ‘kesakitan’ dan fikiran-fikiran negatif akibat perang (diversional therapy), selain membina skil baru untuk menyiapkan diri mereka untuk memasuki alam pekerjaan sebagai orang awam.

Sejak daripada itu, terdapat beberapa kajian dilakukan untuk mengkaji bagaimana seni kraf memberi kesan kepada kesihatan terutamanya kesihatan mental. Antaranya ialah kesan aktiviti mengait ke atas mental seseorang.

Kajian-kajian sains berkenaan seni kraftangan

Dalam satu tinjauan online yang dilakukan ke atas 3,545 orang yang aktif melakukan aktiviti mengait, peserta menyenaraikan kesan-kesan yang dirasai oleh mereka hasil daripada mengait secara kerap. Kesan-kesan tersebut ialah :

  • Berasa sangat rileks
  • Melegakan diri daripada stres
  • Mencapai kepuasan diri
  • Meningkatkan rasa gembira dan bahagia
  • Mengurangkan keresahan (anxiety)
  • Meningkatkan keyakinan
  • Meningkatkan kebolehan kognitif seperti konsentrasi, memori dan kebolehan berfikir melalui masalah

Seni kraftangan juga diperkenalkan di kalangan pesakit anoreksia nervosa yang berada di hospital dan mereka melaporkan ia membantu mengurangkan gejala keresahan (anxiety). Seramai 74% responden memberitahu bahawa aktiviti ini berjaya mengalih perhatian dan fokus mereka terhadap gangguan fikiran dan emosi yang negatif, selain berada lebih rileks dan selesa. Lebih separuh daripada responden pula mengakui bahawa seni kraftangan mengurangkan rasa stres, merasa lebih sempurna, dan kurang rasa untuk bertindak ke atas fikiran-fikiran negatif yang berulangkali mengganggu mereka (ruminating thought).

Dalam satu kajian lain, aktiviti mengait didapati mengurangkan stres di tempat kerja dan rasa keletihan serta kurang simpati terhadap pesakit (compassion fatigue) di kalangan jururawat bahagian onkologi.

Menjahit selimut atau quilting pula didapati meningkatkan rasa kesejahteraan di kalangan pelakunya seiring dengan masa. Dalam satu kajian, pelakunya melaporkan kerja-kerja menjahit selimut memberikan cabaran, memerlukan pemikiran kognitif, memperbaik skil sedia ada atau membentuk satu skil yang baru, dan bermain dengan kombinasi warna menaikkan semangat mereka terutamanya di musim sejuk. Hasil daripada jahitan pula biasanya diberikan kepada golongan yang memerlukan – menambahkan lagi rasa kesejahteraan pada emosi mereka.

Individu-individu yang mengalami kemurungan (depression) atau pesakit yang menghidapi penyakit kronik juga mengakui bahawa seni kraf berasaskan tekstil seperti menjahit dan quilting meningkatkan keyakinan diri, mendorong mereka untuk menjalinkan hubungan dengan dunia luar dan menanamkan rasa untuk meneruskan kehidupan yang lebih positif.

Selain wanita, lelaki juga mendapat manfaat serupa melalui aktiviti-aktiviti seperti bertukang, membaiki alatan dan merekacipta. Di Australia, terdapat satu komuniti sosial di kalangan lelaki berumur melibatkan kerja-kerja pertukangan yang dinamakan Men’s Shed. Dalam kajian yang dijalankan ke atas para peserta, mereka melaporkan pengurangan simptom-simptom kemurungan dan peningkatan terhadap keyakinan dan harga diri mereka.

Walaupun aktiviti-aktiviti seni kraf seperti menjahit, quilting dan bertukang pada asalnya merupakan satu aktiviti yang dilakukan secara perseorangan, tetapi manfaat yang besar juga didapati hasil daripada melakukannya secara berkumpulan. Pesakit boleh memilih sama ada melakukannya secara individu atau berkumpulan.

Sebahagian besar daripada kajian-kajian yang dilakukan terhadap perkaitan antara seni kraftangan dan kesihatan adalah bersifat kualitatif dan kesan-kesannya adalah subjektif pada pelakunya. Kajian ini lebih memfokuskan kepada impak kesihatan mental yang positif terhadap kesihatan secara menyeluruh. Walaupun masih banyak ruang yang perlu diterokai dalam mengaitkan kesan seni kraf terhadap kesihatan secara saintifik, kajian-kajian yang ada sebelum ini membuktikan seni kraf masih mempunyai peranan dalam meningkatkan kualiti hidup pelakunya.

Sumber: TheConversation

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *