Lemak Di Perut dan Lemak Di Paha : Yang Mana Lebih Degil?

Terdapat beberapa jenis lemak yang berbeza fungsinya kepada tubuh badan manusia. Lemak esensial yang merupakan sebahagian daripada tulang sumsum, sistem saraf dan jantung mempunyai peranan penting terhadap fungsi asas tubuh. Lemak jenis ini penting untuk regulasi suhu badan manusia, penyerapan vitamin ADEK, mengatur fungsi hormon dan merupakan struktur asas kepada sel-sel.

Lemak simpanan pula adalah hasil daripada pengambilan kalori berlebihan. Sebenarnya, lemak simpanan berperanan untuk menyeimbangkan suhu badan manusia dan memelihara organ-organ seperti hati, jantung, usus dan pankreas. Namun begitu, lemak yang disimpan secara berlebihan memudaratkan kesihatan individu. Ia meningkatkan risiko diabetes, sakit jantung dan strok.

Jenis-jenis Lemak Simpanan

Lemak simpanan disimpan pada otot-otot, di bawah lapisan kulit (lemak subkutan) dan menyelaputi organ-organ penting (lemak visceral) dalam badan. Jenis lemak yang terdapat di paha, belakang dan lengan ialah lemak subkutan.

Manakala, lemak yang ada di perut pula adalah lemak visceral. Inilah lemak yang menjadikan perut buncit. Ukur lilit pinggang menjadi indikator kepada jumlah lemak yang ada pada abdomen. Lelaki yang mempunyai ukur lilit pinggang melebihi 40 inci dan wanita yang mempunyai ukur lilit melebihi 35 inci lebih berisiko untuk mendapat penyakit jantung, kencing manis dan beberapa jenis kanser.

Yang Mana Akan Hilang Dulu Semasa Berdiet?

Dengan mengurangkan jumlah pengambilan kalori atau apabila anda aktif bersenam, anda akan kehilangan lemak di perut terlebih dahulu. Lemak perut mempunyai metabolisme yang lebih aktif berbanding lemak paha. Inilah punca kenapa lemak perut sangat berbahaya kepada kesihatan, tetapi ini juga menjadi sebab kenapa ia lebih senang dibuang.

Lemak paha atau umumnya lemak subkutan yang membuatkan tubuh nampak menggelebeh lebih degil untuk dihilangkan. Ini kerana lemak subkutan merupakan sumber tenaga kepada tubuh ketika kebuluran dan menghasilkan hormon progesteron dan estrogen untuk kesuburan wanita.

BACA JUGA  Pasangan Suami Isteri Ini Berjaya Turunkan Berat Badan Sebanyak 9.8kg Selepas 2 Minggu Berdiet

Lemak yang tersimpan dalam otot-otot pula menghasilkan tenaga. Semakin baik tahap kecergasan seseorang individu, semakin banyak lemak jenis ini akan hilang.

Adakah Kita Boleh Pilih Lemak Mana Untuk Dibuang?

Jawapannya, tidak boleh. Kita tidak boleh memilih jenis lemak mana untuk dihilangkan terlebih dahulu. Asasnya, tubuh manusia akan menggunakan lemak visceral (lemak perut) terlebih dahulu atas faktor metabolisme yang tinggi berbanding jenis lemak yang lain. Jika anda konsisten mengurangkan jumlah pengambilan kalori dan melakukan senaman, lemak-lemak dari jenis lain akan mula dibuang.

Umumnya, bentuk badan manusia terbahagi kepada jenis pir dan jenis epal. Pembuangan lemak pada tubuh semasa berdiet tidak akan mengubah jenis bentuk badan. Ia hanya mengecilkan jumlah lemak dengan mengekalkan nisbah bentuk badan sediakala.

Cara Terbaik Untuk Menghilangkan Lemak Badan

Tiada jalan mudah dan pantas untuk menurunkan berat badan dan menghilangkan lemak dengan berkesan melainkan dengan mengurangkan jumlah kalori harian anda. Kurangkan jumlah kalori harian sebanyak 500-1000 kalori dengan mengira kalori daripada makanan dan membakar kalori melalui senaman.

Lakukan pengiraan kalori berdasarkan aktiviti dan berat badan anda. Anda boleh merujuk kepada kalori kalkulator yang boleh didapati online atau dapatkan konsultasi daripada pakar dietitik.

Rancang supaya sebahagian kalori defisit harian anda adalah hasil daripada mengurangkan pengambilan kalori melalui makanan dan sebahagian lagi daripada aktiviti senaman. Berikut ialah jenis senaman dan jumlah kalori yang dibakar setiap jam bagi individu yang mempunyai berat sebanyak 73kg.

Aktiviti (1 jam)  73 kg
Aerobik, impak rendah 365
Aerobik, aktiviti air 402
Berbasikal (8km/j) 292
Menari 219
Elliptical trainer atau Cross trainer 365
Bermain golf 314
Memanjat gunung 438
Berlari (8km/j) 606
Bermain ski 314
Berenang 423
Berjalan (5.6km/j) 314
BACA JUGA  2 Sebab Penting Kenapa Perempuan Bawah Umur 40 Tahun Tidak Patut Gemuk

 


Contoh aktiviti aerobik dalam air

Sasarkan pengurangan berat badan sebanyak 0.5kg – 1kg seminggu. Menurunkan berat secara drastik biasanya menyebabkan anda kehilangan otot lebih pantas berbanding lemak, seterusnya menyebabkan berat badan anda kembali meningkat.

Untuk meningkatkan jumlah otot, anda perlu melakukan senaman berasaskan latihan mengangkat berat yang mensasarkan otot-otot utama.

Sumber: Livestrong

  • 1
    Share
  • 1
    Share
Close Menu