Sakit Kepala Sebelah Kanan: Punca & Tips Untuk Mengatasinya

Setiap tahun, seramai 50% orang dewasa mengadu sakit kepala menjadikan ia masalah kesihatan yang paling popular. Sakit kepala boleh dirasai samada pada satu bahagian kepala saja atau kedua-dua belah.

Ketahui punca berlakunya sakit kepala sebelah kanan dan petua hilangkan sakit kepala dengan cepat.

Apakah penyebab berlakunya sakit kepala sebelah kanan?

Agak sukar sebenarnya untuk menentukan punca berlakunya sakit kepala. Jika anda kerap mengalami sakit kepala sebelah kanan, anda mungkin mengalami masalah ini.

Masalah saraf

Sakit kepala pada sebelah bahagian berkemungkinan disebabkan oleh masalah berkaitan otak, seperti:

  • Oksipital neuralgia (Occipital neuralgia): Ia berlaku kerana tisu saraf daripada bahagian atas saraf tunjang mengalami keradangan atau kerosakan. Antara gejala yang dialami ialah sakit menyengat pada bahagian belakang kepala atau leher, sakit pada bahagian mata dan mata menjadi lebih sensitif terhadap cahaya.
  • Temporal arteritis: Keradangan pada salur darah (arteri) di bahagian kepala dan leher. Pesakit biasanya merasa sakit otot di sekitar bahagian tersebut dan sakit kepala yang kuat pada sebahagian daripada kepala. Pesakit juga mengalami keletihan dan sakit rahang.
  • Trigeminal neuralgia: Sakit pada sebahagian daripada muka dan kepala. Ia berlaku kerana gangguan pada saraf trigeminal di dalam otak.

Penggunaan ubat-ubatan

Sakit kepala yang sedang anda alami mungkin merupakan kesan sampingan kepada ubat-ubatan yang anda sedang ambil.

Atau, ia juga mungkin petanda anda mengambil dos ubat yang berlebihan, terutamanya ubat jenis tahan sakit – Panadol, aspirin dan ibuprofen. Sakit kepala yang disebabkan oleh salah guna ubat ini biasanya paling teruk dirasai ketika seseorang bangun tidur.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penggunaan ubat-ubatan merupakan sebab paling popular yang mencetuskan sakit kepala sekunder.

Lain-lain penyebab sakit kepala sebelah kanan

Antara penyebab lain bagi masalah sakit kepala samada sebahagian kepala sahaja mahupun seluruh kawasan kepala ialah:

  • alergi
  • aneurisme – keadaan di arteri kembung atau bengkak disebabkan oleh salur darah yang lemah
  • keletihan
  • kecederaan kepala
  • jangkitan terutamanya jangkitan sinus
  • otot leher tegang atau tergeliat
  • jadual makan yang tidak menentu – menyebabkan paras gula turun naik mendadak
  • tumor
BACA JUGA  Mengatasi Migrain Menggunakan Suplemen Magnesium

Sakit Kepala Sebelah Kanan

Jenis sakit kepala yang menyebabkan sakit kepala sebelah kanan

Menurut sumber daripada Harvard Medical School, terdapat lebih 300 jenis sakit kepala. Walau bagaimanapun, hanya 10% saja jenis sakit kepala ini yang diketahui puncanya.

Besar kemungkinan, jika anda mengalami sakit kepala di sebelah kanan ia disebakan oleh migrain atau sakit kepala jenis kluster. Kadang-kadang sakit kepala tegang (tension headache) juga boleh menyebabkan sakit pada sebahagian kepala walaupun selalunya jenis ini lebih dikenali dengan kesakitan pada seluruh kepala.

Migrain

Migrain digambarkan sebagai sakit kepala berdenyut. Ia mempunyai hubungkait yang rapat dengan faktor genetik.

Tanda-tanda migrain. Rasa berdenyut di kepala ini biasanya disertai dengan simptom-simptom berikut:

  • penglihatan menjadi kabur
  • mual-mula dan loya
  • sensitif kepada cahaya
  • sensitif kepada bunyi
  • muntah

Hampir satu pertiga daripada mereka yang mengalami migrain akan mengalami gangguan penglihatan atau penglihatan kabur sejurus sebelum migrain menyerang. Situasi ini dinamakan sebagai aura.

Simptom migrain boleh berlanjutan sehingga 3 hari dan kebanyakan orang mengalami sakit sebelah kepala sahaja.

Penyebab migrain berlaku. Berikut ialah senarai faktor yang boleh menyebabkan migrain:

  • cahaya yang terang
  • perubahan cuaca yang melibatkan perubahan kelembapan, haba dan tekanan
  • stres atau penyakit keresahan
  • makanan dan minuman seperti alkohol, makanan berkeju, coklat dan daging diproses
  • wanita yang mengalami perubahan hormon
  • bunyi yang kuat
  • jadual makan yang tidak konsisten
  • bau yang kuat
  • keletihan
  • terlalu banyak tidur atau kurang tidur

Cara mengatasi migrain. Rawatan awal diperlukan untuk mengurangkan kesakitan dan jangkamasa migrain berlaku. Biasanya ia melibatkan pengambilan ubat penahan sakit. Pengambilan suplemen seperti magnesium juga membantu mengatasi migrain. Mereka yang menghidap migrain perlu menjauhi faktor-faktor penyebab migrain di atas atau jika keadaan migrain anda sangat teruk, dapatkan rawatan daripada doktor.

