Connect with us

Tips Kurus

Kenapa Saya Mempunyai Perut Buncit? Ini Jawapannya.

Keadaan perut buncit tidak hanya menimbulkan masalah pada penampilan dan masalah semasa mencari saiz seluar yang sesuai. Isu utama jika perut anda semakin ke depan ialah banyaknya jenis penyakit yang ingin hinggap pada tubuh badan anda.

Perut buncit disebabkan oleh lemak perut atau dikenali sebagai lemak viseral yang menimbun dan menyelaputi organ-organ penting dalam badan manusia. Maka tidak hairanlah mereka yang berperut buncit mempunyai risiko tinggi untuk menghidapi sakit jantung, kencing manis, kerintangan insulin dan beberapa jenis kanser.

Maka adakah anda masih merasakan bahawa berperut buncit itu seksi?

Jika anda berkata tidak, teruskan bacaan anda untuk mengetahui kenapa perut buncit terjadi dan semak kembali gaya hidup dan corak pemakanan anda untuk mengatasi masalah ini.

Pertama, anda tidak boleh hidup tanpa teh tarik dan makanan bergula

Menurut Profesor Dr. Imelda Balchin, pakar obstetrik dari PPUM, kandungan 1 gelas besar teh tarik bersamaan dengan kandungan gula dalam 3 ulas durian atau 5 biji buah pisang atau 10 biji kurma, kira-kira 30g gula.

Selain teh tarik, minuman seperti kopi Starbucks yang semakin popular di kalangan rakyat Malaysia juga mengandungi gula yang tinggi.

Gula tambahan dalam minuman dan makanan terutamanya gula putih mempunyai kandungan fruktosa yang tinggi. Diet tinggi fruktosa mengurangkan sensitiviti insulin dan menyebabkan lemak kurang dibakar.

Minuman bergula adalah lebih besar bahayanya daripada makanan bergula kerana anda tidak mudah berasa kenyang dengan hanya minum. Ini menyebabkan anda cenderung untuk makan makanan lain.

Kedua, anda ditipu oleh jus buah-buahan

Jus buah-buahan yang telah dijual di pasaraya sebenarnya penipu besar. 250ml jus epal komersil sebenarnya mengandungi kandungan gula yang sama dengan minuman kola.

BACA JUGA  Lemak Di Perut dan Lemak Di Paha : Yang Mana Lebih Degil?

Walaupun ia mempunyai tambahan vitamin dan mineral, kandungan fruktosa yang tinggi harus dipandang berat jika anda ingin memilih jus buah-buahan yang telah dikomersilkan.

Ketiga, anda sering memesan McDonald’s dan KFC

Ayam goreng, kentang goreng dan minuman berkarbonat sememangnya kombo yang terbaik untuk menjadikan perut buncit. Makanan bergoreng mengandungi kandungan lemak trans yang tinggi, seperti juga pizza, kek dan biskut.

Lemak trans merupakan sejenis lemak jahat yang dicipta dengan menambahkan hidrogen kepada lemak tidak tepu. Proses ini menjadikan ia lebih stabil dan memanjangkan tarikh luput makanan.

Lemak trans menyebabkan keradangan dan meningkatkan kerintangan insulin serta risiko penyakit jantung.

Dalam satu kajian yang dilakukan selama 6 tahun ke atas monyet menunjukkan kumpulan monyet yang diberikan makanan yang mengandungi 8% lemak trans mengalami peningkatan berat badan dan 33% lebih buncit daripada monyet yang menerima makanan yang hanya mempunyai 8% lemak mono tidak tepu.

Keempat, anda kurang makan makanan berprotein

Diet tinggi protein boleh mengurangkan peningkatan berat badan dan perut buncit. Makanan berprotein menjadikan perut kenyang lebih lama, meningkatkan kadar metabolisme dan mengurangkan pengambilan kalori berlebihan.

