Connect with us

Tips Kesihatan

5 Petua Hilangkan Sembelit Bayi Yang Boleh Dilakukan Di Rumah

Dari hari pertama melahirkan bayi, perkara utama yang ibu bapa akan berikan perhatian ialah tabiat membuang air besar bayi mereka. Bayi berumur kurang dari setahun mempunyai pola membuang air besar yang berubah-ubah dan ini menyukarkan ibu bapa untuk mengetahui bila bayi mereka sembelit. Umumnya, sembelit di kalangan bayi tidak boleh diukur dengan kekerapan seperti sembelit bagi orang dewasa. Untuk itu, ibu bapa perlu tahu bagaimana keadaan najis bayi yang sembelit dan segera mengamalkan petua hilangkan sembelit bayi yang akan kami kongsikan dalam artikel ini.

Adalah normal jika bayi yang minum susu ibu tidak membuang air besar beberapa hari. Ini kerana kesemua nutrisi daripada susu telah diserap oleh usus. Biasanya bayi yang minum susu ibu jarang-jarang mengalami sembelit.

Sebaliknya, bayi yang minum susu formula kebiasaannya akan membuang air besar sebanyak 3-4 kali setiap hari, atau mungkin berhari-hari. Keadaan ini bergantung kepada diet bayi tersebut terutamanya bayi yang sudah cukup umur untuk makan makanan pejal.

Ciri-ciri Bayi yang Sedang Mengalami Sembelit

Kekerapan membuang berkurangan

Bayi yang mengalami perubahan pada frekuensi membuang air besar daripada pola yang normal dan kemudiannya mengeluarkan najis yang keras berkemungkinan mengalami sembelit. Konsistensi najis yang keras dan liat merupakan petanda penting untuk mengetahui jika bayi sedang sembelit.

Bayi kelihatan meneran

Najis yang keras menyebabkan ia sukar untuk dikeluarkan. Bayi anda akan menangis atau meragam kerana sakit atau tidak selesa membuang air besar.

Darah dalam najis

Darah yang didapati bersama najis dalam lampin pakai buang adalah petanda utama bayi anda sedang mengalami kesukaran untuk membuang. Bahagian dubur bayi mungkin mengalami luka dan berdarah disebabkan najis yang keras.

BACA JUGA  Tanda-tanda Kanser Usus Yang Patut Kita Tahu

Perut tegang dan keras

Perut bayi yang sembelit kelihatan kembung dan keras apabila ditekan. Angin yang terhasil akibat tekanan pada usus menyebabkan perut kembung, tegang dan keras apabila disentuh.

Hilang selera makan

Bayi yang sembelit akan cepat merasa kenyang dan hilang selera makan.

Petua Hilangkan Sembelit Bayi Anda

Jika anda mendapati bayi anda mengalami tanda-tanda yang telah disenaraikan di atas, kami sarankan anda untuk mencuba petua hilangkan sembelit bayi yang boleh diamalkan seperti berikut :

Tukar susu formula yang sesuai

Jika bayi anda menyusu badan, anda perlu menukar diet anda kerana dia mungkin sensitif terhadap sesuatu yang anda makan. Manakala bayi yang minum susu formula pula mungkin kurang sesuai dengan sesuatu bahan dalam kandungan susu yang diminum. Jadi anda perlu membaca label dan menukar kepada susu yang berlainan kandungannya.

Pakar pediatrik dan pengasas Pusat Rawatan Kanak-kanak Adda, Dr. Hairin Anisa Tajudin mengesyorkan susu segar atau susu UHT penuh krim untuk mengatasi sembelit di kalangan bayi  yang sudah berusia 1 tahun dan minum susu formula untuk bayi berusia bawah 1 tahun. Dapatkan panduan terperinci mengenai pemilihan susu untuk bayi sembelit

Berikan makanan pejal yang tinggi serat

Ada makanan yang boleh menyebabkan sembelit kepada bayi berusia 6 bulan ke atas yang sudah mula makan. Makanan berserat tinggi boleh membantu pelawasan usus bayi. Anda boleh cuba makanan berikut :

  • Brokoli
  • Pir
  • Prun
  • Pic
  • Epal tanpa kulit

Barli, oat atau kuinoa juga lebih baik untuk sembelit. Kurangkan memberi bijirin yang telah diproses. Roti bijirin penuh serta bran boleh menghasilkan najis yang lebih berisi dan merangsang pergerakan usus.

Berikan puri jika bayi belum mula makan

Bayi berusia 6 bulan ke atas dan masih belum mula makan makanan pejal boleh mendapatkan manfaat fiber melalui puri buah-buahan yang telah disebutkan di atas.

BACA JUGA  Panduan Memilih Susu Untuk Bayi Sembelit Mengikut Umur

Tingkatkan pengambilan air

Petua ini merupakan kunci penting dalam senarai petua hilangkan sembelit bayi ini. Air yang cukup membantu peristalsis dalam usus.

Selain memberikan air kosong dan susu, jus prun dan jus pir juga boleh diberikan kepada bayi. Buah prun mengandungi banyak serat tak larut dan kaya dengan sorbitol yang bertindak sebagai laksatif semulajadi. Namun begitu, jika bayi anda berusia antara 4-6 bulan, dapatkan nasihat pakar pediatrik terlebih dahulu sebelum memberikan jus kepada bayi anda.

Berikut ialah cara untuk membuat jus prun.

Resipi jus prune untuk bayi

1 cawan prun kering
5 cawan air
1 cawan jus pir (opsional)

Cara-cara :

  1. Buang tangkai buah prun
  2. Didihkan 5 cawan air dan masukkan ke dalam bekas tahan panas berisi buah prun. Pastikan buah separuh tenggelam. Rendam selama 12-24 jam. Simpan air yang lebih untuk digunakan kemudian
  3. Kisar buah prun yang direndam bersama air sehingga halus
  4. Tapis buah yang telah dikisar ke dalam bekas 1 liter
  5. Masukkan jus pir untuk memberikan rasa manis jika suka
  6. Isi bekas dengan air sehingga penuh menggunakan air yang telah disimpan dan sejukkan
  7. Jus ini tahan sehingga 1 minggu jika disimpan di dalam peti sejuk

Lakukan senaman dan urutan

Senaman adalah salah satu lagi faktor yang membantu pergerakan usus. Ibu bapa boleh mencuba senaman basikal pada bayi yang sembeli tetapi masih belum berjalan. Urutan pada bahagian abdomen juga mampu melegakan bayi. Berikut ialah teknik urutan bayi dan cara melakukan senaman basikal pada bayi yang kembung dan sembelit.

 

Bagaimana jika petua hilangkan sembelit bayi ini tidak berkesan?

Dalam kes-kes tertentu, bayi mungkin masih lagi mengalami sembelit walaupun anda telah mencuba petua-petua di atas. Langkah-langkah yang dikongsikan di bawah boleh anda lakukan sendiri, tetapi jika anda tidak yakin atau belum pernah melakukannya, anda boleh mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

BACA JUGA  Amalan Minum Minyak Zaitun Melegakan Sembelit

Supositori daripada gliserin

Supositori boleh membantu bayi atau kanak-kanak yang mengalami luka pada dubur akibat najis yang keras. Biasanya ibu bapa akan mendapati darah dalam najis anak akibat aktiviti meneran yang keterlaluan. Supositori gliserin boleh didapati daripada farmasi dan digunakan di rumah.

Laksatif

Penggunaan laksatif adalah tidak digalakkan bagi bayi berumur 1 tahun ke bawah. Dapatkan nasihat doktor sebelum memberikan laksatif kepada bayi anda. Psyllium dalam bentuk serbuk dan malt berasaskan barli boleh digunakan untuk melembutkan najis bagi kanak-kanak yang berusia 1 tahun ke atas.

Penutup

Masalah sembelit di kalangan bayi sebenarnya boleh dan mudah untuk dirawat. Kunci kepada petua hilangkan sembelit bayi di atas ialah penyusuan yang cukup dan memberikan serat kepada bayi. Semoga langkah-langkah di atas dapat mengatasi masalah bayi sembelit dan mengurangkan kerisauan anda sebagai ibu bapa.

 

Sumber:

Healthline – The Best Remedies for Your Baby’s Constipation
Momtastic – How To Use Prune Juice To Solve Potty Problems

Foto: Bingo Theme from Pexels

  • 2
    Shares