Connect with us

Kenali Penyakit

10 Penyebab Masalah Gusi Bengkak (Bonus: Tips Mengatasi)

Ramai yang ambil mudah masalah gusi bengkak mungkin kerana takut untuk berjumpa doktor gigi. Sebenarnya, gusi yang dibiarkan bengkak boleh membawa kepada masalah yang lebih serius seperti periodontitis dan seterusnya kehilangan gigi secara kekal. Oleh itu, jangan dipandang enteng masalah sakit gusi dan gusi bengkak kerana kelak akan memberi kesan kepada kualiti hidup anda.

Gusi merupakan bahagian mulut yang mempunyai rangkaian salur darah yang besar untuk membawakan oksigen dan nutrien kepada gigi dan tisu-tisu lain di dalam mulut.

Gusi yang membengkak biasanya diakibatkan oleh keradangan pada tisu-tisu dan ini menjejaskan kesihatan oral serta menjadikan mulut berbau.

Bagaimana cara untuk membezakan gusi bengkak dengan gusi yang sihat?

Mengenalpasti masalah gusi dari awal dan memberikan rawatan segera membantu memelihara kesihatan gusi. Berikut ialah cara untuk mengenalpasti antara gusi yang sihat dan gusi yang bengkak.

 Gusi yang sihat  Gusi yang bermasalah
Berwarna merah jambu dan cerah Biasanya berwarna merah jambu yang lebih gelap, merah, biru atau keunguan
Tisu di sempadan antara gusi dan gigi adalah rata Kawasan sempadan gusi dan gigi mengalami bengkak
Papilla berbentuk sempurna dan bahagian atas celahan gigi rapat Bentuk papilla di celahan gigi tidak normal atau tiada papilla menyebabkan terdapat ruang di atas celahan gigi
Gusi tidak berdarah semasa memberus atau melakukan floss Gusi berdarah ketika memberus atau melakukan floss
Tiada rasa sakit Berasa tidak selesa atau sakit gusi

Punca berlakunya masalah gusi bengkak

Penyakit gusi yang disebabkan oleh pengumpulan plak bakteria pada gigi merupakan punca utama kenapa masalah gusi bengkak berlaku. Penyakit gusi boleh terjadi dalam 2 bentuk iaitu gingivitis atau lebih serius lagi, periodontitis.

Masalah gingivitis lebih senang untuk diatasi jika dikesan dari awal iaitu dengan memulakan rutin penjagaan gigi dan gusi yang betul. Jika gingivitis dibiarkan, jangkitan bakteria dan keradangan pada gusi akan menjadi lebih teruk, menyebabkan gusi berdarah dan bernanah serta tulang rahang menjadi lemah dan akhirnya kehilangan gigi yang kekal.

Selain itu, masalah gusi bengkak juga boleh berpunca daripada keadaan atau penyakit berikut:

Cara memberus atau melakukan floss yang salah

Memberus gigi dengan kuat menyebabkan tisu gusi yang lembut luka dan mengalami keradangan. Amalkan memberus gigi dan gusi dalam pergerakan membulat dan lembut. Memberus gigi dalam pergerakan depan ke belakang membuatkan gusi lebih cenderung untuk luka dan bengkak. Pastikan anda memilih berus gigi yang lembut (soft), bukan medium atau hard.

Floss celahan gigi anda secara perlahan-lahan mengikut bentuk gigi. Lakukan dengan lembut kerana melakukan floss terlalu kuat menyebabkan gusi meradang dan berdarah.

Ikuti cara menggosok gigi dengan betul melalui penerangan doktor gigi ini:

Jangkitan mulut

Jangkitan virus seperti herpes dan jangkitan kulat di dalam mulut boleh memberikan kesan kepada gusi.

Perubahan hormon

Masalah gusi bengkak juga selalu dialami oleh wanita yang sedang mengalami perubahan hormon seperti mengandung, kedatangan haid atau menopaus. Pengaliran darah yang lebih banyak ke bahagian gusi ketika fasa tersebut menyebabkan gusi menjadi merah dan bengkak. Selain itu, penggunaan perancang kehamilan yang mengandungi hormon juga boleh menyebabkan gusi lebih sensitif.

