Jus Prune Untuk Bayi Sembelit: Berapa Sukatan Sepatutnya?

Selain lapar dan kembung perut, sembelit pada bayi merupakan masalah yang membuatkan ibu bapa tidak keruan. Memberikan jus prune untuk bayi sembelit mungkin membantu menyelesaikan isu ini.

Jangan risau jika bayi anda menyusu badan dan tidak membuang air besar dengan kerap.

Adalah biasa jika bayi yang menyusu tidak membuang air besar beberapa hari kerana susu ibu mudah dihadam dan diserap sepenuhnya oleh usus. Bayi yang minum susu ibu jarang sekali mengalami sembelit kerana keperluan nutrisi dalam susu ibu mencukupi untuk mengelakkan masalah ini.

Masalah sembelit bayi seringkali berpunca daripada jenis susu formula dan corak pemakanan. Sembelit dikenalpasti melalui kekerapan membuang air besar yang jarang dan najis bayi yang keras dan berbiji-biji. Kadangkala sembelit menyebabkan najis bayi berdarah.

Namun begitu, sembelit boleh diatasi dengan meningkatkan pengambilan makanan berserat dan minum lebih banyak air. Kedua-dua serat dan air membantu proses peristalsis iaitu pergerakan usus dan melembutkan najis supaya mudah untuk dikeluarkan.

Jus prune merupakan penyelesaian kepada masalah sembelit yang ideal kerana ia sememangnya kaya dengan serat dan air.

Kenapa jus prune boleh mengatasi sembelit?

  • Prune boleh melembutkan najis

Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam Korean Journal of Community Nutrition pada tahun 2008, mendapati bahawa suplemen yang mengandungi prune sangat efektif dalam membekalkan tenaga, serat dan air seterusnya melegakan simptom sembelit.

Suplemen mengandungi prune berupaya untuk melembutkan najis, mengurangkan kesakitan akibat sembelit dan mengurangkan tempoh najis di dalam usus.

  • Prune meningkatkan pergerakan usus

Satu lagi kajian berlainan yang diterbitkan oleh jurnal Alimentary Pharmacology and Therapeutics pada tahun 2014 menyimpulkan bahawa jus prune lebih berkesan sebagai sumber fiber untuk sembelit berbanding psyllium husk. Psyllium merupakan suplemen yang popular dalam rawatan sembelit.

BACA JUGA  Tips Untuk Mencegah Sembelit Dalam Jangka Masa Panjang

Kajian ini menunjukkan bahawa buah prune dapat meningkatkan kekerapan pergerakan usus dan menghasilkan najis yang lebih lembut.

Kajian-kajian di atas telah dilakukan ke atas orang dewasa. Namun begitu, manfaatnya adalah sama ke atas bayi jika diambil pada dos yang sesuai. Sebelum itu, mari kita lihat apakah kandungan rahsia yang menghasilkan manfaat jus prune untuk bayi sembelit.

5 jenis nutrien yang terkandung dalam buah prune

  • Serat larut
    Serat larut menyerap air daripada usus menjadikan najis lebih lembut dan mudah dibuang.
  • Serat tidak larut
    Serat tidak larut pula tidak menyerap sebarang air dan nutrisi tetapi akan melalui usus bersama-sama dengan najis. Ia menjadikan najis lebih berisi dan membantu proses pencernaan melalui rangsangan peristalsis. Peristalsis merupakan proses menggerakkan makanan di dalam usus dan organ pencernaan yang lain melalui mekanisme pengecutan dan relaksasi otot-otot di bahagian terbabit.
  • Sorbitol
    Selain serat, prune mengandungi 15% sorbitol di dalam kandungannya. Sorbitol juga berfungsi untuk menyerap air dan seterusnya melembutkan najis yang keras.
  • Dihydrophenylisatin
    Dihydrophenylisatin ditemui pada kulit buah prune. Bahan kimia ini dipercayai dapat mempercepatkan pergerakan usus.
  • Mineral dan vitamin
    Buah prune kaya dengan vitamin dan mineral seperti potasium dan vitamin A yang mengaktifkan enzim-enzim pencernaan. Potasium membantu menggerakkan makanan di dalam usus dengan melancarkan peristalsis usus.

