Connect with us

Tips Kesihatan

Sisi Gelap Mee Segera Yang Perlu Anda Tahu

Secara purata, rakyat Malaysia menghabiskan sebanyak 3.6 juta peket mee segera setiap hari menjadikan negara ini menduduki tempat ke-13 dalam senarai negara paling banyak menikmati makanan itu di dunia. Perisa kari dan tomyam paling mendapat tempat di hati warga tempatan.

Mee segera adalah mee yang telah dikeringkan dan dipaketkan bersama dengan rempah berperisa dan minyak. Tepung, garam dan minyak sawit merupakan kandungan utama dalam mee segera. Perencahnya pula dibuat menggunakan garam, perasa dan monosodium glutamat atau lebih popular dengan panggilan MSG.

Penggemar mee segera akan memasak atau merendam mee di dalam air panas sebelum makan. Dalam pasaran tempatan, terdapat juga mee segera versi goreng. Murah, cepat dan tidak renyah disediakan menjadikan mee segera sebagai pilihan makanan yang popular terutamanya di kalangan pelajar dan mereka yang sedang ‘kering’.

Namun begitu, mee segera boleh mendatangkan mudarat jika diambil berterusan atau dalam kuantiti yang banyak. Terkini, seorang pelajar cemerlang di Taiwan telah meninggal akibat kanser perut yang dihidapinya. Dikatakan beliau mengamalkan makan mee segera setiap hari selama bertahun-tahun.

Kenapa Mee Segera Tidak Bagus Untuk Kesihatan?

Dicipta untuk tahan lama, sudah pasti mee segera telah melalui tahap pemprosesan yang sangat tinggi. Ianya mempunyai kandungan nutrisi yang rendah; tinggi kandungan lemak, kalori dan garam; serta diadun dengan bahan pewarna dan perisa tambahan.

Menyebabkan kegemukan. Jumlah lemak yang tinggi menjadi sebab utama kenapa mee segera tidak bagus dimakan dengan kerap. Setiap paket mee segera mengandungi purata 14 gram lemak iaitu 40% daripada jumlah pengambilan lemak harian. Walaupun mengenyangkan, ia tidak mempunyai nilai dari segi nutrisi malah tinggi kalori (350-500kcal).

BACA JUGA  Makan Mee Segera Setiap Hari, Pelajar Mati Kerana Kanser Perut

Meningkatkan risiko penyakit metabolik seperti kencing manis, darah tinggi dan strok. Menurut kajian yang dilakukan oleh Harvard School of Public Health, pengambilan mee segera boleh menyebabkan perubahan pada metabolisme yang menjurus kepada sakit jantung dan strok. Kajian dilakukan ke atas wanita Korea Selatan mendapati golongan yang mengamalkan makan mee segera 2 kali seminggu lebih berisiko untuk menghidapi sindrom metabolik walaupun pada ketika yang lain mereka mengamalkan pemakanan yang sihat dan melakukan senaman.

Meningkatkan risiko kegagalan jantung. Selain lemak, jumlah garam yang tinggi iaitu hampir 2/3 daripada jumlah pengambilan harian sepatutnya boleh menyebabkan tekanan darah meningkat. Akibatnya, jantung menjadi lebih tertekan dan akhirnya gagal untuk berfungsi.

Merosakkan hati. Kandungan bahan aditif, pewarna, perasa dan penstabil yang banyak di dalam mee segera menyebabkan hati terpaksa bekerja keras untuk memproses bahan kimia tersebut. Akhirnya, hati mula diselaputi oleh lemak dan mengalami keradangan.

Memberi tekanan ke atas organ pencernaan. Video di bawah menunjukkan bagaimana mee segera sangat sukar untuk dicernakan selepas 2 jam, jika dibandingkan dengan mee yang tidak diproses. Untuk menjadikan mee segera tahan lama, pengilang menggunakan Tertiary-butyl hydroquinone (TBHQ) iaitu sejenis bahan berasaskan petroleum yang sukar dicernakan oleh perut dan usus. Proses penghadaman dan pencernaan yang lama ini menghalang tubuh daripada menyerap nutrisi yang lain.

Kontroversi MSG dalam Mee Segera

Kebanyakan mee segera juga mengandungi MSG, iaitu bahan kimia tambahan yang digunakan untuk menyedapkan rasa makanan. MSG disenaraikan sebagai bahan aditif yang selamat oleh Food and Drugs Administration (FDA) iaitu agensi persekutuan yang mengawal selia bahan makanan dan ubat-ubatan di Amerika Syarikat.

Samada MSG berbahaya atau tidak masih lagi menjadi perdebatan di kalangan pakar industri.

BACA JUGA  Makan Mee Segera Setiap Hari, Pelajar Mati Kerana Kanser Perut

Sesetengah kajian mengaitkan MSG dengan kenaikan berat badan, masalah sakit kepala dan mual-mual serta peningkatan tekanan darah. Dalam kajian yang lain, MSG didapati merosakkan kesihatan otak. Tetapi, terdapat juga kajian-kajian yang menidakkan perkaitan antara MSG dengan masalah-masalah yang telah disenaraikan di atas.

Sungguhpun begitu, terdapat segelintir individu yang mungkin terkesan dengan MSG. Golongan ini adalah lebih sensitif terhadap bahan tersebut dan mengalami Sindrom Restoran Cina atau simptom kompleks MSG seperti sakit kepala, mual, berpeluh-peluh, jantung berdegup kencang, muka berkerut, rasa nyeri, kebas dan pijar.

Kesimpulan

Jika anda menggemari mee segera, tidak salah untuk anda sesekali menikmati mee segera. Kurangkan kekerapan dan bandingkan dulu label nutrisi pada pek mee segera sebelum membeli.

Selain itu, anda perlu tahu cara makan mee segera seperti Maggi yang sihat seperti menambah sayur-sayuran untuk mendapatkan serat. Gunakan separuh sahaja daripada paket perencah yang diberikan. Untuk menggantikan rasa umami yang didapati daripada MSG, tambahkan lauk yang mempunyai perisa umami semulajadi seperti daging, ayam, tuna, udang, tomato dan cendawan ke dalam hidangan mee segera anda.

Sumber:

Keck Medicine
Washington Post
Medical News Today

  • 232
    Shares
Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *