Connect with us

Kecergasan

Ini Jumlah Jam Tidur Yang Anda Perlukan Untuk Rasa Segar Di Siang Hari

Cukup makan, cukup aktiviti fizikal dan cukup tidur; inilah 3 perkara asas untuk menjalani hidup dengan sihat dan bahagia. Selalunya nasihat-nasihat berkaitan kesihatan akan menitikberatkan isu diet dan senaman. Seringkali topik berkenaan tidur diketepikan. Tetapi tanpa jam tidur yang cukup dan berkualiti, banyak sekali akibat buruk bakal dialami oleh kita semua.

Jika anda selalu rasa mengantuk pada waktu siang, ia petanda bahawa jumlah jam tidur anda tidak mencukupi. Namun begitu, terdapat juga faktor lain yang mempengaruhi kualiti tidur itu sendiri walaupun kuantitinya sudah menepati garis panduan yang akan kami kongsikan.

Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Jumlah Waktu Tidur

Keperluan tidur setiap manusia adalah berbeza-beza. Ini bergantung kepada beberapa faktor penting seperti :

  • Faktor genetik
  • Faktor umur
  • Faktor kesihatan
  • Aktiviti di waktu siang

Individu yang lebih berusia biasanya mempunyai masalah susah tidur malam, mudah terganggu semasa tidur dan lebih cenderung untuk menghidapi insomnia.

Bagi yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit yang kronik atau sleep apnea, jumlah jam tidur mereka mungkin lebih pendek kerana gangguan yang dialami semasa tidur.

Jumlah Jam Tidur Paling Ideal Untuk Orang Dewasa

Secara kasar, setiap orang dewasa memerlukan purata 7-9 jam tidur setiap hari. Jumlah tidur ini tidak tertakluk kepada tidur malam sahaja. Mereka yang berusia 65 tahun ke atas pula, jumlah tidur yang diperlukan adalah lebih pendek iaitu sekitar 6-7 jam setiap hari.

Walau bagaimanapun, purata waktu tidur ini mungkin berbeza bagi setiap individu. Tidak semua orang memerlukan jumlah jam yang sama. Ada orang yang merasa segar walaupun hanya tidur selama 6 jam. Ada pula orang yang memerlukan tidur selama 9 jam untuk menjalani aktiviti siang dengan baik dan tidur selama 8 jam akan mencetuskan akibat buruk kerana kurang tidur.

BACA JUGA  7 Tips Tidur Khas Buat Mereka Yang Susah Tidur Malam, Anda Pasti Tidur Lena Selepas Mengamalkannya

Berikut ialah jumlah jam tidur yang diperlukan mengikut umur bagi bayi, kanak-kanak dan remaja.

  • Bayi (3-11 bulan) memerlukan tidur sebanyak 14-15 jam
  • Kanak-kanak berusia 12-35 bulan memerlukan tidur sebanyak 12-14 jam
  • Kanak-kanak berusia 3-6 tahun memerlukan tidur sebanyak 11-13 jam
  • Kanak-kanak berusia 6-10 tahun memerlukan tidur sebanyak 10-11 jam
  • Remaja memerlukan tidur sebanyak 9.25 jam

Jumlah Jam Tidur Yang Diperlukan Mengikut Umur

Jika anda selalu merasa mengantuk pada waktu siang, anda mungkin mengalami masalah tidak cukup tidur. Susun kembali jadual tidur anda dengan memastikan anda tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari. Apabila badan anda memberi isyarat mengantuk, segera ke katil dan tarik selimut anda. Jauhi aktiviti-aktiviti dan makanan yang membuatkan anda sukar untuk tidur ketika menghampiri waktu tidur yang sepatutnya. Buka langsir di waktu pagi untuk mendapatkan cahaya matahari yang cukup untuk mengatur selia hormon melatonin. Ia merangsang otak anda untuk bangun pada waktu pagi.

Kesan Buruk Jika Tidak Mendapat Waktu Tidur Yang Cukup

Jumlah jam tidur yang tidak mencukupi akan menyebabkan anda ‘berhutang’ waktu tidur. Ia memberi kesan buruk kepada kesihatan fizikal dan psikologi seseorang. Masalah tidak cukup tidur yang berlarutan akan menyebabkan masalah kesihatan yang lain seperti obesiti.

Selain kuantiti, kualiti tidur juga memainkan peranan yang penting. Berdengkur dan sindrom kaki gelisah (restless leg syndrome) merupakan gangguan yang seringkali dialami oleh mereka yang mempunyai masalah tidur.

Dapatkan tips untuk mudah tidur bagi anda yang susah tidur malam.

Jika anda mendapati bahawa anda telah tidur dengan cukup tetapi masih lagi rasa mengantuk di waktu siang, kunjungi klinik berhampiran untuk mendapatkan pandangan dan nasihat doktor perubatan bertauliah. Mereka akan membantu anda untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

BACA JUGA  5 Kisah Kemalangan Terburuk Dalam Sejarah Dunia Yang Berpunca Daripada Kurang Tidur

Sumber: VeryWell Health

Foto: Acharaporn Kamornboonyarush from Pexels

  • 5
    Shares