Mengatasi Migrain Menggunakan Suplemen Magnesium

Magnesium merupakan zat yang penting kepada tubuh badan manusia. Antara manfaat magnesium ialah membentuk tulang yang sihat, menstabilkan tekanan darah dan memastikan jantung serta saraf bekerja dengan baik. Antara tanda kekurangan magnesium dalam badan ialah rasa penat yang melampau, hilang selera makan, mual-mual, kekejangan otot dan selalu merasa semut-semut.

Kekurangan magnesium juga menyebabkan sakit kepala dan migrain. Suplemen magnesium dan magnesium oksida digunakan sebagai cara mengatasi migrain dan sakit kepala di klinik dan hospital.

Jenis-jenis magnesium

Terdapat pelbagai jenis magnesium dan tidak semua jenis digunakan dalam rawatan penyakit. Sebenarnya, zat magnesium tidak dapat diserap oleh badan secara langsung. Oleh itu, suplemen magnesium biasanya mengandungi zat lain di mana gabungan tersebut lebih mudah untuk diserap di dalam usus.

Jenis magnesium yang biasa didapati di dalam suplemen ialah:

  • Magnesium oksida, paras magnesium dalam suplemen ini adalah lebih tinggi dan digunakan dalam merawat penyakit migrain.
  • Magnesium sulfat, membentuk sebatian magnesium tidak organik dan hanya sedikit sahaja magnesium diserap oleh badan
  • Magnesium karbonat, paras magnesium yang sedikit tinggi dan digunakan untuk merawat masalah ketidakselesaan perut
  • Magnesium klorida, mudah diserap di dalam usus
  • Magnesium sitrat, digunakan untuk membantu pergerakan usus bagi mereka yang sembelit

Manfaat magnesium ke atas migrain

Migrain ialah rasa sakit kepala berdenyut pada sebelah bahagian kepala sahaja. Terdapat banyak kajian menunjukkan bahawa mereka yang mempunyai paras magnesium yang rendah di dalam badan mereka lebih cenderung untuk menghidapi migrain berbanding dengan mereka yang tidak.

Magnesium oksida digunakan untuk rawatan migrain. Ia boleh didapati di dalam bentuk pil dan dos yang disarankan ialah sekitar 400 hingga 500 miligram setiap hari. Magnesium juga boleh didapati dalam bentuk suntikan menerusi magnesium sulfat.

BACA JUGA  9 Cara Hilangkan Sakit Kepala Tanpa Ubat Dengan Berkesan

Kesan sampingan menggunakan magnesium sebagai suplemen

Walaupun suplemen magnesium dikategorikan sebagai selamat, kesan sampingan penggunaan magnesium tetap ada terutamanya jika diambil secara berlebihan.

Kesan sampingan yang biasa dialami oleh pengguna ialah perut memulas, muntah-muntah dan cirit-birit. Kurangkan dos pengambilan jika anda mengalami gejala ini selepas memulakan pengambilan magnesium.

Selain itu, pengambilan magnesium juga boleh menurunkan tekanan darah. Jika anda mempunyai masalah tekanan darah rendah, anda perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Pengambilan magnesium berlebihan dalam jangka masa yang panjang boleh menyebabkan masalah yang sangat serius seperti:

  • detak jantung yang tidak normal
  • tekanan darah menjadi terlalu rendah
  • pernafasan menjadi lambat
  • koma

Dapatkan nasihat doktor mengenai dos pengambilan yang sepatutnya sebelum anda mula menggunakan suplemen magnesium.

Senarai makanan tinggi magnesium

Jika anda tidak mampu menelan magnesium dalam bentuk pil, jangan risau. Terdapat banyak jenis makanan yang kaya dengan zat magnesium dan tentulah sumber semulajadi merupakan yang terbaik.

Antara sayuran yang mengandungi banyak magnesium ialah bayam. Setiap cawan bayam dapat memenuhi 38 hingga 40 peratus keperluan magnesium harian.

Senarai makanan tinggi magnesium ialah:

  • Biji labu
  • Badam
  • Ikan makerel, tuna, kembung
  • Yogurt rendah lemak
  • Kacang hitam dan lentil
  • Avokado
  • Buah tin
  • Pisang
  • Coklat gelap

Magnesium dan risiko kesihatan

Terdapat golongan yang perlu menghindari pengambilan magnesium, iaitu:

  • Mereka yang mengalami masalah pendarahan seperti hemofilia – magnesium melambatkan penggumpalan darah
  • Pesakit buah pinggang terutamanya mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang

Pengambilan ubat-ubatan tertentu juga boleh menyebabkan interaksi dengan zat magnesium. Antaranya:

  • Antibiotik
  • Antidiuretik (Ubat tahan kencing)
  • Ubat yang menyebabkan relaksasi otot
  • Ubat untuk penyakit jantung

Jika anda sedang hamil, dapat nasihat doktor dulu sebelum mengambil suplemen magnesium. Suntikan magnesium sulfat boleh menyebabkan janin mengalami masalah pembentukan tulang.

BACA JUGA  Sakit Kepala Sebelah Kanan: Punca & Tips Untuk Mengatasinya

Penutup

Jika anda mengalami masalah migrain, cara mengatasi migrain menggunakan suplemen magnesium dapat membantu. Kesan sampingan magnesium adalah lebih rendah daripada ubat-ubatan, jika diambil dalam dos sepatutnya.

Anda juga boleh mencuba suplemen dan herba lain yang mungkin berkesan dalam mengurangkan kekerapan migrain yang anda alami.

Pastikan anda mendapat pandangan doktor terlebih dahulu terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang serius.

  • 15
    Shares
  • 15
    Shares
Close Menu