Ulser mulut

Ulser di dalam mulut boleh menyebabkan gusi sakit. Ulser afta biasanya berbentuk bulat atau bujur dengan kawasan kemerahan di sekelilingnya. Punca terjadinya ulser afta tidak difahami sepenuhnya tetapi berkemungkinan mempunyai kaitan dengan imuniti badan manusia.

Rokok dan tembakau

Seorang perokok mempunyai risiko dua kali ganda untuk mengalami masalah gusi. Selain rokok. penggunaan tembakau dalam apa jua bentuk juga meningkatkan risiko masalah gusi bengkak. Oleh itu, perokok disarankan untuk berhenti merokok untuk mengurangkan masalah gusi.

Malnutrisi atau kekurangan vitamin

Gusi yang sihat memerlukan vitamin B dan vitamin C yang cukup. Kekurangan vitamin C terutamanya akan menyebabkan penyakit skurvi yang memberi kesan buruk terhadap kesihatan gusi.

Alergi atau alahan

Individu yang alergik kepada bahan tertentu di dalam ubat gigi, makanan, ubat-ubatan atau bahan-bahan pergigian seperti amalgam dan gigi palsu juga menyebabkan gusi menjadi bengkak dan merah.

Pemakaian pendakap gigi atau tampalan gigi yang tidak sempurna

Tampalan gigi yang tidak dilakukan dengan kemas memberi ruang kepada plak untuk berkumpul dan sukar untuk dibersihkan. Justeru itu, bakteria lebih senang untuk membiak dan mengakibatkan keradangan sehingga gusi membengkak. Gigi palsu yang tidak dipasang dengan betul juga boleh menyebabkan iritasi kepada permukaan gusi.

Masalah susunan gigi yang tidak cantik

Kedudukan gigi yang tidak sempurna juga menjadikan gusi lebih cenderung untuk mengalami keradangan.

Kadang kala, punca gusi bengkak dikaitkan dengan penyakit yang serius seperti anemia, sindrom Behcet’s, kencing manis, kanser dan HIV/AIDS. Untuk itu, anda perlu mendapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor gigi untuk memastikan masalah sakit gusi atau gusi bengkak yang anda alami tidak berkait dengan mana-mana penyakit yang serius.

Cara mengatasi masalah gusi bengkak

Bengkak gusi yang berpunca daripada penjagaan gigi yang tidak betul boleh diatasi dengan mendapatkan rawatan untuk membersihkan gigi daripada plak seperti scaling dan rawatan akar.

Rutin penjagaan kebersihan gigi di rumah perlu dititikberatkan untuk mengelakkan masalah gusi bengkak berulang. Masalah gusi bengkak yang teruk atau disebabkan oleh jangkitan kuman memerlukan preskripsi antibiotik daripada doktor gigi.

Untuk mengurangkan bengkak dan sakit gusi, doktor gigi juga mungkin akan memberikan ubat anti-radang atau ubat tahan sakit seperti ibuprofen dan acetaminophen (Panadol).

Selain rawatan menggunakan ubatan, anda boleh mencuba mengurangkan masalah gusi bengkak sendiri di rumah. Kaedah ini hanya mengurangkan kesengsaraan yang sedang alami, namun untuk mengetahui punca gusi bengkak yang sebenar anda harus merujuk kepada doktor gigi anda.

  • Makanan sejuk dapat mengurangkan kesakitan dan bengkak
  • Berkumur dengan air garam selama 30 saat, 2-3 kali sehari
  • Titis 3 titik tea tree oil ke dalam segelas air suam dan berkumur selama 30 saat, 2-3 kali sehari
  • Campurkan 1 sudu kecil kunyit dengan air dan sedikit minyak vitamin E dan oleskan pada gusi selama 10 minit setiap hari
  • 54
    Shares
Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *