Connect with us

Kenali Penyakit

6 Penyakit Yang Lebih Banyak Dihidapi Oleh Perempuan Berbanding Lelaki, Anda Mungkin Sedang Hadapinya

Sudah agak lama tidak menulis hal-hal yang bersangkut paut dengan perempuan dan kesihatan. Dalam buku-buku perubatan dan juga semasa menjawab soalan peperiksaan lisan, antara perkara penting yang perlu diketahui ialah adalah kadar sesuatu penyakit tersebut di kalangan lelaki dan perempuan. Penyakit yang dimaksudkan di sini semestinya bukan penyakit yang merujuk kepada organ peranakan. Soalan dan pengetahuan seperti ini membantu doktor-doktor untuk merangka diagnosis penyakit yang dihidapi.

1. Batu karang hempedu (Gallstones)

Penyakit ini berisiko tinggi di kalangan pesakit perempuan yang berusia 40-an, obes dan belum keputusan haid. Saya menghafal 4 risiko ini sebagai 4F (Female – Forty – Fat – Fertile). Hempedu adalah cecair pekat yang dihasilkan oleh hati dan berfungsi untuk membantu penghadaman lemak. Hempedu terdiri daripada garam hempedu, cecair lemak, kolesterol dan bahan-bahan lain. Batu karang terjadi apabila komposisi kolesterol lebih tinggi daripada kebiasaan. Disebabkan perempuan mempunyai jumlah lemak yang lebih daripada lelaki untuk membantu fungsi kita, maka perempuan lebih berisiko untuk menghidapi batu karang hempedu.

2. Jangkitan saluran kencing termasuklah pundi kencing dan buah pinggang

Saluran kencing perempuan adalah lebih pendek daripada lelaki. Jadi, kuman lebih mudah merebak ke pundi kencing dan buah pinggang. Keadaan ini juga biasa berlaku di kalangan perempuan yang mengandung kerana (1) kesan perubahan hormon ke atas pundi kencing dan (2) rahim/uterus yang membesar akan menyebabkan tekanan ke atas pundi kencing dan air kencing tidak dapat keluar dengan sempurna dan menjadi medium pembiakan kuman. Jangkitan juga boleh berlaku jika bukaan  pada saluran kencing dicemari oleh najis, selain daripada jangkitan pada faraj.

3. Migrain 

Lebih kurang 70% penghidap migrain adalah perempuan dan 60-70% daripadanya adalah disebabkan oleh menstruasi. Migrain merupakan sakit kepala berdenyut pada sebelah kepala sahaja.

BACA JUGA  6 Makanan Punca Sembelit Yang Menjadi Pilihan Ramai Rakyat Malaysia

Migrain dikaitkan dengan tinggi atau rendahnya paras hormon estrogen dalam tubuh kita. Menurut kajian, sebelum datang haid migrain terjadi kerana paras hormon estrogen dan progesteron jatuh mendadak dan keadaan ini jarang dialami oleh perempuan yang hamil.

Migrain juga didapati lebih kerap terjadi di kalangan perempuan yang mengambil pil perancang kerana paras hormon estrogen yang lebih tinggi di dalam pil. Selain itu, keperluan untuk perempuan memikul tanggungjawab di pejabat dan di rumah juga boleh menjadi faktor kepada migrain.

Terdapat banyak cara untuk menghilangkan migrain samada menggunakan ubat-ubatan atau rawatan tanpa ubat.

4. Irritable bowel syndrome 

Penyakit ini dikaitkan dengan cirit-birit, sembelit, atau kedua-duanya, kembung perut, sakit di bahagian abdomen, adanya mukus ketika membuang air besar, tidak puas membuang air besar, pening dan loya. Ini biasanya berlaku sekitar permulaan haid dan ia dikaitkan dengan paras hormon dalam badan dan juga stress atau kemurungan

5. Kumpulan penyakit autoimmune

Biasanya, sel-sel pertahanan seperti darah putih mempunyai kebolehan untuk mengenalpasti kuman atau bendasing dan akan berusaha untuk menyingkirkannya. Tetapi dalam fenomena autoimuniti, sel-sel ini telah tersalah mengenalpasti tisu-tisu tubuh kita sendiri. Puncanya tidak diketahui tetapi ia biasanya berlaku pada perempuan kerana perempuan mempunyai sistem pertahanan tubuh yang lebih baik daripada lelaki sekaligus meningkatkan kemungkinan untuk diserang. Biasanya penyakit ini menyerang lebih daripada satu organ.

Antara penyakit-penyakit yang dikategorikan sebagai autoimuniti dan lebih tinggi kadarnya pada perempuan berbanding lelaki ialah (1) Hashimoto’s thyroiditis yang menyerang kelenjar tiroid,(2) lupus, (3) Sjogren’s syndrome yang menyerang kelenjar air liur dan kelenjar air mata, (4) antiphospolipid syndrome yang selalu diistilahkan sebagai bayi dalam rahim dilarikan bunian dan (5) rheumatoid arthritis yang melibatkan sendi.

BACA JUGA  Tanda-tanda Kanser Usus Yang Patut Kita Tahu

6. Osteoporosis

Sudah pasti ramai yang telah sedia maklum akan penyakit ini kerana iklan susu Anlene. Osteoporosis juga dikaitkan dengan menopaus dan hormon estrogen. Selain daripada fungsi-fungsi yang pernah saya sebut sebelum ini, hormon estrogen diperlukan untuk mengekalkan jisim tulang. Jadi, lelaki pun ada estrogen juga la cuma tidak setinggi perempuan. Tetapi apabila menopaus, paras hormon estrogen jatuh mendadak maka perempuan kehilangan lebih banyak jisim tulang daripada lelaki.

Ada lagi penyakit-penyakit yang kadarnya lebih tinggi di kalangan perempuan terutamanya penyakit mental dan darah tinggi.

Walaupun kebanyakan penyakit ini disebabkan oleh hormon, tetapi bersyukurlah kerana Allah menganugerahi kita lebih hormon estrogen dan progesteron serta tubuh badan yang ideal untuk menggalas kemuliaan sebagai ibu dan wanita. Kalau Dia adalah Sang Pencipta, tidak ada sesuatu pun yang sia-sia di tanganNya 🙂


Artikel ini diterbitkan semula dengan kebenaran penulis. 

  • 3
    Shares
Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *