Begini Rupa Penyakit Kayap, Mereka Yang Pernah Terkena Cacar Air Perlu Tahu

Penyakit kayap atau dalam bidang perubatan lebih dikenali sebagai herpes zoster, berpunca daripada virus yang sama dengan cacar air (chicken pox) iaitu varicella zoster. Pengaktifan semula virus tersebut di dalam tisu saraf menyebabkan ruam kulit yang menyakitkan.

Sistem imun yang lemah merupakan sebab utama pengaktifan virus varicella zoster. Oleh itu, individu yang berusia 50 tahun ke atas atau menghidapi penyakit yang melemahkan sistem pertahanan tubuh seperti AIDS berisiko untuk mendapat penyakit kayap.

Menurut Ketua dan Perunding Perubatan Kanan, Unit Penyakit Berjangkit di Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr. Christopher Lee, sebanyak 50% mereka yang pernah menghidapi penyakit cacar air dan mencapai umur 85 tahun, pernah atau akan menghidap kayap pada sesuatu masa dalam hidupnya.

Ruam penyakit kayap
Gelembung air yang sudah pecah pada bahagian hadapan dada. Sumber: Portal MYHEALTH KKM

 

tanda penyakit kayap
Ruam kayap muncul pada jajaran saraf pada sebahagian tubuh. Sumber: Portal MYHEALTH KKM

 

Berikut ialah kronologi bagi penyakit kayap.

Hari 1-3: Tanda-tanda awal penyakit kayap

Penyakit kayap biasanya diawali dengan demam dan rasa letih. Ia disertai oleh rasa sakit, panas dan kebas pada bahagian saraf yang terlibat. Bahagian saraf yang didiami oleh virus ini mempunyai fungsi yang khusus terhadap sentuhan dan rasa sakit. Sebab itu, kesakitan merupakan tanda awal penyakit ini.

Tanda-tanda kulit iaitu ruam akan muncul beberapa hari kemudian.

Tompok-tompok kemerahan timbul pada sebelah bahagian badan sahaja, biasanya pada badan atau muka. Jarang-jarang sekali tompokan ini berlaku pada bahagian paha dan kaki.

Ruam ini biasanya berjajaran dengan urat saraf terlibat. Sesetengah pesakit akan merasakan kesakitan yang kuat pada bahagian tersebut.

Pada fasa ini, penyakit kayap tidak menyebabkan jangkitan.

Hari 3-5: Kemunculan gelembung air

Selepas 1-2 hari, ruam yang pada mulanya kelihatan biasa akan mula membentuk gelembung-gelembung air. Rupanya sama seperti cacar air. Bagaimanapun, gelembung air ini hanya muncul pada bahagian tubuh yang terlibat sahaja dan tidak menjangkiti bahagian tubuh yang lain.

Jarang sekali gelembung air ini menyebabkan jangkitan pada individu lain melainkan individu tersebut tidak pernah terkena cacar air atau tidak pernah disuntik vaksin cacar air.

Hari 5-14: Gelembung meletus menjadi ulser dan kuping kering

Gelembung air yang meletus akan bertukar menjadi kekuningan dan mula mengering. Kuping akan terbentuk dan mengambil masa 1-2 mingu untuk luruh.

Pada waktu ini, rasa sakit sudah mula berkurangan. Namun begitu, walaupun ruam telahpun hilang, rasa sakit itu boleh berlarutan sehingga sebulan – malah ada yang menanggung derita penyakit kayap sehingga bertahun-tahun untuk pulih sepenuhnya.

Hanya apabila ruam tersebut kering dan pulih sepenuhnya, barulah risiko jangkitan akan berkurang.

Berupa tali pinggang

Jajaran ruam pada saraf bahagian dada atau pinggang, boleh menyebabkan kayap kelihatan seperti tali pinggang atau kayap ular. Memakai pakaian yang ketat akan membuatkan pesakit berasa tidak selesa.

Kayap pada mata

Kayap pada bahagian mata menyebabkan rasa terbakar atau berdenyut-denyut pada mata dan mata berair. Selain itu, bengkak akan terjadi pada kelopak mata, retina dan kornea mata. Mata menjadi lebih sensitif kepada cahaya dan penglihatan mula kabur.

Ruam juga boleh terbentuk di sekitar dahi dan bahagian sisi hidung, menyebabkan pesakit rasa sakit kepala. Jika tidak dirawat, kayap pada mata boleh menyebabkan buta.

Penjagaan kulit

Mana-mana gelembung air yang pecah terdedah kepada risiko jangkitan sekunder oleh bakteria. Oleh itu, pastikan kawasan yang terlibat bersih dan elakkan menggaru.

Jangkitan yang teruk boleh menyebabkan parut kayap kekal. Laporkan kepada doktor sekiranya bahagian yang terkena kayap mengalami tanda-tanda jangkitan (semakin bengkak dan berair) untuk mengelakkan ia merebak.

Fasa Penyembuhan

Penyakit kayap mengambil masa 2 hingga 4 minggu untuk sembuh dan kebanyakan pesakit sembuh sepenuhnya tanpa komplikasi. Namun begitu, sesetengah individu mungkin akan mendapat parut.

Terdapat kes di mana pesakit berterusan mengalami kesakitan walaupun ruam telah hilang. Situasi ini dinamakan sebagai neuralgia pascaherpes (PHN), di mana virus varicella zoster yang membiak menyebabkan kerosakan pada saraf. Ini menyebabkan pesakit menderita dan merasa terbeban sehingga ada yang mengalami kemurungan.

 

Sumber:

Healthline
Sinar Harian
(Gambar) Medscape

  • 1
    Share
  • 1
    Share
Close Menu