Kajian Saintifik Terkini Membuktikan Lelaki Lebih Senang Untuk Kurus Berbanding Wanita

Anda dan pasangan sama-sama berdiet. Anda masak bersama, makan makanan yang serupa dan sama-sama bersenam di gimnasium. Tetapi apabila berada di atas penimbang, kenapa angka yang berkurang tidak sama dengan pasangan anda?

Lelaki lebih senang untuk kurus berbanding wanita bukan lagi sekadar cakap-cakap kosong. Kajian terkini membuktikan bahawa kenyataan ini adalah fakta. Bahkan, proses mengurangkan berat badan memberi lebih manfaat kepada lelaki berbanding wanita.

Satu kajian multinasional diterbitkan oleh jurnal Diabetes, Obesity and Metabolism keluaran Ogos telah diadakan melibatkan lebih 2,200 peserta yang mempunyai masalah berlebihan berat badan (BMI ≥ 25 kg/m²) daripada Eropah, Australia dan New Zealand. Kesemua peserta juga merupakan mereka yang tergolong sebagai pre-diabetes iaitu paras gula dalam darah yang melebihi normal dan berisiko untuk mendapat diabetes tahap 2.

Kajian ini telah berlangsung selama 8 minggu dan para peserta berumur antara 25-70 tahun diberikan diet rendah tenaga (low energy diet) berjumlah 800 kalori dalam bentuk sup, shake dan bubur bagi tempoh yang dinyatakan.

Selepas 8 minggu, kajian mendapati bahawa peserta lelaki hilang 16% lebih berat badan berbanding wanita; purata 11.8kg bagi lelaki dan 10.2kg bagi wanita.

Sejumlah 35% daripada peserta yang mengikuti program diet ini berjaya mengurangkan paras gula dalam darah ke paras yang normal (normoglikemia).

Lelaki lebih mendapat manfaat daripada program diet pantas

Peserta lelaki didapati mempunyai kadar denyutan nadi yang lebih rendah dan kurang lemak pada bahagian tubuh mereka. Mereka juga mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menghidap penyakit kencing manis berbanding peserta wanita.

Manakala kesan program diet ini kepada wanita pula, kurang memberangsangkan.

Hasil kajian menunjukkan paras kolesterol baik (high density lipoprotein, HDL) bagi wanita mengalami penurunan yang sangat mendadak. Jisim tanpa lemak yang terdiri daripada tulang, tisu, organ dan otot juga dilaporkan berkurangan dan ini memberi kesan kepada kadar metabolisme dan seterusnya melambatkan proses menurunkan berat badan.

BACA JUGA  Tabung Susu Kurus, Rahsia Cikgu Afy Kekal Slim Walaupun Sangat Minat Memasak

Wanita juga kehilangan lebih banyak jisim tulang, menjadikan tulang mereka lebih rapuh hasil daripada diet ini.

Jenis lemak yang hilang daripada badan juga lebih sihat bagi lelaki berbanding wanita.

Di kalangan lelaki, lemak biasanya berkumpul pada bahagian abdomen. Lemak ini dikenali sebagai lemak visceral. Jika lemak pada bahagian ini berjaya dibuang, kadar metabolisme dalam badan akan mengalami peningkatan dan membantu proses penurunan berat badan.

Sebaliknya, wanita mengumpul lemak di 3 bahagian iaitu pinggang, peha dan pinggul. Lemak di bahagian ini yang juga dikenali sebagai lemak subkutan (subcutaneous fat) adalah berfungsi untuk menghasilkan hormon bagi membantu proses mengandung dan menstruasi, bukan sebagai pencetus metabolisme seperti lemak di bahagian abdomen.

Kenapa perbezaan ini berlaku?

Dari segi fisiologi, tubuh badan seorang lelaki dicipta untuk membakar lemak dengan lebih pantas. Mereka mempunyai lebih otot tanpa lemak dan kadar metabolisme yang lebih tinggi. Kerana itu lelaki lebih senang untuk kurus.

Otot tanpa lemak juga membantu membakar lebih kalori. Jadi, lebih banyak kalori yang ada dalam badan, lebih banyak ia dibakar.

Walau bagaimanapun, pengambilan jumlah kalori yang sama bagi peserta lelaki dan wanita dalam kajian ini mungkin menyebabkan keputusan kajian memihak lebih daripada lelaki.

Asasnya, lelaki mempunyai kadar metabolisme yang lebih tinggi daripada wanita. Mereka membakar lebih kalori.

Wahai wanita, jangan berputus asa untuk menurunkan berat badan

Walaupun perbezaan gender memberikan kesan yang berbeza dan kurang memihak golongan wanita, tetapi wanita yang mempunyai berat badan berlebihan dan pre-diabetes tetap mendapat manfaat daripada proses menurunkan berat badan.

Lisa Young, pakar nutrisi dan penulis buku “Finally Full, Finally Slim: 30 Days to Permanent Weight Loss One Portion at a Time” berkata,

“Faedah yang dirasai daripada menurunkan berat badan mengatasi sisi negatifnya. Berlaku penurunan pada kadar kolesterol baik (HDL), tapi saya membayangkan yang kolesterol tidak baik (LDL) juga mengalami perkara yang sama. Itu adalah satu perkara yang bagus.”

Young juga berpendapat bahawa kesan-kesan negatif ini dapat diatasi sekiranya wanita memfokuskan kepada senaman berbentuk latihan angkat berat untuk membina otot tanpa lemak. Senaman juga akan meningkatkan kadar HDL dan menguatkan tulang.

BACA JUGA  6 Penyakit Yang Lebih Banyak Dihidapi Oleh Perempuan Berbanding Lelaki, Anda Mungkin Sedang Hadapinya

Satu kekangan dalam kajian ini ialah umur dan status menopaus peserta wanita tidak direkod atau diambil kira dalam penilaian.

Kedua parameter ini adalah penting kerana selepas menopaus, wanita lebih cenderung untuk mengumpul lemak visceral dan mereka kehilangan lebih banyak jisim tanpa lemak.

 

Sumber: Healthline

Gambar: rawpixel.com from Pexels

  • 2
    Shares
  • 2
    Shares
Close Menu