Connect with us

Kenali Penyakit

Kenapa Ibu Bapa Perlu Berjaga-jaga dengan HFMD?

Kebimbangan terhadap penularan penyakit tangan, kuku dan mulut di kalangan kanak-kanak, atau lebih dikenali sebagai HFMD menyebabkan 4 buah sekolah, beberapa tadika dan pusat jagaan kanak-kanak di Pulau Pinang terpaksa ditutup. Bilangan kes HFMD meningkat mendadak sebanyak 28% setakat 30 Jun 2018 berbanding tahun lepas.

HFMD merupakan penyakit bawaan virus Coxsackie yang menyerang kanak-kanak bawah umur 10 tahun. Ia dikenalpasti melalui simptom ulser di dalam mulut (melepuh) dan bintik-bintik merah pada tapak tangan dan tapak kaki. Ruam ini tidak mendatangkan rasa gatal tetapi kemungkinan berair dan boleh juga didapati pada bahagian punggung kanak-kanak terbabit.

Demam, sakit tekak, hilang selera makan dan keletihan merupakan simptom awal penyakit HFMD ini dan biasanya virus ini akan mengambil masa 3 hingga 6 hari sebelum ulser dan ruam dikenalpasti.

Cara Sebaran

Penyakit ini sangat mudah merebak di sekolah-sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak kerana ia disebarkan melalui banyak cara iaitu melalui hingus atau lendiran tekak,  air liur, lelehan daripada ruam yang berair, najis dan melalui udara ketika batuk atau bersin.

Walaupun ia sangat mudah menjangkiti kanak-kanak lain ketika jangkitan berlaku dalam minggu yang pertama, tetapi kanak-kanak yang telahpun sembuh daripada simptom-simptom yang dinyatakan di atas tetap berisiko untuk menyebarkan virus tersebut kepada kanak-kanak lain. Oleh itu, disarankan agar ibu bapa mengkuarantin anak-anak berkenaan bagi mengekang virus tersebut daripada menjangkiti kanak-kanak lain.

Komplikasi

Kanak-kanak yang menghidap HFMD biasanya akan sembuh dalam masa seminggu. Sakit tekak dan ulser dalam mulut akan menyukarkan anak anda untuk makan dan minum, jadi dehidrasi adalah antara komplikasi utama yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa.

BACA JUGA  Tips Sebenar Menguruskan Anak Yang Dijangkiti HFMD daripada Doktor Perubatan Bertauliah

Segelintir kanak-kanak mungkin mengalami komplikasi HFMD yang lebih serius seperti viral meningitis dan encephalitis iaitu jangkitan pada selaput otak dan otak kanak-kanak yang boleh meragut nyawa. Oleh itu, jika simptom HFMD pada anak anda semakin teruk selepas beberapa hari, sila bawa anak anda berjumpa dengan doktor segera sebagai langkah berjaga-jaga.

Langkah Pencegahan

Menjaga kebersihan merupakan langkah pencegahan utama bagi HFMD kerana ia sangat mudah disebarkan. Langkah-langkah berikut perlu diamalkan dalam mencegah penyakit ini daripada menular di kalangan kanak-kanak.

  • Amalan mencuci tangan

Pastikan anda dan anak anda kerap mencuci tangan dengan sabun dan air bersih terutamanya selepas ke tandas atau selepas menukar lampin anak dan sebelum menyediakan makanan.

  • Bersihkan permukaan dan barang mainan dengan peluntur

Selepas mencuci menggunakan air dan sabun, gunakan peluntur klorin untuk membasmi kuman terutamanya pada permukaan lantai dan objek-objek yang biasa dipegang oleh anak anda.

  • Didik anak tentang kebersihan

Tunjuk ajar anak anda tentang cara menjaga kebersihan dan pastikan anak anda tidak memasukkan tangan atau sebarang objek ke dalam mulut.

  • Kuarantin anak yang telah dijangkiti

Elakkan menghantar anak ke sekolah atau pusat jagaan harian sehingga demam kebah dan ulser dalam mulutnya hilang.

Rawatan

Tiada rawatan khusus bagi penyakit berjangkit bawaan virus seperti HFMD. Ibu bapa dinasihatkan untuk memberi anak minum air dengan lebih kerap atau makan makanan yang mengandungi banyak kandungan air untuk mengelakkan dehidrasi. Doktor mungkin akan memberikan ubat tahan sakit seperti acetaminophen atau ibuprofen untuk mengurangkan kesakitan yang disebabkan oleh simptom ulser mulut.

 

Rujukan : Mayo Clinic
Foto : News Channel 3

  • 2
    Shares
Continue Reading
Advertisement
2 Comments

2 Comments

  1. Pingback: Cara Kurangkan Sakit Akibat Ulser Mulut | SihatKini

  2. Pingback: HFMD Ditemui Pada Troli Pasaraya | SihatKini

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *