Petua Hilangkan Bengkak Gout Di Rumah

Jika anda mempunyai gout, anda mungkin mengetahui petanda bila gout mula menyerang. Agak sukar untuk menghentikan serangan gout serta-merta tetapi anda mungkin boleh mengurangkan kesakitan dengan mempraktikkan petua hilangkan bengkak gout ini.

Apakah Petanda Gout Akan Terjadi?

Mereka yang pernah terkena serangan gout menceritakan bahawa 1-2 jam sebelum gout berlaku, mereka mula merasa panas, gatal dan seperti digigit semut pada sendi. Keadaan ini kemudiannya akan disertai dengan rasa sengal-sengal dan kebas pada sendi. Tidak lama kemudian, gout mula menyerang.

Namun, tidak semua daripada mereka mengalami tanda-tanda awal seperti ini.

Ketika serangan gout berlaku, sendi yang terlibat akan mula membengkak, sakit dan kulit sekitarnya berwarna kemerahan-merahan.

Ibu jari kaki merupakan bahagian tubuh yang seringkali diserang gout. Tetapi, gout juga boleh berlaku pada sendi-sendi di bahagian siku, lutut, pergelangan tangan, pergelangan kaki atau di bahagian atas kaki.

Hilangkan Sakit Akibat Gout

Jika anda pernah mendapat rawatan gout daripada doktor sebelum ini, mengambil ubat tahan sakit yang telah diberikan merupakan langkah paling pantas dan berkesan untuk menghilangkan kesakitan.

Ibuprofen merupakan ubat tahan sakit dan anti-keradangan yang perlu ada jika anda menghidapi gout. Selain preskripsi, ibuprofen juga boleh dibeli daripada farmasi. Selain ibuprofen, doktor mungkin memberikan ubat tahan sakit daripada jenis yang lain seperti celecoxib, indometacin, meloxicab atau sulindac.

Bergantung kepada tahap penyakit gout yang dialami, doktor juga mungkin membekalkan steroid atau colchicine untuk mengelakkan serangan gout.

Sudah makan ubat tapi masih terkena gout?

Mungkin anda masih lagi baru mengambil ubat-ubatan tersebut dan masih memerlukan masa untuk ia bertindak dengan efektif.

Namun, jika anda telah mengambil ubat tersebut pada satu jangka masa yang lama, segera berjumpa dengan doktor kerana ubat tersebut mungkin tidak sesuai untuk anda atau dos yang diberikan tidak mencukupi.

Petua Hilangkan Bengkak Gout Tanpa Ubat

Tuam sejuk. Balut ais menggunakan sehelai tuala yang nipis dan tuam pada sendi yang terlibat selama 20-30 minit. Ia mampu mengurangkan keradangan, menyurutkan bengkak dan mengurangkan kesakitan.

Rehatkan sendi. Kurangkan pergerakan pada sendi tersebut. Angkat bahagian tersebut menggunakan bantal atau lapik yang lembut.

Banyakkan minum air. Paras asid urik akan meningkat sekiranya anda mengalami kekurangan air (dehidrasi).

Pantang makanan tertentu. Makanan yang tinggi dengan purine seperti makanan laut, organ dalaman haiwan seperti hati dan makanan berlemak akan meningkatkan paras asid urik. Minuman yang mengandungi kadar fruktosa yang tinggi seperti minuman berkarbonat, jus yang dikomersilkan dan krimer kopi juga perlu dielakkan.

Bila Anda Patut Berjumpa Doktor?

Petua hilangkan bengkak gout ini selalunya berkesan untuk mengurangkan penderitaan akibat kesakitan yang dialami. Namun ada ketikanya masalah gout yang anda alami perlu mendapat perhatian doktor. Antaranya:

  • Jika ini merupakan serangan gout anda yang pertama – Doktor perlu mengesahkan diagnosis dengan membuat pemeriksaan pada simptom-simptom yang anda alami. Bengkak dan keradangan sendi boleh disebabkan oleh penyakit selain gout.
  • Anda mengalami demam panas dan menggigil – Ia merupakan petanda berlakunya jangkitan.
  • Keadaan anda tidak bertambah baik selepas 48 jam atau anda masih mengalami simptom-simptom gout selepas seminggu – Doktor akan memeriksa dan memberikan rawatan yang berlainan jika keadaan anda semakin teruk.

 

Sumber: WebMD

  • 11
    Shares
  • 11
    Shares
Close Menu