Connect with us

Kenali Penyakit

Jenis Keputihan Normal dan Tidak Normal Melalui Warna Lendir

Ramai wanita sangat risau dengan keputihan, iaitu cecair atau lelehan daripada vagina. Namun begitu, dengan mengenali jenis keputihan yang anda sedang alami dapat membantu menghilangkan kerisauan kerana tidak semua keputihan itu tanda penyakit.

Sebenarnya keputihan adalah normal bagi wanita terutamanya yang masih dalam usia reproduktif. Keputihan dihasilkan oleh kelenjar mukus yang terdapat pada lapisan permukaan vagina dan serviks.

Oleh itu, keputihan tanda vagina anda sihat:

  • Ia sedang membersihkan sel-sel mati dan lama
  • Ia berfungsi sebagai pelincir semasa anda melakukan seks
  • Ia melindungi anda daripada jangkitan kuman

Penolong Profesor di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi di University Northwestern, Dr. Maura Quinlan dalam temubualnya dengan sebuah blog menyifatkan kepentingan keputihan bagi wanita adalah seperti air liur.

Lendiran dari vagina adalah satu keperluan bagi wanita sama seperti air liur di dalam mulut kita.

Jenis keputihan yang normal

Kuantiti, warna dan bau keputihan berubah-ubah mengikut kitaran kesuburan seseorang wanita. Contohnya, lebih banyak keputihan dihasilkan ketika anda subur (waktu ovulasi), sedang mengandung, atau sedang terangsang. Wanita yang menggunakan pil atau alat perancang yang mengandungi hormon progestin juga akan menghasilkan lebih banyak keputihan daripada biasa. Stres dan aktiviti fizikal juga menyumbang kepada keadaan ini. Bau keputihan pula mungkin berbeza ketika anda sedang mengandung.

Kebiasaannya, jenis keputihan yang normal adalah berwarna jernih. Portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaydia menyenaraikan ciri-ciri berikut sebagai jenis keputihan yang normal:

  • Lendir yang cair dan tidak melekat
  • Lendiran berwarna putih atau krim
  • Lendir tidak mempunyai bau
  • Jumlah yang dikeluarkan adalah sedikit
  • Lendir biasanya keluar semasa subur dan sebelum haid
  • Tiada tanda gatal pada kemaluan
BACA JUGA  12 Cara Mengatasi Keputihan Yang Disyorkan Oleh Doktor

Justeru itu, anda perlu risau jika keputihan anda mengalami perubahan warna dan bau yang sangat luar daripada kebiasaan. Tambahan pula, jika keputihan itu disertai dengan gatal-gatal di sekitar vagina dan rasa pedih.

Apa penyebab keputihan saya berwarna putih?

Keputihan yang keluar seperti lendir berwarna putih telur selalunya bermaksud anda sedang melalui waktu ovulasi atau tanda anda akan datang bulan.

Jenis keputihan berwarna putih bukanlah satu isu jika ia tidak disertai oleh simptom-simptom lain seperti gatal-gatal pada vagina, rasa pedih atau ada bau yang kurang enak pada keputihan tersebut.

Keputihan berwarna putih menjadi abnormal dalam 2 keadaan :

Pertama, jika keputihan tersebut mempunyai konsistensi seperti gumpalan cottage cheese dan disertai oleh kegatalan dan pedih pada kawasan luar dan dalam vagina. Ini petanda jangkitan kulat Candida. Jangkitan kulat boleh dirawat menggunakan ubat antikulat.

Kedua, jika jenis keputihan berwarna putih tersebut mempunyai bau hanyir seperti ikan serta pedih ketika membuang air kecil. Ini tanda jangkitan bacterial vaginosisKeputihan akibat vaginosis juga mungkin berwarna kelabu atau kuning.

Apa penyebab keputihan saya berwarna kuning?

Keputihan berwarna kuning juga mungkin normal dan mungkin tidak normal. Keputihan yang mempunyai warna kekuningan, tidak berbau dan tanpa sebarang simptom luar biasa adalah normal.

Sebaliknya, jenis keputihan berwarna kuning adalah petanda penyakit kelamin yang serius atau jangkitan bakteria.

Keputihan kuning yang tebal konsistensinya dengan simptom sakit ketika kencing, berbau dan sakit pada kawasan vagina mungkin merujuk kepada jangkitan bakteria trichomoniasis. Trichomoniasis juga mungkin menyebabkan keputihan berwarna hijau.

Gonorea dan jangkitan Chlamydia kadangkala menghasilkan lelehan berwarna kuning.

Bagaimana jika keputihan saya berwarna coklat atau mempunyai darah?

Keputihan berwarna coklat adalah normal jika seorang wanita sedang mengalami haid atau sedang berada di penghujung waktu haid. Ketika ini, darah yang dihasilkan semakin sedikit menjadikan keputihan berwarna kecoklatan.

BACA JUGA  Jangkitan Kulat Pada Faraj : Adakah Anda Boleh Merawat Sendiri Di Rumah?

Jika keputihan jenis ini berlaku di luar waktu haid dan seseorang wanita itu aktif melakukan hubungan seks tanpa perlindungan, kebarangkalian wanita tersebut mengandung. Namun, keputihan berwarna kecoklatan bagi wanita yang sedang di peringkat awal kandungan mungkin menandakan keguguran sedang berlaku. Sila rujuk klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan pengesahan daripada doktor bertauliah kerana lendiran berwarna coklat mungkin normal bagi wanita mengandung.

Situasi ini perlu dipandang serius jika keputihan kecoklatan ini dialami oleh wanita yang sudah menopaus atau putus haid. Wanita berusia yang mendapati lendiran berwarna coklat daripada vagina berisiko untuk didiagnosis sebagai kanser tahap tinggi. Doktor sakit puan akan melakukan pemeriksaan lebih lanjut sebelum mengesahkan diagnosis ini.

Keputihan saya berwarna jernih, tetapi sedikit melekit. Adakah ini normal?

Tahniah, anda sebenarnya sedang melalui waktu subur. Cairan vagina yang jernih, sedikit melekit dan kelihatan seperti putih telur adalah petanda anda sedang berovulasi.

Apa lagi penyebab keputihan?

Berikut ialah senarai punca-punca terjadinya keputihan jenis tidak normal.

Punca yang berkait dengan jangkitan dan keradangan

  • Radang cervix (servisitis)
  • Chlamydia trachomatic
  • Gonorea
  • Tertinggal tampon
  • Radang pada organ pelvis (Pelvic inflammatory disease)
  • Penyakit kelamin
  • Trichomoniasis
  • Vaginitis
  • Jangkitan kulat pada vagina

Punca selainnya

  • Penggunaan spray atau sabun yang mempunyai bahan pewangi, meruang (douching)
  • Kanser serviks
  • Kanser vagina
  • Fistula pada vagina atau usus rektum
  • Mengandung

Jenis keputihan yang mana memerlukan perhatian doktor?

Dalam banyak keadaan, keputihan adalah sesuatu yang normal bagi seseorang wanita. Jika lendiran dari vagina anda mengalami perubahan warna dan bau dan disertai oleh simptom-simptom berikut, sila rujuk doktor bertauliah untuk mendapatkan diagnosis. Doktor akan mengesahkan apa penyebab keputihan mengikut situasi anda.

BACA JUGA  Jangkitan Kulat Pada Faraj : Adakah Anda Boleh Merawat Sendiri Di Rumah?

Tanda-tanda tersebut ialah:

  • Lelehan berwarna kuning, hijau atau kelabu
  • Gatal pada vagina atau rasa pedih
  • Lelehan kelihatan berbuih atau bergumpal seperti cottage cheese
  • Bau yang kurang menyenangkan atau bau hanyir ikan
  • Kesakitan pada kawasan pelvis

Rawatan adalah berbeza mengikut diagnosis – contohnya ubat untuk jangkitan kulat tidak sama dengan jangkitan disebabkan bakteria.

Perkara yang anda perlu tahu ketika berjumpa doktor

Selain warna keputihan, doktor akan bertanyakan beberapa soalan untuk mendapatkan penyebab keputihan dan memberi rawatan yang bersesuaian mengikut jenis keputihan.

  • Adakah anda belum menopaus atau sudah putus haid?
  • Adakah anda sedang mengandung?
  • Adakah anda mengalami simptom lain selain daripada ini, contohnya demam atau sakit di bahagian abdomen?
  • Adakah anda mengalami rasa gatal di ari-ari?
  • Bagaimanakah bau lendir tersebut? Hanya bau busuk atau ada bau tipikal seperti bau hanyir ikan?
  • Bila anda mula menyedari tentang perubahan ini?
  • Adakah lelehan ini hanya keluar ketika sedang berhubungan kelamin?
  • Adakah anda mempunyai lebih daripada seorang pasangan?

Keputihan tidak sepatutnya menjadi mimpi ngeri kepada wanita jika anda mengenali jenis keputihan yang sedang anda alami. Ia adalah satu situasi yang normal dan petanda aras kesihatan seseorang wanita. Sebaliknya, perhatian perlu diberikan jika terdapat sebarang perubahan pada warna dan bau pada lendiran vagina dan dapatkan pengesahan doktor. Rawatan yang bersesuaian akan diberikan untuk merawat masalah keputihan yang tidak normal.

 

Sumber:

WebMD
Medical News Today
MayoClinic

  • 4
    Shares