Jangkitan Kulat Pada Faraj : Adakah Anda Boleh Merawat Sendiri Di Rumah?

3 daripada 4 wanita berisiko mengalami jangkitan kulat pada faraj sepanjang hidup mereka. Kebanyakan wanita mengalaminya sekurang-kurangnya 2 kali seumur hidup. Inilah statistik yang perlu anda ketahui untuk kesihatan vagina anda.

Ramai yang salah anggap jangkitan ini disebabkan oleh melakukan hubungan seksual bersama pasangan yang sudah dijangkiti.

Jangkitan kulat pada faraj tidak semestinya berlaku kerana seks. Candida albicans iaitu spesies fungi yang menyebabkan jangkitan kulat ini merupakan sebahagian daripada mikroflora yang mendiami bahagian intim manusia yang sihat. Terdapat faktor lain selain daripada hubungan seksual yang meranapkan keseimbangan mikroflora sehingga menyebabkan jangkitan berlaku.

Walaupun jangkitan kulat pada vagina dan vulva kerap berlaku dan boleh dirawat dengan hanya membeli ubatan tertentu daripada farmasi, anda perlu memerhatikan beberapa perkara sebelum melakukan rawatan di rumah. Bukan semua jenis masalah gatal pada faraj yang disertai oleh rasa pedih dan sakit ketika kencing berpunca daripada jangkitan kulat.

Kajian yang dilakukan pada tahun 2002 menunjukkan bahawa hanya 33% wanita yang menyangka mereka menghidapi jangkitan kulat pada vagina dan merawatnya sendiri, mendiagnosanya dengan tepat. Manakala pada tahun 2007, kajian yang lebih kurang serupa menunjukkan bahawa 26% sahaja yang berjaya merawat masalah mereka sendiri di rumah.

Bilakah Anda Boleh Merawat Sendiri Jangkitan Kulat Pada Faraj Di Rumah?

Jika anda pernah dijangkiti kulat pada bahagian intim sebelum ini dan anda pasti bahawa tanda-tanda yang anda alami adalah jangkitan kulat, anda boleh cuba merawatnya sendiri.

Tanda-tanda tipikal jangkitan kulat selain gatal pada kemaluan ialah keputihan yang bergumpal dan berwarna putih seperti cottage cheese. Ia tidak mempunyai sebarang perubahan bau.

Tetapi jika anda kerapkali mengalami masalah ini atau anda pernah mengalami jangkitan kulat daripada spesies lain, anda perlu berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang betul.

Jangan bertangguh untuk mendapatkan nasihat daripada doktor perubatan jika anda ragu-ragu dengan simptom yang anda alami. Jika jangkitan yang anda alami bukanlah berpunca daripada jangkitan kulat, menangguhkan rawatan atau rawatan yang salah boleh menyebabkan anda berisiko untuk mengalami radang pelvis dan juga masalah kesuburan.

Wanita yang mengandung perlu mendapatkan pengesahan daripada doktor terlebih dahulu dan doktor akan mencadangkan rawatan yang selamat untuk digunakan oleh mereka yang sedang hamil.

Masalah Kesihatan Lain Yang Sering Disalah Anggap Sebagai Jangkitan Kulat Pada Faraj

6 masalah kesihatan yang boleh menyerupai jangkitan kulat pada kemaluan wanita :

  • Penyakit Transmisi Seksual (STD): Penyakit seperti herpes, trichomoniasis dan ketuat kelamin (genital warts) selalunya mempunyai simptom gatal dan perubahan bau atau warna pada keputihan.
  • Alergi atau kulit sensitif: Produk pembersih alat sulit wanita, sabun mandi dan sesetengah sabun basuh baju boleh menyebabkan kegatalan.
  • Kekurangan hormon estrogen: Wanita yang berusia mempunyai tahap estrogen yang rendah berbanding wanita yang lebih muda. Pada usia ini, kulit vagina adalah lebih nipis dan kering menyebabkan rasa gatal, keputihan dan rasa tidak selesa. Masalah ini boleh diatasi dengan mendapatkan rawatan hormon dan menggunakan pelincir kelamin.
  • Buasir: Buasir juga boleh menyebabkan kegatalan pada kemaluan.
  • Masalah kulit yang lain: Sesetengah masalah kulit menimbulkan rasa gatal dan ia boleh diatasi dengan menggunakan steroid.
  • Luka kecil: Luka-luka pada bahagian vagina juga boleh menimbulkan rasa tidak selesa pada bahagian intim.

Kesimpulan

Bukan semua masalah gatal pada bahagian kelamin berpunca daripada jangkitan kulat. Walaupun masalah jangkitan kulat pada bahagian intim boleh dirawat dengan mudah di rumah, adalah lebih selamat jika anda mendapatkan dahulu pandangan daripada doktor terutamanya jika anda ragu-ragu dengan simptom yang sedang anda alami. Doktor akan membantu anda mendapatkan rawatan yang sepatutnya dan mengelakkan untuk mendapat risiko masalah wanita yang lebih teruk.

 

Sumber:

Huffington Post
Cleveland Clinic

Tinggalkan Balasan

Close Menu