Pakar Dietitik Berkongsi Kenapa Semakin Diet Semakin Sakit

Masalah berat badan berlebihan dan obesiti mendatangkan banyak keburukan kepada kesihatan. Atas kesedaran ini, ramai berlumba-lumba untuk mengamalkan diet untuk menurunkan berat badan.

Namun begitu, ada segelintir yang ingin mendapatkan hasil yang cepat dengan mengamalkan diet pemakanan yang ekstrim. Daripada sedikit sakitnya, menjadi parah pula.

Bermacam-macam jenis diet muncul seperti diet Atkins, diet vegetarian, diet vegan, diet ketogenik dan yang semakin popular sekarang ialah diet dengan berpuasa (intermittent fasting). Setiap satu daripada diet ini menekankan kepada komposisi nutrien yang berbeza-beza. Lalu bagaimanakah cara untuk anda menilai jenis diet yang sesuai untuk diamalkan?

Ikuti perkongsian kami mengenai isu Fad diet ini.

Apa itu Fad diet?

Mohd Khairul Azuan, seorang pakar dietitik telah berkongsi di Facebook beliau di mana rata-rata pesakit yang beliau temui mengamalkan diet yang tidak seimbang dan paling popular tinggi protein rendah karbohidrat.

Hasilnya, buah pinggang yang asalnya hanya mengalami sedikit kerosakan menjadi semakin teruk serta pesakit mula mengalami tanda-tanda kekurangan gula (hipoglikemia) yang teruk seperti pening, mahu pitam dan lemah sejuk seluruh badan.

Menurut beliau, diet yang diamalkan ini dikenali sebagai Fad diet iaitu diet yang hanya mengambil kira penurunan berat badan sahaja tanpa mengambilkira nutrien yang seimbang dan jangka masa panjang.

Berikut ialah contoh menu bagi Fad diet.

fad-diet

Lihat betapa ekstrim ketidakseimbangan nutrisi dalam menu-menu tersebut. Menu seperti ini tidak digalakkan kerana karbohidrat dikurangkan dengan drastik.

Mohd Khairul menambah, kekurangan karbohidrat boleh menjejaskan fungsi otak dalam jangka masa panjang dan salah satu nya adalah cepat nyanyuk. Ia juga boleh membuatkan kita lesu sepanjang hari serta mood swing.

Kenapa berat badan boleh turun dengan cepat melalui Fad diet?

Akibat kekurangan sumber tenaga daripada glukosa, glikogen yang disimpan di dalam hati dan otot digunakan, mengakibatkan pemecahan ikatan air pada glikogen. Air yang banyak turun mengakibatkan berat badan turun mendadak kerana 40- 60% dari berat badan manusia adalah cecair.

Apakah kesan jika diet tersebut tinggi protein?

Kesan daripada diet tinggi protein perlu dipandang serius kerana ia boleh menyebabkan masalah osteoporosis (tulang rapuh) dan membebankan buah pinggang kerana penghasilan urea yang berlebihan.

Bagi mereka yang sudah mempunyai masalah buah pinggang, diet sebegini akan memburukkan lagi kondisi buah pinggang anda.

Bagaimanakah mengatur diet yang sihat?

Pakar dietitik yang merupakan pengurus di Diet Fit Malaysia ini mengesyorkan pengamalan diet yang lebih seimbang iaitu lengkap dengan sumber karbohidrat, protein dan serat pada setiap kali makan utama (sarapan, makan tengahari dan makan malam malam) dan mengambil snek berupa buah-buahan atau makanan kegemaran dalam jumlah yang terkawal.

Diet yang disarankan oleh imej di atas sangat tidak sesuai untuk sesetengah golongan berisiko tinggi malnutrisi seperti pesakit diabetes, tekanan darah tinggi, masalah jantung, kanak-kanak, orang tua, masalah buah pinggang, wanita mengandung atau ibu menyusu. Menu di atas hanya menekankan kepada pengurangan kalori semata-mata menyebabkan semakin diet, semakin sakit.

Nasihat beliau, ” Jika anda fokus untuk sihat, jangan mudah terpengaruh dengan sumber dari media sosial atau pakar-pakar yang tidak diiktiraf dalam bidang diet.”

“Jangan biarkan kes meninggal di hospital akibat terlalu mahu kurus terjadi sekali lagi.”

Bagaimana untuk mengenalpasti Fad diet?

  • Menjanjikan penurunan berat badan dalam masa yang singkat
  • Mempromosikan jenis atau kombinasi makanan tertentu sahaja
  • Mencanangkan bahawa jenis makanan tertentu ini boleh mengubah proses metabolisme dalam badan
  • Mengeluarkan jenis makanan tertentu daripada senarai, selalunya makanan yang kaya dengan karbohidrat
  • Mempunyai peraturan yang ketat
  • Membawakan rujukan hanya daripada satu sumber atau berdasarkan testimoni-testimoni pengamalnya sahaja

Tangani masalah berat badan anda dengan bijak. Fokus kepada kesihatan bukan untuk kurus semata-mata.

  • 16
    Shares
  • 16
    Shares
Close Menu