Connect with us

Inspirasi Kurus

2 Sebab Penting Kenapa Perempuan Bawah Umur 40 Tahun Tidak Patut Gemuk

Haih, obesiti sekarang boleh disamakan seperti penyakit berjangkit. Situasinya seperti pandemik – dari Amerika hinggalah ke Malaysia, kadar penghidap obesiti meningkat setiap tahun. 
 

Isu berat badan sudah tentu sentiasa menjadi mimpi ngeri seorang perempuan. Lupakan soal tubuh langsing dan pinggang ramping untuk menggoda kaum Adam, kerana soal itu tidak sepenting nikmat sihat yang hilang. Darah tinggi, kencing manis, strok, sakit sendi dan senarai penyakit yang panjang berjela boleh dikaitkan dengan obesiti.

 
Apabila berbicara tentang obesiti, ramai yang tahu tentang Body Mass Index atau lebih popular dengan singkatan BMI. Tetapi obesiti juga diukur melalui ukurlilit pinggang dan peratusan lemak dalam badan (>32% = obes). Perempuan ada lebih banyak lemak daripada lelaki secara semulajadi kerana penting untuk menjana hormon peranakan dan juga menyusukan bayi.
Jadi jom kira-kira kategori manakah kita ini.
 
Jom buat kira-kira

 

Kemudian, tengok kategori berat kita.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai BMI dan peranan BMI dalam kesihatan, anda boleh merujuk kepada entri kami mengenai cara kira BMI.

Apakah 2 sebab wanita dalam umur yang produktif perlu untuk berkata tidak kepada obesiti?

 

1. Obesiti berkait rapat dengan kadar kesuburan yang rendah di kalangan perempuan.

Ini kerana tahap kesuburan dipengaruhi oleh hormon terutamanya estrogen yang membantu proses pengeluaran telur (ovulasi) yang berlaku setiap bulan. 

Tahukah anda bahawa lemak adalah kelenjar hormon yang paling besar dalam diri kita? Lemak khususnya kolesterol adalah molekul asas kepada pembentukan hormon gonad (peranakan) seperti estrogen. Lemak juga mengandungi hormon leptin yang mengawal selera makan dan penggunaan tenaga dalam tubuh kita.
 
Hormon estrogen ini walaupun rendah atau tinggi beberapa nanogram saja, dah boleh memporak-perandakan proses ovulasi. Tak ada telur, tak boleh la sperma bersenyawa.
 

Kesan baik estrogen

Namun begitu, tak semua obesiti itu adalah kerana banyak makan dan kurang bersenam. Bagi perempuan, boleh jadi ianya disebabkan oleh Polycystic Ovarian Syndrome – iaitu kehadiran cyst(rongga yang mengandungi cecair) pada ovari yang menjadikan ovari lebih besar dan menghasilkan lebih banyak estrogen. 
 
Juga boleh disebabkan oleh masalah kelenjar tiroid yang selalunya dialami oleh perempuan berbanding lelaki. Untuk itu, doktor akan melakukan pemeriksaan seperti vaginal ultrasound atau melihat aras hormon tiroid dan marker dalam darah untuk memastikan punca obesiti.
 
Selain itu, obesiti juga berkawan baik dengan penyakit kencing manis, iaitu dengan mengurangkan sensitiviti insulin kepada gula dalam darah. Dan ini menyebabkan kadar insulin tinggi di dalam darah dan merangsang penghasilan lebih banyak estrogen oleh ovari.
 
Walau bagaimanapun, mekanisme bagaimana obesiti mempengaruhi kadar kesuburan (fertiliti) adalah kompleks dan tidak diketahui.
 
Mengandung atau obes?
 

2. Wanita yang obes juga mempunyai risiko yang tinggi semasa mengandung dan proses melahirkan anak. 

 
Mereka boleh mendapat penyakit kencing manis yang hanya didapati sewaktu mengandung dan membawa kesan seperti polyhdramnion (berlebihan air ketuban) yang berbahaya kepada fetus atau hypoglycemia (paras gula yang rendah) apabila bayi dilahirkan. Bayi juga didapati lebih besar daripada biasa (> 4 kg/>4.5 kg) dan membawa kepada komplikasi buruk sewaktu melahirkan. Bayangkan bayi terlekat kat bahu sebab terlalu besar untuk keluar dari pelvis. Ouuuh….
 
Selain itu, risiko untuk embrio tidak melekat pada dinding rahim setelah persenyawaan juga lebih tinggi kerana tisu endometrium (dinding rahim) tidak berapa elok untuk menampung fetus. Ini menyebabkan In-vitro Fertilization atau IVF (pensenyawaan luar rahim) tidak berjaya dan juga keguguran.
 
Siapa yang berisiko? 
Sudah tentu mereka yang mempunyai BMI>30 dan mempunyai kitaran haid yang tak teratur. Dianggarkan 90% daripada perempuan akan hamil selepas mendirikan rumah tangga dalam masa 2 tahun. Kalau tahun ke-3 belum ada tanda-tanda, sila rujuk kepada pakar sakit puan.
 
Apa yang boleh dilakukan? 
Langkah pertama ialah menurunkan berat badan walaupun cara ini tidak menjamin anda subur 100%. Selepas itu, barulah boleh dipertimbangkan untuk menjalani rawatan kesuburan atau teknik yang membantu kehamilan seperti IVF.

Artikel ini diterbitkan semula dengan kebenaran penulis. 

  • 18
    Shares
BACA JUGA  Sebab Ketiga Kenapa Perempuan Tidak Patut Obes