Connect with us

Kenali Penyakit

Gatal Pada Kemaluan? 5 Penyakit Ini Seringkali Menyebabkan Masalah Ini

Kemaluan yang gatal merupakan satu isu yang sangat sensitif kepada wanita. Malu dengan keadaan ini, wanita biasanya sangat risau untuk berjumpa dan mendapatkan konsultasi daripada doktor perubatan bertauliah. Lebih-lebih lagi jika masalah gatal pada kemaluan ini disertai dengan keputihan yang mempunyai perubahan pada warna dan bau.

Jangan risau, biasanya masalah gatal pada vagina dan kawasan sekitar faraj ini boleh dirawat. Dapatkan rawatan sepatutnya di klinik berhampiran dengan segera.

Di sini, kami senaraikan 5 jenis penyakit yang menyebabkan rasa gatal dan/atau pedih di sekitar labia, vulva dan/atau vagina.

Vaginosis Bakteria

Vagina merupakan bahagian badan wanita yang mempunyai sistem untuk membersihkan dirinya sendiri. Perlindungan ini terdiri daripada tisu-tisu, cairan faraj (baca : keputihan) dan bakteria semulajadi yang mendiami kawasan tersebut. Vaginosis bakteria adalah keadaan di mana jumlah bakteria tidak baik mengatasi jumlah bakteria baik yang memberi perlindungan kepada vagina.

Antara ciri-ciri vaginosis bakteria selain gatal pada kemaluan ialah:

  • Lelehan vagina yang lebih cair
  • Keputihan ini berwarna kelabu atau kuning
  • Keputihan berbau hanyir seperti ikan
  • Bau tersebut biasanya dihasilkan selepas melakukan hubungan intim

1/3 daripada kes vaginosis tidak mempunyai simptom dan akan hilang dengan sendiri tanpa rawatan. Walau bagaimanapun, ia biasanya dirawat menggunakan antibiotik seperti metronidazole dan clindamycin.

Untuk mencegah vaginosis, hanya bersihkan bahagian faraj dengan air – tanpa menggunakan sabun dan jauhi meruang. Aktiviti ini mengganggu keseimbangan bakteria di bahagian faraj dan mengakibatkan vaginosis.

Jangkitan Kulat

Penyebab kedua yang sering ditemui pada wanita yang mengalami masalah gatal pada kemaluan ialah jangkitan kulat. Kulat khususnya dari jenis Candida albicans merupakan salah satu bioflora yang mendiami kawasan vagina. Stress, penggunaan antibiotik, pengambilan makanan manis dan berprosessecara berlebihan, mengandung dan perubahan hormon adalah senarai faktor terjadinya jangkitan kulat pada faraj.

BACA JUGA  Jangkitan Kulat Pada Faraj : Adakah Anda Boleh Merawat Sendiri Di Rumah?

Tanda-tanda jangkitan kulat ialah:

  • Lelehan faraj berupa seperti cottage cheese – bergumpal dan berwarna putih
  • Gatal-gatal dan pedih terutamanya ketika kencing dan melakukan hubungan seks
  • Ruam

Rawatan memerlukan pesakit mengambil ubat anti-kulat iaitu fluconazole. Pastikan kawasan sekitar faraj sentiasa bersih dan gunakan pakaian dalam yang diperbuat daripada kapas untuk memastikan pengaliran udara yang baik. Jika anda sedang berkira-kira untuk membuat rawatan jangkitan kulat sendiri di rumah, pastikan anda betul-betul tahu yang masalah ini disebabkan oleh kulat.

Alergik (Contact Dermatitis)

Sabun, syampu dan detergen yang tidak sesuai dengan kulit anda mungkin menyebabkan rasa gatal pada kemaluan. Selain itu, alergik mungkin terjadi kerana seseorang sensitif kepada perkara berikut:

  • pelincir faraj
  • kondom yang diperbuat daripada lateks
  • pakaian ketat
  • tisu tandas yang berbau wangi
  • pelembut fabrik
  • tampon

Simptom gatal akan hilang apabila tiada lagi bahan yang menyebabkan iritasi tersebut. Untuk melegakan kegatalan, anda boleh cuba berendam di dalam air suam yang telah dimasukkan beberapa sudu baking soda. Jika terlampau serius, doktor akan memberikan krim steroid sebagai preskripsi.

Penyakit Jangkitan Seksual (Sexually Transmitted Disease)

Antaranya ialah trichomoniasis, chlamydia, gonorrhea dan herpes. Golongan yang berisiko adalah mereka yang mempunyai lebih daripada satu pasangan atau sering bertukar-tukar pasangan.

Kutu Di Bahagian Kemaluan (Pubic Lice)

Kutu ini biasanya dijangkiti melalui hubungan intim. Jarang-jarang sekali jangkitan didapati kerana berkongsi tandas dan pakaian. Penghidap jenis kutu ini akan sering gatal pada kemaluan serta tergaru-garu di bahagian genital. Selalunya, pesakit mempunyai kesan luka dan juga kudis akibat gigitan kutu.

Rawatan yang diberikan ialah syampu yang mengandungi permethrin atau losyen yang mengandungi malathione. Pakaian dan cadar tempat tidur perlu dibasuh menggunakan air panas.

BACA JUGA  12 Cara Mengatasi Keputihan Yang Disyorkan Oleh Doktor

Sumber:

Overlake ObGyn
Healthline

  • 124
    Shares