BACA JUGA  15 Petua dan Cara Hilangkan Migrain Yang Efektif

Sakit kepala jenis kluster

Sakit kepala jenis kluster jarang-jarang dijumpai di kalangan pesakit berbanding jenis sakit kepala yang lain, tetapi tahap kesakitannya merupakan yang paling teruk. Sakit kepala kluster mempunyai kitaran yang tertentu.

Biasanya penghidap sakit kepala jenis ini mengalami sakit kepala selama beberapa jam setiap hari, selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan sebelum ia hilang. Sakit kepala kluster boleh berlaku berkali-kali dalam beberapa hari.

Pesakit akan merasa sakit pada sebelah kepala sahaja. Kebanyakan pesakit adalah lelaki dan ia bermula sekitar umur 30 hingga 40an.

Tanda-tanda lain sakit kepala kluster:

  • Berpeluh-peluh di muka
  • Kulit kelihatan pucat
  • Mata merah dan berair
  • Hidung tersumbat atau berair
  • Bengkak di bahagian mata

Punca berlakunya sakit kepala jenis kluster tidak diketahui, tetapi merokok, arak dan sejarah keluarga meningkatkan risiko penyakit ini.

Tidak ada rawatan spesifik untuk penyakit ini. Rawatan hanya bertujuan untuk mengurangkan kekerapan dan tahap kesakitan apabila ia berlaku.

Sakit kepala jenis tekanan

75% daripada sakit kepala yang dialami merupakan daripada jenis tekanan. Selalunya sakit kepala jenis ini dirasai pada keseluruhan kepala tetapi terdapat juga kes-kes di mana penghidap sakit kepala jenis tekanan mengalami sakit sebelah kepala sahaja.

Tanda-tanda lain sakit kepala jenis tekanan:

  • Kadar kesakitannya rendah atau sederhana
  • Kepala terasa tegang
  • Otot bahu dan leher juga terasa tegang

Gejala bagi sakit kepala jenis tekanan ini selalunya berlaku selama beberapa minit atau beberapa jam.

Sakit kepala jenis tekanan yang jarang-jarang berlaku boleh hilang dengan mengambil ubat penahan sakit atau mengamalkan petua hilangkan sakit kepala yang pernah kami kongsikan sebelum ini.

Tetapi jika sakit kepala jenis ini berlaku dengan kerap, anda perlu memeriksa gaya hidup anda, mengenalpasti dan menghindari rangsangan-rangsangan yang menjadikan ia berlaku dan mendapatkan preskripsi daripada doktor.

BACA JUGA  Mengatasi Migrain Menggunakan Suplemen Magnesium

Bilakah sakit kepala sebelah kanan memerlukan perhatian doktor?

Kebanyakan sakit kepala akan hilang tanpa memerlukan rawatan khusus. Sekiranya anda kerap mengalami sakit kepala, doktor boleh membantu anda mengenalpasti penyebab atau rangsangan yang menjadikan anda selalu sakit.

Mereka yang mengalami sakit kepala yang disertai gejala-gejala berikut juga perlu mendapatkan nasihat daripada doktor:

  • penglihatan terganggu
  • kekeliruan
  • demam
  • kecederaan pada kepala
  • semakin sakit apabila melakukan pergerakan
  • perubahan pada personaliti
  • ruam
  • tidur terganggu
  • percakapan menjadi tidak jelas

Mereka yang mengalami sakit kepala yang keterlaluan atau semakin teruk juga perlu mendapatkan rawatan doktor.

Petua hilangkan sakit kepala dengan cepat

Kebanyakan sakit kepala boleh diatasi di rumah. Berikut ialah petua hilangkan sakit kepala yang boleh anda lakukan untuk mendapatkan kelegaan dengan segera:

  • Letakkan tuam panas atau sejuk di belakang tengkuk
  • Hindari makanan penyebab sakit kepala seperti alkohol, kafein dan MSG
  • Minum banyak air untuk mengelakkan dehidrasi
  • Tidur sekejap
  • Longgarkan ikatan rambut
  • Lakukan urutan pada kepala dan leher
  • Elakkan diri daripada cahaya yang terang, bunyi yang kuat atau bau yang mengganggu
  • Betulkan posisi semasa duduk dan tidur untuk mengurangkan ketegangan pada otot leher
  • Mandi menggunakan air suam
  • Hentikan penggunaan skrin seperti TV, telefon dan tablet
  • Lakukan latihan pernafasan untuk mengurangkan stres
  • Gunakan aromaterapi

 

Sumber: Medical News Today

Close Menu