Connect with us

Tips Kurus

Sebab Ketiga Kenapa Perempuan Tidak Patut Obes

Seperti yang telah saya jelaskan dalam post yang lalu, lemak adalah salah satu daripada sumber hormon estrogen. Namun begitu, sumber utama pada umur yang produktif ialah ovari. Sebelum perempuan putus haid (baca : menopaus), hormone progesteron akan mengawal kadar hormon estrogen dalam darah.

Tetapi, apabila menopaus, estrogen hanya dirembeskan oleh lemak dan hormon progesteron sudah tidak ada. Jadi di sini kadar estrogen menjadi tinggi dalam tubuh kita.

Masih ingatkah dengan fungsi estrogen dalam entri sebelum ini?

Antara sasarannya ialah payudara, ovari dan uterus. Bayangkan apabila menopaus, tiada lagi progesteron yang bertindak untuk melawan balik kesan estrogen ke atas 3 organ ini.

Apa akan jadi? Ya, sel-sel akan membahagi tanpa kawalan dan bermaharajalela sehingga menjadi tumor atau barah.

Hasilnya ialah barah payudara, barah ovari dan barah uterus.

Perempuan yang sudah putus haid dan obes, berisiko 1.5 kali ganda untuk mendapat kanser payu dara. Di US, dianggarkan 11,000 hingga 18,000 kematian akibat barah payudara di kalangan wanita berusia 50 tahun dapat dielakkan jika mereka berjaya mengekalkan BMI kurang daripada 25. (Ketahui cara kira BMI yang betul)

Walau bagaimanapun, risikonya lebih rendah dan sama dengan wanita yang mempunyai berat badan yang sihat, jika mereka mendapatkan rawatan hormon.

Wanita yang mempunyai banyak lemak bertumpu di bahagian perut lebih berisiko daripada wanita yang mempunyai lebihan lemak di pinggul atau bahagian lain.

Selain itu, keadaan yang obes melambatkan diagnosis kanser di kalangan mereka yang berlebihan berat badan atau obes. Yalah, sukar untuk membezakan sel kanser dan sel normal. Senario ini banyak berlaku dalam kes-kes yang saya temui semasa praktikal di wad.

BACA JUGA  Pasangan Suami Isteri Ini Berjaya Turunkan Berat Badan Sebanyak 9.8kg Selepas 2 Minggu Berdiet

40% daripada kes kanser uterus (endometrial cancer) dikaitkan dengan obesiti dan juga berlebihan berat badan. Dianggarkan bahawa risikonya adalah 2-4 kali ganda lebih tinggi daripada wanita yang BMI kurang daripada 25.

Namun, kajian menunjukkan bahawa dengan berjalan selama 30 minit sehari, risiko kanser uterus dapat dikurangkan.

Walaupun tiada kajian yang dapat membuktikan dengan jelas akan kesan obesiti terhadap barah ovari, tetapi pakar dalam bidang ini membuktikan bahawa obesiti memburukkan lagi barah ovari sehingga membawa kepada kematian.

Jadi, jom sama-sama berusaha untuk kawal berat badan. Sertai usaha ini dengan tawakkal kepadaNya kerana tiada yang dapat menjadikan penyakit itu ada melainkan Allah, dan tiada yang dapat menyembuhkan melainkan Allah.


Artikel ini diterbitkan semula dengan kebenaran penulis.

  • 15
    Shares