Cara Untuk Membantu Bayi Selsema Tidur

Bayi yang mengalami selsema agak sukar untuk ditidurkan dan tidur mereka sering terganggu kerana hidung tersumbat. Selain itu, bayi selsema juga mengalami batuk, sakit tekak, sakit kepala dan demam menjadikan mereka tidak selesa dan kerap bangun malam.

Selsema biasanya mengambil masa hampir seminggu untuk pulih. Pasti anda juga tidak tidur lena sepanjang menjaga bayi yang sedang sakit, kan?

Secara purata, bayi mengalami selsema 8-12 kali setahun. Namun begitu, ada caranya untuk menangani masalah tidur bayi selsema agar kedua-dua anda dan bayi mendapat tidur yang lebih lena.

Adakah Bayi dan Kanak-kanak Yang Mengalami Selsema Memerlukan Ubat?

Bayi dan kanak-kanak berusia 4 tahun ke bawah sebenarnya tidak memerlukan ubat untuk merawat selsema. Tiada bukti kukuh bahawa ubat selsema dan juga batuk membantu kanak-kanak. Sebaliknya, ubat-ubatan sebegini boleh memberikan kesan sampingan yang serius kepada mereka terutamanya jika diberi dalam dos yang berlebihan.

Sekiranya, bayi anda berusia bawah 3 bulan dan mengalami selsema, anda perlu membawanya berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut kerana di usia begini sistem imun bayi masih belum matang.

Bagaimana Cara Untuk Menidurkan Bayi Selsema?

  • Tidur bersama. Ya, ada ibu-ibu yang tidak mengamalkan co-sleeping kerana bimbangkan keselamatan bayi. Tetapi ketika bayi sedang sakit, tiada yang lebih memberikan rasa aman dan selamat melainkan dengan merasa ibu ada di sisi. Sebagai alternatif, alihkan katil bayi supaya hampir dengan katil ibu tidur supaya ibu dapat memantau dan memberikan perhatian yang diperlukan ketika bayi sedang sakit.
  • Pantau suhu badan. Selsema yang disertai demam memberikan rasa tidak selesa kepada bayi. Anda boleh memberikan ubat demam seperti paracetamol kepada bayi mengikut dos yang telah ditetapkan.
  • Kurangkan penggunaan selimut dan bantal. Panas badan bayi boleh juga dikurangkan dengan memakaikan baju nipis dan diperbuat daripada kapas.
  • Menyusu dengan lebih kerap. Jika bayi selsema mengalami hidung tersumbat, berikan susu dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap. Ini memastikan bayi cukup air dan berasa kenyang kerana bayi yang kelaparan lebih sukar untuk tidur. Bagi kanak-kanak, berikan mereka makanan dalam bentuk cecair seperti sup dan jus.
  • Atasi masalah hidung tersumbat. Sedut keluar mukus yang memenuhi hidung menggunakan nasal aspirator yang boleh didapati di farmasi. Anda juga boleh meminta preskripsi larutan garam daripada doktor untuk dititiskan ke dalam hidung bayi selsema.
  • Pastikan pengaliran udara yang baik. Buka tingkap jika perlu.
  • Wapkan bilik air. Buka air panas, tutup pintu dan duduk di dalamnya selama 15 minit sebelum anda menidurkan bayi. Alternatif bagi yang tidak mempunyai kemudahan air panas, anda boleh mengisi air mendidih di dalam besen dan menghidu wap.
BACA JUGA  48 Tips, Panduan Dan Cara Memandikan Bayi Baru Lahir [Beserta Video]

Posisi Tidur Bayi Selsema

Posisi tidur dapat membantu bayi anda untuk lena. Tidur dalam keadaan menelentang akan memburukkan keadaan hidung yang telah sedia tersumbat.

Tinggikan posisi kepala bayi anda dengan meletakkan tuala di bawah tilam. Jangan gunakan bantal, dikhuatiri membuatkan bayi lemas.

Jika selsema bayi berlarutan atau bayi mengalami demam panas melebihi 38 Celsius bagi yang berumur bawah 3 bulan atau 39 Celsius untuk bayi yang lebih berusia, anda perlu berjumpa doktor. Bagaimanapun, jika bayi mengalami masalah untuk bernafas, kunjungi bahagian kecemasan hospital dengan segera.

Kesimpulan

Masalah tidur sememangnya tidak dapat dielakkan ketika bayi selsema. Tetapi percayalah, selepas beberapa malam, keadaan ini akan berakhir. Ibu-ibu perlu bertenang dan meminta bantuan daripada suami atau ahli keluarga sekiranya anda memerlukan masa untuk berehat.

  • 4
    Shares
  • 4
    Shares
Close Menu