Connect with us

Pemakanan

Rahsia Hidup Sihat Lebih 100 Tahun Menurut Masyarakat Okinawa

Okinawa merupakan salah sebuah kepulauan di Jepun, terletak 800 batu di selatan Tokyo. Pulau ini tersenarai sebagai salah satu kawasan Zon Biru – di mana purata umur penduduknya lebih panjang daripada tempat lain.

Selain Okinawa, kawasan yang turut tersenarai di dalam Zon Biru ini ialah Sardinia (Itali), Nicoya (Costa Rica), Icaria (Greece) dan kependudukan puak Adventists di Loma Linda, California.

Kesemua kawasan ini mempunyai tabiat makan dan gaya hidup sihat yang menjadikan purata jangka hayat penduduk mereka antara yang terpanjang di dunia ini. Sebelum ini kita sudah tahu 3 rahsia sihat Perdana Menteri Malaysia ke-7, Tun Dr. Mahathir. Sekarang mari kita lihat apakah rahsia yang diamalkan oleh penduduk Okinawa untuk panjang umur dan sihat selalu.

Penduduk Okinawa Tidak Hanya Panjang Umur, Tapi Sihat

Purata umur bagi lelaki di Okinawa ialah 84 tahun manakala wanita pula mencecah 90 tahun. (Malaysia – Lelaki: 73 tahun; Wanita: 78 tahun)

Selain purata umur yang tinggi, penduduk Okinawa juga lebih sihat berbanding penduduk di Amerika. Jumlah kes-kes penyakit serius seperti penyakit jantung, kanser payudara dan kanser prostat hanyalah 1/5 daripada jumlah kes penyakit yang sama di kalangan penduduk Amerika. Manakala hanya 1/2 daripada jumlah kes dementia dan Alzheimer dilaporkan di Okinawa berbanding Amerika.

Sebelum kita melihat jenis makanan yang menjadi senarai makanan ruji di Okinawa, eloklah jika kita telusuri terlebih dahulu sejarah diet penduduk Okinawa.

Diet Tradisional Mereka Yang Berusia 100 Tahun

Rata-rata penduduk Okinawa yang berusia 100 tahun hari ini, dilahirkan sekitar tahun 1903 dan 1914. Sebelum peperangan dan pengaruh Barat menyusup ke Jepun pada tahun 1940-am, imo atau keledek menjadi makanan ruji mereka. Dikatakan 60% daripada kalori harian mereka bersumberkan keledek kuning atau ungu.

BACA JUGA  3 Rahsia Kesihatan Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia Ke-7

Keledek dibawa ke Jepun 400 tahun yang lampau dari Amerika dan ia hidup subur di tanah Okinawa. Keledek merupakan makanan yang sihat dan kaya dengan nutrien seperti flavonoid, vitamin C, fiber, karotenoid dan mempunyai indeks glisemik yang rendah.

80% diet tradisional Okinawa terdiri daripada karbohidrat. Sebelum tahun 1940, rata-rata penduduk Okinawa memakan ikan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, disertai dengan 7 hidangan sayur-sayuran dan satu atau dua jenis bijirin setiap hari. Mereka juga mengambil 2 hidangan berasaskan soya terutamanya dalam bentuk tofu.

Buah-buahan jarang diambil dan hanya beberapa biji telur sahaja seminggu. Daging dan susu merangkumi hanya 3% daripada kalori harian mereka.

Ketika perayaan, mereka lebih gemar menyembelih khinzir. Walaupun khinzir mengandungi banyak lemak tak tepu. Tetapi cara masakan penduduk Okinawa iaitu dengan merebus selama beberapa hari dan menyaring lemak-lemak yang dihasilkan, menjadikan hidangan khinzir tersebut bukan sahaja kurang lemak, malah kaya dengan kolagen yang baik untuk tulang dan kulit.

Perubahan Diet Masyarakat Okinawa dan Kesannya

Selepas tahun 1940-an terdapat perubahan yang drastik dalam corak pemakanan masyarakat Okinawa. Mereka mula menggandakan pengambilan nasi dan roti. Jumlah porsi daging merah, ayam dan telur meningkat sebanyak 7 kali ganda.

Diet moden ini menyebabkan mereka mengambil lebihan 200 kalori daripada yang diperlukan.

Sudah tentu perubahan ini juga mempengaruhi rekod kesihatan mereka. Kanser paru-paru, payudara dan kolon meningkat sebanyak 2 kali ganda berbanding sebelum ini.

Senarai Makanan Panjang Umur Penduduk Okinawa

Peria: Dikenali sebagai goyain di Jepun, peria digoreng bersama sayuran yang lain dalam masakan goya champuru. Kajian mendapati bahawa peria mempunyai sifat anti-diabetik dan berupaya untuk mengawal paras gula di dalam darah.

Tofu: Masyarakat Okinawa menjadikan tofu sebagai makanan ruji mereka. Selain tofu, hidangan berasaskan soya yang lain baik untuk kesihatan jantung. Kajian menunjukkan bahawa mereka yang makan makanan berasaskan soya menggantikan daging mempunyai paras kolesterol dan lemak trigliserida yang rendah.

BACA JUGA  3 Rahsia Kesihatan Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia Ke-7

Ubi keledek: Sama seperti keledek oren, keledek ungu yang banyak ditanam di Okinawa kaya dengan antioksidan yang bertindak melambatkan penuaan sel. Walaupun keledek mengandungi kadar gula yang tinggi berbanding ubi kentang, tetapi indeks glisemiknya lebih rendah dan gula dilepaskan secara perlahan-lahan ke dalam darah.

Kunyit: Kunyit digunakan dengan meluas dalam masakan dan teh. Kunyit terkenal sebagai anti-kanser, antioksidan dan anti-keradangan. Ia juga mengandungi kurkumin iaitu bahan dapat melambatkan penyakit dementia. Sebab itu kadar penyakit dementia dan Alzheimer di kalangan orang tua di Okinawa lebih rendah berbanding Amerika.

Beras perang: Beras putih dan beras perang menjadi makanan ruji penduduk Okinawa. Beras perang lebih tinggi kualitinya berbanding beras putih. Ia direndam terlebih dahulu untuk meneutralkan asid phytic dan memecahkan enzim perencat bagi memastikan nutrien diserap baik oleh sistem pencernaan tubuh manusia.

Cendawan shiitake: Shiitake digunakan untuk memberikan rasa umami di dalam sup miso dan sayur goreng. Ia kaya dengan 100 bahan yang baik untuk sistem pertahanan tubuh manusia.

Rumpai laut: Kombu dan wakame merupakan satu lagi jenis makanan yang biasa terhidang di atas meja makan masyarakat Jepun. Ia ditambah ke dalam sup dan stew untuk memberikan rasa. Rumpai laut mengandungi karotenoid, folate, magnesium, zat besi, kalsium, dan iodin. Namun istimewanya, ia mengandungi 6 bahan yang kaya dengan antioksidan yang hanya terdapat pada tumbuhan laut.

Berhenti Makan Sebelum Kenyang – Hara Hachi Bu

Selain jenis makanan yang berkualiti, masyarakat Okinawa mengamalkan Hara Hachi Bu yang bermaksud “makan sehingga 8 bahagian (daripada 10) anda kenyang.” Prinsip ini merupakan ajaran Konfusius yang masih lagi diamalkan oleh penduduk Okinawa.

BACA JUGA  3 Rahsia Kesihatan Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia Ke-7

Amalan ini menjadikan mereka berjaya untuk mengawal jumlah kalori makanan yang diambil. Purata kalori harian yang diambil oleh penduduk Okinawa ialah 1900 kalori berbanding 2500 kalori di kalangan masyarakat Barat.

Budaya berhenti makan sebelum kenyang ini juga memastikan supaya mereka memperhatikan apa yang mereka makan dan memberikan masa untuk tubuh memberikan isyarat apabila hampir kenyang. Mereka juga lebih menikmati rasa daripada setiap suapan menjadikan perut berasa lebih cepat kenyang.

Selain itu, budaya sosial yang sihat seperti mempunyai 4-5 orang rakan baik dan saling bergantungan serta budaya masyarakat Okinawa yang meraikan golongan berumur dengan baik dan hormat juga menjadi faktor kenapa ramai penduduk di kawasan ini hidup lama.

Adakah Saya Perlu Makan Seperti Orang Okinawa Untuk Panjang Umur?

Nanti dulu! Anda tidak perlu tergesa-gesa ke pasar bersama senarai yang diberikan di atas.

Sebaliknya perhatikan dulu corak pemakanan anda dan ubahsuai menurut asas yang telah diamalkan oleh penduduk Okinawa.

  • Banyakkan porsi sayur-sayuran dalam setiap hidangan anda. Pinggan Sihat Malaysia merupakan panduan terbaik untuk anda ikuti. Pastikan separuh daripada pinggan anda dipenuhi sayur-sayur dan pelbagaikan jenis serta warnanya untuk menaikkan selera.
  • Gantikan daging atau ayam dengan ikan. Ikan-ikan laut di Malaysia seperti ikan selayang dan ikan kembung juga kaya dengan omega-3.
  • Sekali-sekala gantikan protein anda dengan makanan berasaskan soya yang menyihatkan seperti tempe dan tauhu dalam kadar sederhana, jika anda risaukan status GMO dan kesan phytoestrogen daripada produk soya.
  • Masukkan cendawan atau kulat ke dalam sayur goreng dan sayur air untuk memberikan rasa dan lebih khasiat kepada hidangan sayur anda.

 

Sumber:

HuffPost Life
DrAxe

  • 109
    Shares
Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *