Berapakah Bacaan Kuning Bayi Yang Bahaya?

Masalah kuning bayi atau jaundis, memberi kesukaran kepada ibu bapa untuk melalui hari-hari terawal selepas kelahiran bayi. Ramai yang kepenatan kerana terpaksa berulang-alik ke klinik untuk mendapatkan bacaan kuning bayi bagi memastikan paras bilirubin menurun.

Namun begitu, masalah kuning sebenarnya bukanlah satu penyakit. Ia adalah satu proses normal di mana sistem tubuh bayi mula berfungsi.

Sungguhpun begitu, bacaan kuning yang tinggi iaitu apabila bilirubin melebihi 25mg boleh menyebabkan komplikasi yang serius seperti pekak, cerebral palsy dan lain-lain kerosakan pada otak. Oleh itu, tidak hairanlah pihak hospital dan klinik sentiasa mengambil berat dan memantau tahap bilirubin bayi jaundis.

Post kali ini akan menyingkap tentang bagaimana jaundis terjadi dan memberikan pencerahan tentang bacaan kuning bayi bagi ibu bapa yang mempunyai bayi yang sedang mengalami masalah kuning. Artikel juga membincangkan tentang peri pentingnya penyusuan bayi yang merupakan petua hilangkan kuning bayi paling berkesan dan selamat.

Kenapa Kuning Bayi Terjadi?

Bilirubin merupakan sejenis pigmen yang terhasil daripada penguraian sel darah merah. Ia kemudiannya akan melalui pemprosesan di hati, disimpan di dalam hempedu dan disalur keluar melalui najis.

Bilirubin berwarna coklat atau kuning. Sebab itulah najis manusia berwarna kecoklatan.

Bagi orang dewasa, bilirubin akan diproses menjadi urobilin oleh bakteria usus. Tetapi, bayi yang baru lahir, organ hati akan mengambil masa selama beberapa hari untuk memproses bilirubin.

Tanda Bayi Mengalami Kuning

Simptom bayi jaundis biasanya dikenalpasti melalui warna kulit dan mata bayi menjadi kekuningan. Ia biasanya bermula dari kawasan muka dan dada.

Bayi yang mengalami bacaan kuning yang tinggi akan kelihatan letih, kerap meragam dan kurang menyusu kerana terlalu mengantuk.

Bayi Kuning Normal Berapa Lama?

Menurut Merck Manual, hampir separuh daripada jumlah bayi yang lahir mengalami masalah kuning pada minggu pertama kelahiran.

Samada bacaan kuning bayi normal atau bahaya bergantung kepada 3 perkara berikut:

  1. Sebab kuning berlaku
  2. Umur bayi
  3. Bayi lahir pramatang

Kekuningan pada bayi biasanya muncul pada hari ke-2 atau ke-3 kelahiran. Ia biasanya hilang selepas 2 minggu. Ini adalah jenis kuning yang normal iaitu physiologic jaundice.

Bayi yang lahir-lahir terus kuning atau mengalami kuning dalam masa 24 jam kelahiran memberikan petanda bahawa mereka mengalami masalah yang serius.

Dalam situasi tertentu, bayi mungkin mengalami masalah kuning kerana kumpulan darah bayi dengan ibu tidak serasi. Antibodi di dalam darah ibu mungkin telah memusnahkan sel-sel darah merah bayi ketika di dalam kandungan menyebabkan bayi yang lahir mempunyai paras bilirubin yang tinggi.

Masalah Bayi Kuning Lama

Masalah kuning bayi boleh berlanjutan sehingga 3-12 minggu sekiranya bayi menyusu badan. Keadaan ini dinamakan sebagai breast milk jaundice. Puncanya tidak diketahui tetapi berkemungkinan terdapat bahan di dalam susu ibu yang menghalang proses menguraikan bilirubin. Jenis kuning ini tidak berbahaya dan ibu dinasihatkan untuk tidak berhenti menyusu.

Selain itu, cara penyusuan bayi yang salah juga boleh menyebabkan bayi kuning (breastfeeding jaundice) kerana bayi tidak mendapat susu ibu yang secukupnya. Ibu-ibu boleh mengatasi masalah ini dengan mendapatkan tunjuk ajar daripada konsultan penyusuan berdekatan.

Bacaan Kuning Bayi Yang Bahaya & Rawatan

Bacaan kuning bayi yang normal tidak melebihi 5 mg/dl.

