Connect with us

Kecantikan

Cara Guna Cuka Epal Untuk Dapatkan Rambut Seperti Dirawat Di Salon

Cuka epal merupakan makanan kesihatan yang semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat tempatan. Cuka epal dihasilkan daripada buah epal yang diperam menjadikan ia kaya dengan bakteria baik, zat mineral dan asid.

Dulunya cuka epal hanya sinonim dengan resipi-resipi salad. Kini, ia digunakan dalam banyak resipi-resipi kecantikan dan kesihatan. Ia mempunyai fungsi serbaguna – sebagai toner dalam rutin kecantikan, mengawal atur paras gula dalam darah dan membantu menurunkan berat badan.

Selain itu, cuka epal juga dapat menghasilkan rambut yang sihat dan cantik sepertimana minyak zaitun. Penggunaan cuka epal dalam penjagaan rambut dikatakan dapat membantu melegakan kulit kepala yang bermasalah, masalah kelemumur dan menjadikan rambut lebih cantik bersinar seperti dirawat di salon.

Khasiat dan Manfaat Cuka Epal Kepada Rambut

Menyeimbangkan pH

Rambut dan minyak semulajadi daripada kulit kepala (sebum) mempunyai pH 4 Р5 dan bersifat asidik. Produk penjagaan rambut dan syampu mengubah keadaan ini. Rambut yang kusut, kusam dan sukar diurus biasanya lebih bersifat alkali.

Seperti jenis cuka yang lain, cuka epal mengandungi asid asetik. Oleh itu, penggunaan cuka epal dapat membantu menyeimbangkan pH rambut dan menjadikan rambut lebih sihat dan berseri.

Mempunyai fungsi antimikrobial

Bakteria dan kulat menjadi antara sebab berlakunya kelemumur dan keguguran rambut. Cuka epal menjadikan kulit kepala dan rambut lebih asidik dan menghalang pertumbuhan mikroorganisma yang menjadikan rambut bermasalah.

Kaya dengan vitamin dan mineral

Cuka epal kaya dengan vitamin B dan C yang membantu pertumbuhan rambut. Walau bagaimanapun, tidak terdapat bukti saintifik yang kukuh mengatakan bahawa cuka epal dapat merawat keguguran rambut. Ia juga mengandungi asid alfa hidroksi (AHA), menjadikan sel-sel kulit mati menggelupas, membersihkan sisa-sisa produk penjagaan rambut dan mencegah keradangan kulit kepala.

Cara Menggunakan Cuka Epal dalam Rawatan Rambut

Braggs dan Surya adalah jenama cuka epal yang boleh didapati dalam pasaran tempatan. Oleh kerana cuka epal adalah berasid, ia perlu dicairkan terlebih dahulu sebelum digunakan pada rambut dan kulit kepala.

Bahan-bahan:

  • 2-4 sudu besar cuka epal
  • 500ml air
  • Minyak esensial (tambahan)

Cara-cara:

  • Campurkan beberapa sudu cuka epal dengan air dan titiskan minyak esensial untuk menghasilkan bau wangi.
  • Selepas menggunakan syampu dan kondisioner, sapu bancuhan cuka epal pada rambut dan ratakan ke seluruh kepala.
  • Biarkan meresap selama beberapa minit.
  • Bilas rambut dan kepala sehingga bersih.

Tips Untuk Mendapatkan Kesan Yang Optimum

  1. Jumlah cuka epal yang diperlukan untuk mendapatkan hasil yang positif bergantung kepada individu. Mulakan dengan 2 sudu besar cuka. Jika anda tiada sebarang perubahan, tingkatkan jumlah sudu sehingga 4 sudu. Penggunaan cuka epal yang berlebihan dikhuatiri akan menyebabkan kerengsaan kepada kulit kepala.
  2. Ketahui keadaan rambut anda. Mereka yang berambut kering mungkin perlu mengurangkan jumlah sudu berbanding mereka yang mempunyai rambut berminyak.
  3. Mulakan dengan kekerapan seminggu sekali. Jika tiada sebarang masalah, anda boleh menggunakan cuka epal dalam penjagaan rambut sehingga 2 kali seminggu. Bagi yang mempunyai rambut kering dan nipis, sebaiknya anda menghadkan kekerapan sebanyak 1-2 kali sebulan sahaja.
  4. Anda tidak perlu lagi menggunakan kondisioner selepas membilas. Cuka epal boleh menggantikan kondisioner rambut.
  • 195
    Shares
Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *