15 Petua dan Cara Hilangkan Migrain Yang Efektif

60% daripada mereka yang mengadu sakit kepala mengalami masalah migrain atau sakit kepala jenis tekanan (tension headache). Migrain biasanya dikenali sebagai sakit kepala berdenyut pada sebelah kepala.

Jika anda mengalami masalah sakit kepala sebelah kanan sahaja atau kiri tetapi tidak berdenyut, anda mungkin mengalami sakit kepala jenis yang lain.

Berikut ialah senarai cara hilangkan migrain yang berkesan. Jika cara ini tidak boleh menghilangkan migrain untuk selamanya pun, sekurang-kurangnya ia dapat membantu mengurangkan kekerapan serangan migrain anda.

Kenapa Migrain Berlaku

Semasa migrain menyerang, berlaku beberapa perubahan pada saraf dan salur darah. Mereka yang mempunyai paras ketahanan kesakitan yang rendah di dalam genetik akan menjadi lebih sensitif kepada rasa sakit di bahagian kepala. Migrain yang biasa ditemui ialah migrain tanpa tanda amaran atau aura, tetapi terdapat juga migrain klasik bersama aura dan jenis-jenis migrain yang lain.

Cara Hilangkan Migrain Dengan Mengubah Cara Hidup

Kenali penyebab atau punca migrain: Jika anda kerap mengalami sakit kepala berdenyut, mengenalpasti pencetusnya mungkin dapat membantu menghilangkan migrain. Tandakan di kalendar setiap kali anda mengalami sakit kepala dan catatkan sebarang perubahan yang berpotensi sebagai pencetus seperti:

  • Jenis makanan yang anda makan
  • Persekitaran – merokok/asap rokok, cahaya yang terang, bunyi bising atau bau yang kuat
  • Emosi – kemurungan, cemas, marah, keletihan, tekanan dan sebagainya
  • Ubat-ubatan yang diambil – rawatan hormon, sesetengah ubat tidur dan ubat perancang keluarga
  • Lain-lain – haid, pertukaran masa tidur dan putus haid

Hormon estrogen yang rendah: Sebelum haid, paras hormon estrogen akan menurun menyebabkan migrain berlaku. Ubat perancang keluarga yang mempunyai dos estrogen yang rendah boleh membantu mengatasi masalah sakit kepala berdenyut untuk wanita.

BACA JUGA  9 Cara Hilangkan Sakit Kepala Tanpa Ubat Dengan Berkesan

Jadual makan yang tidak teratur: Paras gula di dalam darah yang berubah-ubah boleh merangsang rasa sakit. Mereka yang menghidapi migrain tidak digalakkan untuk berlapar melebihi 3 jam. Pastikan diet anda mempunyai sumber protein supaya paras glukosa sentiasa stabil.

Minuman berkafein: Jika anda penggemar kopi, migrain mungkin berlaku pada hari anda tidak minum kopi atau ketika anda berhenti mengambilnya. Hadkan jumlah kopi atau minuman berkafein yang lain kepada 200ml sehari, bersamaan 1 cawan. Kopi, coklat dan kola juga mengandungi kafein.

Jadual tidur anda terganggu: Kurang jam tidur juga boleh menyebabkan migrain. Pastikan anda tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari. Sekiranya anda mengalami masalah untuk tidur, amalkan tips-tips untuk mudah tidur supaya anda mendapat tidur yang berkualiti dan mengelakkan masalah sakit kepala berdenyut.

Cara Hilangkan Migrain Tanpa Ubat

Gunakan ais: Tuam sejuk lebih berkesan berbanding tuam panas jika anda mengalami migrain.

Suplemen tambahan: Kajian pemakanan menunjukkan riboflavin (vitamin B2) dan CoQ10 dapat membantu mengurangkan masalah sakit kepala berdenyut. Magnesium yang rendah juga boleh menyebabkan migrain. Jadi anda boleh mencuba suplemen magnesium untuk mengatasi masalah migrain yang anda hidapi.

Belajar teknik untuk menenangkan diri: Urutan boleh membantu jika anda mengalami ketegangan otot leher dan bahu. Tai chi dan yoga pula membantu anda untuk fokus dan memberi perhatian kepada tubuh badan anda.

Herba: American Academy of Neurology telah mengiktiraf herba butterbur sebagai berkesan untuk merawat migrain. Herba ini dapat meningkatkan pengaliran darah ke bahagian kepala. Selain itu, kajian masih lagi dijalankan ke atas herba feverfew yang dikatakan dapat mengurangkan kekerapan serangan migrain.

Akupunktur: Kebanyakan kajian menunjukkan bahawa rawatan akupunktur memberikan kesan yang hampir sama untuk hilangkan migrain seperti ubat-ubatan.

BACA JUGA  Sakit Kepala Sebelah Kanan: Punca & Tips Untuk Mengatasinya

Cara Hilangkan Migrain Menggunakan Ubat

Triptans: Ubat ini memerlukan preskripsi daripada doktor. Ia berkesan untuk melegakan migrain tetapi jika diambil berlebihan atau disalahguna boleh menyebabkan sakit kepala yang lebih teruk kerana simptom sarak (withdrawal symptom).

Beta-blocker/Ubat untuk darah tinggi: Propranolol, metoprolol dan timolol merupakan senarai ubat darah tinggi dan sakit jantung yang juga digunakan untuk merawat migrain. Ubat ini memberi kesan positif kepada salur darah di bahagian kepala. Ia mempunyai kesan sampingan dan boleh menyebabkan degupan jantung menjadi perlahan.

Ubat sawan (antiseizure): Ubat sawan seperti topiramate dan valproic acid juga digunakan dalam rawatan sakit kepala berdenyut. Kekerapan serangan migrain boleh dikurangkan sebanyak 50% menggunakan ubat ini kerana ubat sawan boleh menghalang neurotransmitter. Kesan sampingan ubat ini ialah rasa mengantuk dan keliru.

Ubat antidepresi: SSRI dan tricyclic turut berada di dalam senarai ubat migrain. Doktor tidak akan memberikan preskripsi ubat ini jika anda tidak mengalami kemurungan. Ubat ini dapat menyeimbangkan serotonin yang dikatakan menjadi antara sebab migrain berlaku.

Botox: Suntikan botox telah diiktiraf sebagai salah satu rawatan migrain kronik yang berkesan oleh FDA. Sebanyak 31 suntikan akan diberikan kepada penghidap migrain dalam masa 2 minggu.

Sumber: Prevention

Close Menu