Pada tahap biasa, bacaan yang melebihi 5 mg/dl akan mula menunjukkan tanda-tanda kekuningan pada kulit. Tiada rawatan diberikan, hanya pemantauan sahaja oleh staf kesihatan untuk melihat samada kekuningan tersebut semakin bertambah atau berkurangan.

Bagi bayi yang lahir sihat pada usia kandungan yang matang (37-42 minggu), bacaan kuning melebihi 18mg/dl dikategorikan sebagai bahaya.

Bayi yang lahir pramatang pula mempunyai paras bacaan kategori bahaya yang lebih rendah.

Rawatan fototerapi hanya akan dimulakan jika bacaan kuning melebihi 21 mg/dl bagi menukarkan bilirubin kepada biliverdin yang lebih mudah dikumuhkan.

Jika tahap bilirubin bayi jaundis melebihi 25 mg/dl, exchange transfusion iaitu pemindahan darah akan dilakukan dan digantikan dengan darah baru.

Bilakah Masalah Kuning Bayi Memerlukan Perhatian Doktor?

Pada minggu pertama kelahiran bayi, jururawat daripada klinik kesihatan dan klinik desa akan membuat lawatan ke rumah dan memeriksa bayi baru lahir. Jika terdapat tanda-tanda kuning, jururawat akan menasihatkan anda untuk memeriksa bacaan kuning bayi di klinik kerajaan dan swasta.

Anda kemudiannya akan berulang alik ke klinik selang beberapa hari untuk memastikan bacaan kuning bayi turun. Pemantauan ini akan memastikan masalah kuning bayi terkawal.

Dapatkan juga nasihat doktor jika bayi anda mengalami masalah berikut:

  • Bayi semakin kuning
  • Bayi mengalami demam melebihi 38 Celsius
  • Bayi kurang menyusu, kelihatan sangat letih dan menangis dengan kuat

Bolehkah Jaundis Bayi Dicegah?

Untuk mengelakkan bayi yang dilahirkan kuning, ada ibu-ibu mengamalkan minum susu kambing ketika mengandung. Ada juga yang memandikan bayi dengan herba-herba tertentu supaya bayi tidak terkena kuning.

Sebenarnya, tidak ada petua khusus untuk mencegah masalah bayi kuning. Penyusuan yang kerap di awal jam-jam kelahiran membantu bayi memproses bilirubin dengan baik dan mencegah kuning berlaku.

Petua Hilangkan Kuning Bayi

Terdapat banyak petua hilangkan kuning bayi secara tradisional yang dikongsikan oleh orang ramai. Samada petua-petua ini benar-benar membantu tidak dapat dipastikan secara saintifik.

Namun begitu berdasarkan kefahaman bahawa majoriti kuning bayi adalah normal, anda boleh mengamalkan petua hilangkan kuning bayi seperti berikut:

  • Menyusu dengan kerap (8-12 kali sehari) untuk memastikan bayi tidak mengalami dehidrasi. Penyusuan yang cukup membantu bayi membuang air besar. Kandungan nutrisi di dalam susu juga menguatkan lagi fungsi hati untuk memproses bilirubin. Bayi yang terhidrat akan mengalami perubahan warna najis daripada hijau kepada kekuningan.
  • Bayi yang minum susu formula pula memerlukan 1-2 oz susu setiap 2-3 jam. Tiada susu formula khusus untuk mengatasi masalah bayi kuning.
  • Bayi yang menyusu tetapi mengalami ibu-ibu mengalami masalah penyusuan mungkin memerlukan susu formula sebagai tambahan. Namun begitu, ibu-ibu perlu pastikan supaya pemberian susu formula tambahan ini tidak mengganggu penyusuan. Dapatkan nasihat konsultan laktasi untuk memastikan penyusuan dapat diteruskan selepas kuning bayi hilang.
  • Jika bayi tidur lama, kejutkan bayi untuk menyusu.
  • Elakkan daripada memberi bayi cecair lain (contoh : air kosong , jus buah, air beras) kerana ini menganggu penyusuan. Susu ibu dan susu formula sudah cukup untuk bayi baru lahir.
  • Tahan diri daripada mengambil jamu kerana jamu boleh memburukkan keadaan kuning bayi.

 

Rujukan

MMGazette
DrZubaidi

Close Menu