Pengajaran Daripada Salmonella Yang Meracuni Mi Laksa Kebok Kupang

Melalui kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 21 Oktober 2018 (semalam), kejadian keracunan makanan di Kupang, Baling yang telah meragut 2 nyawa disebabkan oleh mi laksa yang diracuni oleh bakteria Salmonella enterica serovar Weltevreden.

Hasil siasatan dan ujian makmal membuktikan bahawa kes keracunan tersebut berpunca daripada satu sumber sahaja iaitu mi laksa yang dijual pada tarikh 4 Oktober 2018. Difahamkan bahawa mi laksa tersebut dihasilkan di premis pemprosesan mi laksa, milik pengusaha yang juga tuan punya gerai tersebut.

Faktor risiko berlakunya kes keracunan makanan ini mungkin berpunca daripada proses penyediaan dan penyimpanan mi yang tidak bersih, serta suhu penyediaan laksa semasa pemprosesan dan suhu semasa pemanasan semula laksa yang tidak optimum untuk mematikan kuman.

Selain 2 kes kematian, sebanyak 81 lagi kes keracunan telah dilaporkan di 3 negeri iaitu Perak, Kedah dan Selangor. Gerai menjual laksa tersebut telah ditutup dan tuan gerai telah diarahkan untuk melakukan pembaikan mengikut keperluan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan keperluan Pihak Berkuasa Tempatan, sebelum membuka gerainya kembali.

Apa itu Salmonella?

Salmonella merupakan sekumpulan bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan dikenali sebagai salmonellosis. Lazimnya, Salmonella boleh didapati di dalam najis haiwan dan najis manusia yang menghidap salmonellosis. Selain daging lembu, ayam, telur dan produk tenusu, kuman ini juga boleh didapati pada sayur yang tidak dibasuh dan dimasak dengan betul.

Salmonella juga boleh menyebabkan jangkitan tifoid (demam kepialu) iaitu oleh spesis Salmonella typhi.

Salmonella enterica serovar Weltevreden merupakan jenis salmonella bukan tifoid. Ia didapati dengan meluas di Asia Tenggara dan sumber jangkitan biasanya berpunca daripada sayur-sayuran, daging, makanan laut atau air yang tercemar.

Simptom jangkitan oleh kuman ini biasanya bermula selepas 12-72 jam dijangkiti. Antara simptom yang dilaporkan ialah:

  • Demam
  • Muntah-muntah
  • Sakit perut
  • Cirit birit

Tanda-tanda ini biasanya tidak memerlukan rawatan yang khusus dan pesakit akan sembuh dalam masa 4-7 hari.

Namun begitu, bayi, kanak-kanak, orang tua, wanita mengandung dan mereka yang kurang daya tahan berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan yang lebih serius seperti dehidrasi. Selain itu, jangkitan yang lebih teruk boleh berlaku jika bakteria ini  merebak ke dalam saluran darah dan menyerang otak, tulang dan sendi.

Langkah Pencegahan

Tiada vaksin boleh melindungi individiu daripada jangkitan bakteria Salmonella. Hanya dengan mematuhi tatacara penyediaan makanan yang betul dan mengelakkan diri daripada sumber jangkitan dapat mencegah.

  • Makanan mesti dimakan tidak lebih daripada 4 jam selepas disediakan.
  • Makanan hendaklah disimpan dalam suhu yang sesuai dan dipanaskan dengan suhu yang mencukupi bagi mengelakkan keracunan makanan.
  • Jika menggunakan peti sejuk, pastikan ia bersih dan suhunya di bawah 4 Celcius di ruangan bawah dan -18 Celcius pada ruangan beku.
  • Baca dan patuhi arahan pada label produk mengenai cara penyimpanan dan tarikh luput.
  • Bersihkan permukaan sinki dan dapur serta peralatan memasak dengan air dan sabun selepas menyiapkan setiap jenis makanan.
  • Sebaiknya, gunakan tisu dapur pakai buang. Jika anda menggunakan kain lap atau span, pastikan anda membasuhnya menggunakan air panas setiap kali selepas menggunakannya.
  • Asingkan barang basah seperti daging mentah, ayam dan makanan lauk daripada bahan kering semasa membeli di pasar. Simpan secara berasingan juga di dalam peti sejuk.
  • Seeloknya, gunakan 2 jenis papan pemotong. Satu untuk memotong daging mentah san satu lagi digunakan untuk memoton sayur-sayuran.
  • Amalkan kebersihan diri dan membasuh tangan sebelum makan, selepas menggunakan tandas dan selepas menyalin lampin pakai buang.
  • Jangan minum daripada sumber yang tidak dirawat kerana ia mungkin telah dicemari oleh najis haiwan.
  • Pilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan, serta mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi.
  • Cuci tangan selepas menyentuh haiwan.
  • 23
    Shares
  • 23
    Shares
Close Menu