Kelima, anda lebih banyak menghabiskan masa melayan Netflix atau Astro

Ya, drama bersiri memang mengasyikkan. Tanpa sedar kita lebih banyak menghabiskan masa untuk menonton cerita daripada bergerak aktif melakukan aktiviti fizikal, lalu apabila perut mula ke depan kita tertanya-tanya, “Kenapa perut buncit?”.

Kajian ke atas sekumpulan wanita menunjukkan mereka yang menghabiskan masa 3 jam untuk menonton television mempunyai risiko 2 kali ganda untuk mengalami obesiti yang teruk berbanding mereka yang hanya menghabiskan masa selama sejam.

Keenam, keluarga anda memang jenis badan bentuk epal

Faktor genetik memainkan peranan dalam menentukan lokasi lemak terkumpul. Umumnya obesiti menyebabkan 2 jenis perubahan bentuk badan iaitu jenis epal dan jenis pir. Jenis epal adalah disebabkan oleh lemak yang berkumpul di perut manakala jenis pir pula pengumpulan lemak berlebihan berlaku di bahagian pinggul dan paha.

BACA JUGA  Tabung Susu Kurus, Rahsia Cikgu Afy Kekal Slim Walaupun Sangat Minat Memasak

Walaupun genetik menentukan di mana lemak berada, tetapi obesiti sebenarnya boleh dicegah dan dikawal dengan mengamalkan gaya hidup yang betul.

Ketujuh, anda selalu tertekan

Stress menghasikan hormon kortisol iaitu sejenis hormon yang dirembes oleh kelenjar adrenal untuk memberikan respon terhadap perubahan fisiologi ketika anda sedang tertekan. Menariknya, hormon ini menyebabkan lemak-lemak berkumpul di bahagian perut secara khusus dan seterusnya menghasilkan perut buncit.

Kelapan, anda tidak tidur dengan cukup

Kajian daripada jurnal SLEEP mendapati bahawa mereka yang tidur kurang daripada 5 jam setiap malam mempunyai tambahan 32% lemak viseral berbanding 13% bagi mereka yang tidur 6-7 jam setiap hari. Tidak cukup tidur menyebabkan sel lemak kurang responsif terhadap hormon insulin.

Selain itu, hormon yang mengawal rasa lapar, ghrelin dan hormon yang menyebabkan rasa kenyang, leptin juga dipengaruhi oleh kualiti tidur. Semakin kurang waktu anda tidur, semakin tinggi ghrelin dan semakin rendah leptin dalam badan anda.

Kesembilan, menopaus, jika anda seorang wanita.

Sewaktu baligh, kadar hormon estrogen yang tinggi menyebabkan wanita lebih banyak menyimpan lemak di bahagian pinggul dan paha.

Menopaus mula berlaku setahun selepas haid berakhir. Ketika ini tahap hormon estrogen turun dengan mendadak, menjadikan lemak mula disimpan di bahagian perut terutamanya jika seseorang wanita itu mempunyai faktor genetik yang kuat.

Kesimpulan

Masalah kenapa perut buncit sangat berkait rapat dengan gaya hidup dan pemakanan seseorang individu. Selain BMI berat badan berlebihan atau obesiti, ukur lilit pinggang yang melebihi ukuran sepatutnya menjadi petanda aras risiko kesihatan yang bakal anda alami. Oleh itu, sangat perlu untuk anda melakukan sesuatu sekiranya anda mempunyai perut buncit.

BACA JUGA  Kajian Saintifik Terkini Membuktikan Lelaki Lebih Senang Untuk Kurus Berbanding Wanita

Berita baik untuk mereka yang risau dengan keadaan ini, lemak di bahagian perut lebih mudah disingkirkan berbanding lemak di bahagian paha.

Jadi, mulakan membuat perubahan pada gaya hidup dan dapatkan perut lebih rata bukan hanya untuk kelihatan cantik, tetapi demi kesihatan diri anda.

  • 37
    Shares
Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *