Kanser Perut: Tanda-tanda Awal Sukar Dikesan

Kanser perut berlaku apabila sel-sel yang membentuk dinding perut mengalami kadar pertumbuhan yang tidak normal. Ia berlaku secara perlahan-lahan dalam jangka masa beberapa tahun.

Kanser perut menduduki tangga ke-5 sebagai kanser yang paling kerap dihidapi di dunia. Dari segi geografi, kanser ini biasanya dikesan dengan meluas di negara-negara Asia Timur seperti Mongolia, Jepun dan Korea Selatan. Faktor diet yang tinggi garam dan pengambilan jeruk mungkin menyumbang kepada statistik di negara-negara tersebut.

Bagaimanapun trend bagi insiden kanser ini dilaporkan menurun kebelakangan ini seiring dengan berkurangnya jangkitan oleh bakteria Helicobacter pylori. Selain itu, penggunaan peti sejuk sebagai cara untuk memanjangkan hayat makanan mengurangkan kadar penggunaan garam.

Di Malaysia, kanser perut tidak mempunyai bilangan kes yang tinggi. Hanya 5 kes sahaja dikesan bagi setiap 100,000 penduduk Malaysia. Ia merupakan kanser kelapan paling kerap berlaku pada lelaki dan kesepuluh pada wanita. Kaum Cina mempunyai risiko 3 hingga 4 kali ganda untuk menghidap kanser jenis ini berbanding bangsa Melayu.

Kanser perut sukar dikesan pada peringkat awal kerana tiada simptom yang jelas ditunjukkan, menjadikan ia kanser kedua tertinggi bagi kes kematian disebabkan oleh kanser. Di Malaysia lebih kurang tiga perempat kes-kes melibatkan penyakit kanser perut hanya dikesan ketika ia sudah berada pada tahap tiga atau empat di mana sel-sel kanser sudah mula merebak ke bahagian badan yang lain.

Siapakah yang berisiko untuk mendapat kanser perut?

  • Jantina
    Lelaki lebih kerap menghidapi kanser perut berbanding wanita
  • Umur
    Peningkatan kes yang mendadak di kalangan mereka berumur 50 tahun ke atas. Kebanyakan kes dikesan pada usia akhir 60-an hingga 80 tahun
  • Etnik
    Di Malaysia, kebanyakan pesakit kanser perut adalah di kalangan kaum Cina
  • Jangkitan Helicobacter pylori
    Bakteria Helicobacter pylori merupakan punca utama kanser perut terjadi. Selain kanser perut ia juga menyebabkan gastritis dan ulser perut.
  • Diet
    Insiden kanser perut didapati tinggi di kalangan mereka yang mengamalkan makanan jeruk, makanan yang disalai, daging merah dan ikan masin.
  • Merokok
    Mereka yang merokok mempunyai risiko 2 kali ganda untuk mendapat kanser perut, terutamanya pada bahagian atas perut yang bersempadan dengan esofagus.
  • Pernah menjalani pembedahan perut
    Membuang sebahagian perut menyebabkan saiz perut semakin kecil dan asid perut berkurangan. Ia menyebabkan seseorang individu lebih berisiko untuk mendapat jangkitan bakteria Helicobacter pylori.
  • Keturunan
    Mereka yang mempunyai ahli keluarga menghidap kanser perut mempunyai risiko yang lebih tinggi.
BACA JUGA  Makan Mee Segera Setiap Hari, Pelajar Mati Kerana Kanser Perut

Tanda-tanda kanser perut

Agak sukar untuk mengenalpasti tanda-tanda awal kanser ini kerana simptomnya yang hampir serupa dengan masalah gastritis. Apabila gejala yang lebih spesifik muncul, penyakit kanser perut ini biasanya sudah berada di tahap ketiga atau keempat.

Di Jepun di mana insiden penyakit ini tinggi, ujian saringan dilakukan untuk mengesan kanser perut pada peringkat awal.

Antara tanda-tanda kanser perut ialah:

  • Loya dan muntah
  • Kerap merasa pedih ulu hati
  • Hilang selera makan
  • Turun berat badan mendadak
  • Perut sentiasa kembung
  • Cepat kenyang
  • Najis berdarah
  • Lesu dan letih
  • Sakit perut terutamanya selepas makan
  • Anemia (kurang darah merah)

Bagaimana ia dikesan?

Selepas menilai simptom-simptom yang dialami, doktor akan melakukan pemeriksaan awal untuk mengesan sebarang tanda. Ujian darah akan dilakukan termasuklah ujian untuk mengesan Helicobacter pylori.

Jika doktor mendapati simptom kanser perut pada seseorang, mereka akan melakukan ujian lanjutan yang melibatkan:

  1. Endoskopi pada bahagian atas saluran penghadaman dan pencernaan (esophagus, perut dan sebahagian usus kecil)
  2. Biopsi untuk mengambil sampel tisu bagi mesan sel-sel yang abnormal
  3. Ujian imbasan seperti CT scan dan X-ray

Bagaimana kanser perut dirawat?

Rawatan yang diberikan bergantung kepada tahap kanser pesakit dan di bahagian perut mana sel-sel kanser itu berada. Jenis rawatan meliputi:

  • Kemoterapi
  • Radioterapi
  • Pembedahan
  • Immunoterapi (menggunakan vaksin dan ubat-ubatan)

Selain daripada merawat bahagian perut yang terlibat, rawatan juga bertujuan untuk mengekang penyebaran sel-sel kanser ke bahagian badan yang lain iaitu:

  • Paru-paru
  • Nodus limfa
  • Hati
  • Tulang

Kanser tahap dua dan tiga boleh dirawat melalui pembedahan. Namun, kanser tahap empat memerlukan rawatan kemoterapi dan radioterapi kerana sel kanser telah merebak ke hati dan paru-paru (metastasis).

BACA JUGA  Makan Mee Segera Setiap Hari, Pelajar Mati Kerana Kanser Perut

Langkah pencegahan

Kanser perut tidak dapat dicegah tetapi risikonya boleh dikurangkan dengan melakukan beberapa perubahan gaya hidup.

Diet, berat badan dan aktiviti fizikal

  • Kurangkan pengambilan makanan dijeruk, disalai dan makanan banyak garam.
  • Banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran segar terutamanya buah-buahan sitrus (Sukatan cadangan: 2 1/2 cawan setiap hari).
  • Pilih roti daripada bijirin penuh dan beras perang. Banyakkan makan ikan, ayam dan kekacang berbanding daging merah atau daging yang diproses seperti sosej dan salami.
  • Dapatkan berat badan yang ideal dan lakukan senaman 3 kali seminggu.
  • Pengambilan suplemen yang mengandungi antioksida seperti vitamin A, C dan E serta mineral selenium mungkin membantu mereka yang sememangnya mengalami masalah kekurangan nutrisi tersebut. Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu untuk mengetahui samada anda memerlukan suplemen atau tidak.

Berhenti merokok

  • Merokok meningkatkan risiko mendapat apa jua jenis kanser.
  • Jika anda tidak pernah merokok, jangan mulakan.
  • Jika anda bercadang untuk berhenti merokok, dapatkan bantuan dan nasihat daripada klinik kesihatan terdekat atau hubungi Infoline Berhenti Merokok 03-8883 4400.

 

Sumber:

American Cancer Society
Portal MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia
Kosmo

  • 52
    Shares
  • 52
    Shares
Close Menu