 

Kandungan nutrisi jus prune

Secawan jus prune mengandungi 2.6g serat. Selain itu, jus prune juga mempunyai kandungan nutrien seperti berikut:

  • 44.7 g karbohidrat
  • 1.6 g protein
  • 0.1 g lemak
  • 0.6 mg vitamin B6
  • 707 mg potasium
  • 0.4 mg mangan
  • 3 mg zat besi
  • 10.5 mg vitamin C
  • 8.7 mcg vitamin K
  • 0.2 mg vitamin B2
  • 2 mg vitamin B3
  • 35.8 mg magnesium
  • 0.2 mg kuprum
  • 64 mg fosforus
  • 0.5 mg zink.
BACA JUGA  6 Makanan Punca Sembelit Yang Menjadi Pilihan Ramai Rakyat Malaysia

Berapakah sukatan ideal jus prune untuk bayi sembelit?

Untuk bayi dan kanak-kanak yang sembelit, 2-4 sudu besar sudah mencukupi. Mulakan dengan 2 sudu besar dahulu. Jika anak anda tidak sukakan rasanya, anda boleh mencuba popsicle menggunakan jus prune yang telah dibekukan.

Anda juga boleh mencampurkan jus pir, epal, oren atau kranberi untuk memberikan rasa yang lebih sedap.

Jangan berikan jus prune dalam kadar yang berlebihan, dikhuatiri akan menyebab cirit-birit dan kembung perut pada bayi.

Di pasaran, terdapat jus prune yang telah disiap diproses menggunakan 100% buah prune organik dan dicampurkan dengan madu. Jus prune ini hanya sesuai diberikan kepada bayi yang berusia 1 tahun ke atas.

Jus Pune Biogreen

Alternatif lain ialah dengan membuat sendiri jus prune anda sendiri di rumah menggunakan buah prune organik.

Berikut ialah contoh resipi jus untuk anda cuba.

Resipi jus prune untuk bayi sembelit

1 cawan buah prune
5 cawan air
1 cawan jus pir

Cara-cara :

  1. Buang tangkai buah prune.
  2. Didihkan 5 cawan air dan masukkan ke dalam bekas tahan panas berisi buah prun. Pastikan buah separuh tenggelam. Rendam selama 12-24 jam. Simpan air yang lebih untuk digunakan kemudian.
  3. Kisar buah prune yang direndam bersama air sehingga halus.
  4. Tapis buah yang telah dikisar ke dalam bekas 1 liter.
  5. Masukkan jus pir untuk memberikan rasa manis, jika suka.
  6. Isi bekas dengan air sehingga penuh menggunakan air yang telah disimpan dan sejukkan.
  7. Jus ini tahan sehingga 1 minggu jika disimpan di dalam peti sejuk. Lebihan jus boleh dibekukan untuk dijadikan popsicle.

 

Kesimpulan

Buah prune atau jus prune, kedua-duanya merupakan alternatif yang baik untuk mengatasi masalah bayi sembelit. Namun begitu, anda masih perlu memberikan jumlah air atau susu yang cukup kepada bayi dan mengubah corak pemakanan bayi yang telah mencapai usia untuk makan makanan pejal.

BACA JUGA  5 Petua Hilangkan Sembelit Bayi Yang Boleh Dilakukan Di Rumah

Tukar susu bayi jika bayi yang minum susu formula mengalami masalah sembelit yang berpanjangan.

Urutan juga dapat membantu melancarkan pergerakan usus dan melawaskan pembuangan najis bagi bayi sembelit (Video urutan untuk bayi sembelit).

Jika sembelit bayi berterusan setelah anda mencuba petua-petua melegakan sembelit di rumah, dapatkan konsultasi doktor dan rawatan daripada pusat kesihatan berdekatan.

  • 20
    Shares
  • 20
    Shares
Close Menu